Halaman

Selasa, Julai 19, 2022

Kembara pilih lagu lebih 30 tahun tak dimainkan

petikan Berita Harian 19 Julai 2022

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin bhnews@bh.com.my

Selepas konsert terakhir pada 2014, Kembara kembali dengan Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 31 Julai ini.

KUALA LUMPUR: Lapan tahun bukan tempoh masa singkat untuk muncul dengan konsert yang meninggalkan 1,001 kenangan manis.

Selepas muncul dengan konsert terakhir pada 2014, kumpulan ikonik era 1980-an, Kembara kembali dengan Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah yang dibawa Shiraz Projects Sdn Bhd di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 31 Julai ini.

Bermula jam 8.30 malam, konsert yang menghimpunkan Datuk M Nasir selaku vokalis, Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) itu akan turut mengheret penonton ke satu dimensi masa bersama lagu-lagu berjiwa besar mereka.

Zoul selaku gitaris kumpulan yang ditubuhkan pada 1979 itu berkata, semangat kali ini lebih membara.

"Saya berasakan semangat lebih, walaupun usia sudah agak menjangkau, tetapi semangat kuasa kuda masih sama. Kami teruja dengan Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah.

"Kami sudah memulakan persiapan sejak dua bulan. Banyak lagu yang akan dimainkan khusus untuk peminat setia.

"Menarik lagi, pemilihan lagu ini dibayangkan dalam repertoir yang sangat istimewa.

"Kami akan memainkan lagu-lagu yang belum pernah didendangkan lagi. Jadi, latihan juga kena lebih," katanya kepada BH Online.

M Nasir (tengah) menyifatkan Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah sebagai suara satu generasi.

Mengulas pemilihan lagu yang belum pernah dimainkan, Zoul berkata, lagu-lagu dipilih dirakamkan lebih 30 tahun.

"Tak disangka apabila Kembara semak semula, kita ada lagu berusia 30 tahun yang belum diketengahkan," katanya.

Pemain dram, Shahrum berkata, dia tidak dapat beraksi dalam konsert terdahulu, jadi sangat ternanti konsert ini.

"Konsert ini tentunya yang terbaik, apatah lagi, saya tidak dapat beraksi dalam konsert lalu disebabkan tuntutan kerja," katanya.

Sementara itu, M Nasir pula menyifatkan, konsert itu sebagai suara satu generasi.

"Istimewanya, konsert ini kerana ia adalah suara satu generasi. Generasi dimaksudkan ialah generasi 1980-an.

"Selain genre rock yang keras, Kembara membawakan satu muzik berbeza, iaitu dari segi seni kata.

"Lagu Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khas kami," katanya yang juga vokalis dan pengasas kumpulan ini.

"Ini juga bukan muzik lama, tetapi sekarang. Bila buat muzik, kami tidak hanya tuju kepada generasi 1980-an sahaja. Genre muzik akan menjangkau generasi," katanya.

Tiket pakej istimewa, termasuk sesi ramah mesra dengan anggota Kembara berharga RM860; Diamond (RM460), Platinum (RM360), Gold (RM260), Silver (RM200) dan Bronze (RM160), mula dijual di www.myticket.asia pada bulan lalu. Peminat juga boleh mendapatkan kemeja-T eksklusif Kembara apabila membeli tiket.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan