Halaman

Khamis, Ogos 04, 2022

Puitis Kembara imbau nostalgia

petikan Berita Harian 4 Ogos 2022

Oleh Farihad Shalla Mahmud farihad@bh.com.my

Nyanyian M Nasir cukup santai, namun, vokalnya tetap padu dan ‘berjiwa’ terutama ketika menyanyikan lagu menyentuh hati.

KUALA LUMPUR: Malam minggu lalu, Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara menjadi saksi detik pertemuan semula peminat tegar kumpulan yang cukup popular pada era 1980-an, Kembara.

Masing-masing datang dengan tujuan sama iaitu untuk berhibur dan mengenang kembali nostalgia lebih empat dekad lalu melalui konsert satu malam, Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah.

Menampilkan gabungan tenaga Zoul sebagai gitar utama dan penyanyi, Rahman Suri (bes), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) serta diketuai Datuk M Nasir sebagai penyanyi utama, tirai konsert dibuka dengan dendangan lagu Panorama Jingga disusuli Tarian Hidup dan Duit.

Usai menyanyikan lagu Duit, M Nasir, 65, sempat berkongsi sejarah dan latar belakang kumpulan yang tampil dengan album pertama pada 1981 itu.

"Kembara adalah kumpulan yang tidak pernah ada istilah ditubuh atau berpecah. Kami semua bekerja di studio dan dari situ kami bersama menghasilkan album 1440 Hijrah.

"Sehingga hari ini, kami sudah menghasilkan tujuh album. Ini bermakna kita ada 70 lagu. Kalau kami nyanyikan semua lagu, bermakna konsert ini akan tamat hingga waktu Zuhur esok," kata M Nasir berseloroh sambil disambut gelak ketawa penonton.

Persembahan kemudian diteruskan dengan dendangan lagu Rindu, Kepadamu Kekasih, Di Manakah Dikau, Rozita, Putar Alam, Bungak Bakawali, Perwira dan Gadis Berpurdah Hitam.

"Konsert ini saya dedikasi untuk era 1980-an. Apa yang kita ingat waktu itu? Bas mini, putar alam atau lagu reggae?" soal M Nasir kepada penonton sebelum mendendangkan lagu Rozita yang berentak reggae.

Bagi mereka yang sudah biasa menyaksikan konsert artis serba boleh ini, pasti dapat berasakan perbezaan yang ditampilkan malam itu.

Kali ini, nyanyiannya cukup santai. Namun, vokalnya tetap padu dan 'berjiwa' terutama ketika menyanyikan lagu yang menyentuh hati seperti Kepadamu Kekasih, Keroncong Untuk Ana dan Keroncong Untuk Ana 2.

Malah, penampilan penyanyi yang digelar sifu ini tidak seperti yang sering kita lihat ketika beliau menjayakan konsert solo.

M Nasir bergaya ranggi dengan mengenakan jaket, sesuai dengan konsep yang ditampilkan Kembara pada awal kemunculan mereka.

Bukan mudah untuk seorang penyanyi mendendangkan 30 lagu untuk satu malam. Apatah lagi, pada masa sama, perlu beraksi lincah di atas pentas. Namun, semua itu berjaya dilakukan M Nasir tanpa sebarang masalah.

Kumpulan Kembara pukau peminat dengan konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah.

Terbit rasa kagum apabila sepanjang tiga jam beraksi, tidak ada setitik air pun diteguk M Nasir untuk membasahkan tekak.

Meskipun ada lagu mereka berusia 40 tahun, namun, seperkara yang menarik mengenai Kembara adalah muzik dan liriknya yang puitis tetap relevan dengan situasi semasa serta tidak jemu didengar.

"Konsert ini adalah suara satu generasi. Generasi yang saya maksudkan ialah generasi 1980-an. Muzik Kembara berbeza iaitu dari segi seni kata.

"Lagu kami banyak bertemakan kerakyatan dan ia memang menjadi ciri khas kami," katanya.

Tidak bercakap kosong, kehadiran penonton dari pelbagai lapisan usia membuktikan lagu Kembara tidak terbatas kepada kelompok umur tertentu sahaja.

Seronok melihat masing-masing menyanyi dan menari tanda betapa terhiburnya mereka dengan persembahan kumpulan pujaan itu.

Dalam pada berhibur, M Nasir tidak melupakan jasa serta sumbangan anggota asal, Allahyarham A Ali yang menyahut seruan Ilahi, dua tahun lalu.

"A Ali sudah pergi dan sepanjang hayatnya dia pernah menghasilkan lebih 500 lagu. Ini adalah lagu yang dihasilkannya," kata M Nasir sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Ada Sepasang Mata, Di Perhentian Puduraya, Impian Seorang Nelayan dan Kiambang secara medley.

Persembahan diakhiri dengan lagu rancak Ekspress Rakyat, Hati Emas, Perjuangan dan Gerhana sekali gus menjadikan dewan itu gamat dengan gema suara penonton yang turut sama menyanyikan rangkaian lagu itu.

Kembara membawa dimensi baharu dalam arus muzik tempatan terutama pada era 1980-an apabila mengetengahkan genre kurang popular iaitu folks dan progressive rock.

Konsert Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah dianjurkan Shiraz Projects Sdn Bhd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan