Halaman

Khamis, September 08, 2022

Impak penting seni kata lagu

petikan Harian Metro 8 September 2022 

Syafil Syazwan Jefri am@hmetro.com.my

Kemeriahan Bulan Kemerdekaan bukan sahaja bergantung kepada jiwa patriotisme masyarakat, bahkan ia lebih daripada itu.

Jika kita melihat kepada sisi industri seni, lagu patriotik juga memainkan peranan dalam menyemarakkan lagi semangat masyarakat.

Lagu patriotik antaranya Tanggal 31 ciptaan Ahmad CB pernah menjadi pengisi jiwa masyarakat. Berdasarkan carian di beberapa sumber online, lagu Tanggal 31 terhasil daripada semangat dan keterujaan Ahmad CB saat mendengar khabar bahawa Malaya akan merdeka.

Selain 31 Ogos, banyak lagu patriotik yang berjaya menyentuh hati masyarakat antaranya, lagu Warisan nyanyian Sudirman, Saya Anak Malaysia (Dr Sam), Inilah Barisan Kita (Jamaludin Alias), Setia (Datuk Francesca Peters), Standing In The Eyes of the World (Ella) dan banyak lagi.

Bagi penyanyi dan penulis, Datuk M Nasir, jiwanya tidak pernah luntur dalam menghasilkan karya bersifat membakar semangat dan punya nilai patriotik. Mungkin ada yang tahu dan tidak tahu, M Nasir juga adalah individu yang berada di sebalik lagu Saya Anak Malaysia.

Menurutnya, seni kata dalam lagu patriotik menjadi faktor utama yang menentukan lagu itu dapat sampai tepat ke hati pendengar ataupun sebaliknya.

"Apa yang penting adalah seni katanya. Lagu patriotik apa sekalipun, selain muzik yang enak didengar, seni katanya mestilah berunsur patriotik. Biar ia tidak keterlaluan, namun, berjaya menyentuh jiwa masyarakat.

"Satu lagi aspek yang menjadikan lagu patriotik lama lebih meninggalkan kesan adalah, mungkin kerana jiwa patriotik pada zaman dahulu lebih kuat memandangkan bahang kemerdekaan itu masih lagi segar," katanya.

Tambah pelantun lagu Mantera Semerah Padi itu lagi, susunan muzik lagu patriotik zaman dahulu juga memainkan peranan dalam memastikan ia melekat di dalam jiwa setiap yang mendengar.

"Lagu-lagu lama, biasanya kerap dimainkan sehingga ia mudah untuk diingati. Karyanya bercorak sederhana dari sudut susunan muzik dan mudah untuk dinyanyikan, namun, jelas penyampaiannya.

"Kita dapat melihat transisi muzik dalam lagu patriotik yang sebelum ini lebih kepada kepada muzik marching, kepada muzik moden yang sejak akhir-akhir ini, mula berubah. Namun, elemen catchy masih lagi dikekalkan.

"Walau bagaimanapun, orang mahukan pembaharuan. Bunyi lama, boleh berubah mengikut peredaran zaman. Walaupun perasaannya sudah berbeza, namun, objektifnya adalah untuk menyentuh jiwa pendengar," katanya.

Bagi pencipta bersama lagu Standing In The Eyes Of The World, Datuk Wah Idris, dia juga membawa buah fikiran yang sama seperti M Nasir di mana seni kata memainkan peranan yang penting.

"Bagi saya, tentunya melodi sesuatu lagu patriotik itu perlu enak didengar dan perlu mewujudkan rasa semangat. Selain memiliki keunikan serta nilai komersial, pada masa sama, seni katanya juga paling penting.

"Seni kata dalam sesuatu lagu patriotik akan menonjolkan kekuatan seseorang individu itu sebelum merdeka dan sebagainya. Kiranya, ada penceritaan yang mampu menaikkan semangat orang yang mendengar," katanya.

Menghormati setiap lagu sebagai karya seni subjektif, Wah menyeru agar penulis dan pencipta lagu tempatan tidak berhenti untuk menghasilkan lagu-lagu patriotik.

"Dari sudut pendengaran remaja hari ini, ia dah berbeza. Susunan dan corak muzik remaja hari ini amat luar biasa dan turut disuntikkan dengan elemen muzik dari Barat dan sebagainya contohnya, elemen hip hop.

"Sesebuah lagu itu adalah karya seni dan kita tak boleh cakap sedap atau tidak. Setiap pencipta memiliki stail dan caranya yang tersendiri. Mereka juga memiliki pengikut tersendiri.

"Saya menyeru agar mereka yang menyimpan impian untuk mencipta lagu-lagu patriotik, buatlah sebanyak mungkin. Biar ideologi dan jiwa kenegaraan itu dapat diserap oleh muda mudi," katanya.

Ditanya perasaannya sebagai orang yang bertanggungjawab di sebalik lagu popular dendangan Ella untuk versi Bahasa Melayu dan David Gates (yang juga penulis bersama lagu ini) untuk versi Bahasa Inggeris, Wah meluahkan rasa terharunya.

"Saya rasa sangat terharu kerana selepas lebih dua dekad, lagu Standing In The Eyes Of The World masih lagi mendapat tempat di hati pendengar dan kerap dimainkan di acara-acara kenegaraan dan sebagainya.

"Saya sendiri tak pernah menyangka lagu yang dihasilkan khas buat Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Mahathir Mohamad dan sempena Sukan Komanwel 1998 terus menerus menyalurkan semangat kepada setiap yang mendengar," katanya.

Bagi komposer generasi baharu, Ezra Kong yang pernah menghasilkan beberapa karya lagu patriotik, dia gemar menelaah karya-karya ini dan meneliti dari sudut penggunaan instrumennya.

"Saya suka menelaah susunan lagu patriotik sebab instrumen yang digunakan dalam lagu patriotik bukan instrumen yang biasa digunakan dalam lagu pop. Ia membuatkan saya terfikir bahawa terdapat pelbagai cara untuk menyusun sebuah lagu.

"Impak sebagai individu adalah kenangan-kenangan menyanyikan lagu-lagu ini sewaktu zaman persekolahan. Secara tak langsung, muncul perasaan nostalgia," katanya.

Ditanya mengenai cabaran dalam menghasilkan lagu patriotik, Ezra berkata, cabarannya berbeza.

"Lagu patriotik adalah lagu yang membawa perasaan, yang mampu membangkitkan semangat patritisme dan cinta akan negara dalam diri kita. Saya pernah menghasilkan lagu patriotik dan setiap lagu datang dengan cabarannya yang tersendiri.

"Untuk lagu sebegini, kita cuba membangkitkan semangat cinta akan negara dalam diri kita sewaktu menulis. Saya rasa tiada formula yang tetap untuk suatu penulisan sama ada lagu cinta atau patriotik. Yang penting kita menulis secara ikhlas.," katanya.

Baginya, setiap lagu adalah lagu patriotik memandangkan ia juga secara tidak langsung, menyumbang kepada ekonomi negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan