petikan Berita Harian 2 Mei 2022
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bh.com.my
M Nasir mewarisi sifat arwah bapanya yang sangat berdisiplin dan tidak banyak bercakap.KUALA LUMPUR: Ketika bapa tersayang menghembuskan nafas terakhir di Singapura, maestro muzik tersohor, Datuk M Nasir hanya mampu menitipkan doa daripada kejauhan, tahun lalu.
Walaupun hasrat menyempurnakan jenazah dan memberi penghormatan terakhir cukup menebal, namun reda hasratnya terpaksa dipendamkan berikutan sempadan negara masih ditutup disebabkan penularan pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, sebaik pintu sempadan negara dibuka pada 1 April lalu, M Nasir menggunakan peluang itu pulang ke Singapura untuk menziarah pusara arwah bapanya, Allahyarham Mohamed Sam yang menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada usia 96 tahun.
Tentunya, paling dirindui, ibunya yang sudah dua tahun tidak ditemui.
"Alhamdulillah, dapat juga saya menziarah pusara selepas setahun pemergian arwah. Saya juga berpeluang menemui ibu yang sudah semakin uzur.
"Dalam kalangan adik-beradik, hanya saya seorang sahaja yang menetap di Kuala Lumpur. Dalam fikiran saya, ada macam-macam perasaan," katanya kepada BH Online.
Berkongsi pengalaman dan memori manis bersama arwah bapanya, pemilik nama lengkap Mohamad Nasir Mohamed ini mengakui, dia cukup rapat dengan arwah bapa yang juga idolanya itu.
"Memori dengan arwah sangat banyak. Antara yang masih saya ingat adalah arwah suka bawa saya pergi berkebun disebabkan kediaman berdekatan landasan kereta api di Woodlands.
"Arwah juga seorang suka pergi ke masjid dan dari situlah, arwah dilantik menjadi imam. Bila Ramadan tiba, arwah akan bawa saya pergi ke masjid," imbas penyanyi Mentera Semerah Padi ini.
Sebagai anak, M Nasir turut mengakui, dia banyak mewarisi sifat bapanya itu.
"Arwah sangat berdisiplin dan tidak banyak cakap. Dan sifat itulah juga yang saya warisi.
"Walaupun arwah bukan seorang yang garang, tetapi saya tetap kena sebat jika buat salah.
"Tetapi, ia bukanlah bermakna saya seorang yang nakal jika kena sebat. Apapun saya tahu, arwah sangat menyayangi saya," ungkap anak keempat daripada sembilan beradik ini.
M Nasir menghangatkan suasana Syawal menerusi Konsert Satu Hari Di Hari Raya pada 27 Mei ini, jam 8 malam di Dewan Merdeka, WTCKL.
M Nasir menghangatkan suasana Syawal menerusi Konsert Satu Hari Di Hari Raya pada 27 Mei ini, jam 8 malam di Dewan Merdeka, WTCKL.
Beliau ditemui pada sidang media Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, penyanyi yang juga komposer tersohor ini turut membongkar rahsia di sebalik pembikinan lagu Satu Hari Di Hari Raya ciptaan empat dekad lalu.
"Lagu ini dirakamkan dalam dua versi. Kali pertama, lagu ini dirakamkan intro muzik ini menggunakan gitar. Masa itu, saya masih lagi bernaung di bawah syarikat rakaman, Polygram.
"Selepas menyertai label BMG, saya merakamkan semula lagu ini, tetapi ada sedikit perubahan. Saya menggantikan muzik gitar kepada seruling hasil tiupan Mohar.
"Apabila dibuat perubahan, saya dapat rasakan kelainan kepada lagu ini kerana bunyinya seperti 'berhantu' dan mudah untuk diingati. Kiranya, intro muzik menjadi tanda dagang untuk lagu ini," imbau M Nasir.
Mengulas liriknya yang puitis dan tidak klise seperti lagu raya lain, M Nasir memberitahu, dia sengaja menongkah arus sebagai menyuntik elemen kelainan.
"Saya memang peminat lagu raya, sejak kecil lagi. Apabila berpeluang menghasilkan lagu Satu Hari Di Hari Raya sekitar 1980-an, saya nak buat kelainan.
"Kebanyakan lagu raya pada masa itu liriknya berkisar kepada suasana hari raya. Maka, akan adalah lirik mengenai ketupat rendang, maaf zahir batin dan banyak lagi.
"Untuk lagu ini, saya memang tak tulis perkataan ini. Namun, liriknya masih lagi menterjemahkan semangat menyambut hari raya, muhibah dan ikatan kekeluargaan antara anak dan orang tua," katanya lagi.
Sementara itu, mengulas konsep persembahan yang bakal diketengahkan, M Nasir memaklumkan, dia tetap akan menyanyikan lagu popularnya walaupun ramai yang menyangkakan tema konsert adalah lebaran.
"Nama konsert itu dipilih kerana kebetulan ia dianjurkan pada bulan Syawal. Ia juga adalah judul lagu raya popular saya.
"Walaupun konsert berkonsepkan makan malam, tetapi saya akan pastikan penonton akan terhibur dan auranya tetap sama seperti konsert yang pernah dijayakan di lokasi lain," ujarnya.
Konsert anjuran Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) itu bakal diadakan pada 27 Mei ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Putra Kuala Lumpur (WTCKL), jam 8 malam.
Persembahan durasi 90 minit itu bakal menyaksikan M Nasir mendendangkan 20 lagu popular.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan