Halaman

Ahad, April 17, 2022

Intronya berhantu – M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 17 April 2022

Oleh Mohammad Faizal Abdul Karim


KUALA LUMPUR: Penyanyi bertaraf legenda, Datuk M. Nasir, 64, tidak menafikan peranan alunan seruling dalam lagu Satu Hari Di Hari Raya menjadi kekuatan yang membuatkan lagu berkenaan masih didengari sehingga ke hari ini.

Kata empunya nama sebenar Mohamad Nasir Mohamed ini, elemen tersebut, yang menjadi intro kepada lagu itu bertukar sebagai identiti yang sinonim dengan masyarakat kita.

“Saya tak kaji sangat kekuatan lagu ini. Saya rasa lagu ini sedap, jadi saya buat. Ia ada versi lain, yang pertama saya rakam semasa bersama PolyGram dulu. Versi itu tidak ada intro seruling di awalnya.

“Kemudian ia dirakam semula apabila saya sertai syarikat rakaman BMG. Kami selitkan bunyi seruling yang dialunkan Mohardiman Ismail atau Moha. Intronya ‘berhantu’, senang orang ingat,” katanya.

M. Nasir berkata demikian usai sidang media Konsert Satu Hari Di Hari Raya bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Bercerita lanjut, M. Nasir memberitahu bahawa dia tidak pernah menjangkakan lagu tersebut akan menjadi fenomena yang masih hidup sehingga era kini.

“Saya ikuti perkembangan lagu hari raya sejak di usia kanak-kanak. Yang paling popular sekali adalah Selamat Hari Raya, dendangan Biduanita Negara, Saloma dan banyak lagi lagu-lagu yang lain.

“Saya dapati lagu-lagu itu semua menceritakan tentang kuih muih, ketupat rendang, maaf zahir dan batin. Di era 80 an, kami semua nak hasilkan lagu yang baru.

“Jadi saya usahakan sesuatu yang lain sedikit, sesuatu yang masih kekalkan ‘jiwa’ etnik kita ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri dan semangat di sebaliknya. Saya tulis dan nyanyi sahaja. Tidak pernah memikirkan ia akan jadi seperti ini,” katanya lagi.

Bercakap tentang konsert Satu Hari Di Hari Raya yang berlangsung pada 27 Mei depan, anak kelahiran Singapura ini memaklumkan sebanyak 20 lagu hits yang merupakan lagu-lagu yang sinonim dalam kalangan peminat-peminatnya akan dipersembahkan.

“Pemilihan lagu telah dibuat. Antara yang dipersembahkan nanti adalah lagu-lagu yang seingat saya, ingin didengari semula oleh pendengar. Antaranya seperti Satu Hari Di Raya dan banyak lagi.

“Kami akan kekalkan arrangement yang asal. Orang suka dengar seperti itu. Sedikit penambahan mungkin ada. Untuk buat arrangement baru makan masa yang lama,” ujarnya.

Konsert istimewa itu akan diadakan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Sebarang pertanyaan berkenaan pembelian tiket boleh diajukan kepada Ayob Abd. Majid di talian 0193682548, Sham Amir Hussain (01155026994), Salimey (0166720370) dan Vin (0125342713).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan