Halaman

Jumaat, Jun 24, 2022

Akustik 'rare' M Nasir

 petikan Harian Metro 24 Jun 2022

Riadz Radzi  riadz@hmetro.com.my

M NASIR diiringi lima pemuzik (dari kiri) iaitu Mohar (seruling), S Atan (akordian), Ramli (rebana dan gendang Melayu), Jay Jay (bass akustik) dan Rafi (gitar akustik) ketika konsert M Nasir Crossing UK’97.

MUNGKIN ada yang tidak perasan atau tidak tahu, Datuk M Nasir pernah mengadakan persembahan akustik di Manchester, England pada 2 dan 4 April 1997.

Konsert yang dinamakan M Nasir Crossing UK'97 itu dihadiri 900 penonton dan diadakan di SEMA Group Concert Hall di Royal Northern College of Music (RNCM), Manchester.

Ia dianjurkan Tiang Seri Entertainment bersama Luncai Emas Sdn Bhd yang juga syarikat rakaman milik M Nasir.

Kini, sempena ulang tahun ke 25 konsert berkenaan, Tiang Seri Entertainment dan Luncai Emas khas buat peminat M Nasir yang terlepas dan tidak tahu mengenai konsert itu, menampilkan album 'live' konsert berkenaan yang mula dipasarkan sejak 2 April lalu.

Album dengan set edisi terhad itu mengandungi dua cakera padat yang memuatkan 17 lagu yang dipersembahkan secara akustik dalam konsert itu seperti Akar Kita, Keroncong Untuk Ana, Rajawali Terbang Tinggi, Lambaian Sukma, Tanya Sama Itu Hud Hud, Berikan Nurbisa, Mustika, Apokalips, Kepada-Mu Kekasih dan Gurindam Gunung Tahan.

Turut dimuatkan ialah Ada, Anak Anak Kita, Keroncong Nostradamus, Suatu Masa, Bonda, Mentera Semerah Padi dan Kupu Kupu.

Ia juga mengandungi 50 muka surat buku memorabilia dan sehelai replika kain pemidang dari bahan 'cotton canvas' bersaiz A2 yang dilukis Mohd Foad Hassan.

Walaupun persembahan ini diadakan 25 tahun lalu, namun ia masih relevan. Malah, ia sesuatu yang 'rare' dilakukan M Nasir ketika itu.

M Nasir hanya diiringi lima pemuzik iaitu Rafi (gitar akustik), Jay Jay (bass akustik), S Atan (harmonium dan akordian), Mohar (seruling) dan Ramli (rebana dan gendang Melayu).

Walaupun dilihat minimalis, tetapi bunyian yang digabungkan dengan vokal padu M Nasir menjadikan persembahan itu 'besar'.

Penerbit album ini yang juga penganjur konsert berkenaan, Ismail Mohd Shariff berkata, bermain muzik dan menyanyi di dewan akustik SEMA Group Concert Hall itu adalah suatu pengalaman baharu dan mencabar buat M Nasir dan pemuzik terbabit.

"Ia memerlukan kemahiran tinggi dari segi permainan instrumen dan vokal kerana persembahan itu adalah akustik sepenuhnya tanpa wayar (unplugged).

"Proses rakaman yang dilakukan agak rumit di mana enam 'ambience microphone' digantung dari atas setiap pemuzik dan penyanyi. Semua alat muzik tidak menggunakan mikrofon atau sebarang 'pick up' kecuali bass akustik disambung ke 'amplifier'.

ALBUM edisi terhad yang memuatkan 17 lagu yang dimainkan secara akustik.

"Vokal M Nasir menggunakan mikrofon untuk rakaman dan pembesar suara dewan. Kesimpulannya, bunyi yang dirakam secara analog adalah bunyi yang sebenar dari alat muzik dan vokal," katanya.

Ismail berkata, idea untuk membawa M Nasir mengadakan persembahan di sana bermula sekitar 1996.

Dia yang ketika itu melanjutkan pengajian di Manchester bersama beberapa rakan dalam kalangan penuntut dan pekerja di sana yang juga peminat M Nasir 'bersembang' mengenai penyanyi legenda itu.

Mereka kerap berbincang mengenai album M Nasir bersama Kembara dan album solonya seperti S.O.L.O, Saudagar Mimpi dan Canggung Mendonan.

Secara kebetulan, setahun sebelum itu M Nasir menghasilkan album akustik 'live' iaitu Konsert Akar M Nasir Manifestasi Akustika yang disifatkan sebagai antara album terbaik beliau.

"Selain kerap menghayati lagu-lagu M Nasir di sana, kami mempunyai impian lebih besar untuk membawa M Nasir membuat persembahan di sana.

"Idea itu juga tercetus selepas saya menonton persembahan kumpulan Gamelan Jawa dari Amsterdam di Manchester. Saya berasakan sudah tiba masanya artis Malaysia keluar dari rantau Asia Tenggara sebagaimana dilakukan penyanyi dan pemuzik dari Amerika Latin, Timur Tengah, India, China dan negara Asia Tenggara lain," katanya.

Album edisi terhad yang dijual dengan harga RM250 boleh dibeli menerusi WhatsApp di nombor 011-37421492.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan