Halaman

Ahad, Jun 12, 2022

Kembara ubat rindu lapan tahun

petikan Berita Harian 12 Jun 2022

Oleh Zaidi Mohamad  zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kali terakhir beraksi di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada Konsert Hati Emas Kembara pada 2014, kumpulan ikonik era 1980-an, Kembara bakal mengubat rindu peminat melalui Konsert Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bulan depan.

Diketuai sifu muzik iaitu Datuk M Nasir, kumpulan Kembara yang ditubuhkan pada 1981, bakal mendendangkan rangkaian lagu malar segar melalui persembahan yang cukup dinantikan peminat selepas lapan tahun band itu tidak beraksi di hadapan penonton secara 'live'.

Selain M Nasir, Konsert Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah yang dibawa Shiraz Projects Sdn Bhd, disertai Zoul yang bermain gitar dan menyanyi; Rahman Suri (bes), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard).

Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya sudah lama mengimpikan hasrat bekerjasama dengan Kembara yang terkenal dengan lagu seperti Hati Emas dan Ekspres Rakyat itu.

"Sebenarnya, perbincangan dan perancangan konsert sudah bermula sebelum pandemik COVID-19. Namun, kami akur dengan keadaan melanda.

"Untuk tahun ini, kami sangat bersemangat membawa lagu Kembara berkumandang di Dewan Plenari KLCC khusus buat peminat setia kumpulan ini.

Selain M Nasir, Konsert Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah yang dibawa Shiraz Projects Sdn Bhd, disertai Zoul yang bermain gitar dan menyanyi; , Rahman (bes), Shahrum (dram) dan Md Shah (keyboard).

"Pastinya Kembara akan memberi persembahan bertenaga dengan untaian lagu mereka yang cukup nostalgik dan ikonik. Konsert ini akan hanya dipentaskan satu malam," katanya.

Ditanya simbolik di sebalik judul lagu Panorama Jingga yang dipilih sebagai nama konsert, Shirazdeen mahu peminat menyaksikan persembahan Kembara bagi mendapat jawapan.

"Peminat setia Kembara pasti tahu kenapa judul konsert ini dipilih. Namun, untuk kepastian dan kejutan, peminat wajib datang ke konsert ini," katanya.

Konsert Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah yang bakal menghangatkan KLCC pada 31 Julai depan direalisasikan atas sokongan MyCreative Ventures, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).

Mengulas kerjasama diberikan kementerian dan agensi kerajaan, Shirazdeen berkata:

"Saya amat berterima kasih kepada K-KOMM, PENJANA dan MyCreative Ventures atas sokongan diberi.

"Tanpa sokongan mereka, sukar untuk melaksanakan konsert dalam skala besar ketika industri kreatif beransur pulih daripada pandemik," katanya.

Tiket pakej istimewa termasuk sesi ramah mesra dengan anggota Kembara berharga RM860; Diamond (RM460), Platinum (RM360), Gold (RM260), Silver (RM200) dan Bronze (RM160), mula dijual di www.myticket.asia, Jumaat lalu.

Peminat juga boleh mendapatkan kemeja-T eksklusif Kembara apabila membeli tiket.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan