Halaman

Jumaat, Februari 18, 2022

24 tahun terperam, Senandung Melayuku hidup semula

 petikan Kosmo 18 Februari 2022

Oleh HARYATI KARIM

SELEPAS 24 tahun terperam, lagu Senandung Melayuku dendangan penyanyi terkenal Datuk M. Nasir menemui khalayak, sekali gus diangkat sebagai single terbaharu sifu muzik itu.

Lagu yang dirakam pada tahun 1998 itu dan digubah sendiri bersama Brad Parker, sepatutnya muncul dalam sebuah projek album antarabangsa kerjasama antara Luncai Emas dan bekas syarikat rakaman gergasi, BMG.

Malangnya, Senandung Melayuku dan sebuah lagi lagu berjudul I Have A Name tidak berpeluang untuk dilancarkan dan terperam begitu sahaja.

“Atas sebab tertentu, projek tersebut terkandas. Namun, empat lagu berjaya dirakam dan sebuah daripada lagu itu adalah Senandung Melayuku.

“Selepas terkandasnya projek album tersebut, Luncai Emas sendiri tidak melakukan sebarang usaha untuk meneruskan terbitan.

“Namun, salah satu daripada empat lagu berkenaan iaitu Dalam yang liriknya ditulis oleh Loloq telah dimuatkan dalam album kompilasi M Nasir,” ujar Pengarah Produksi Luncai Emas, Keon.

KEON mengakui sangat terkejut ketika diminta menulis lagu Senandung Melayuku tetapi menganggap peluang yang datang sebagai satu bentuk penghormatan buatnya.

Relevan

Memandangkan lagu tersebut tidak lapuk dek zaman dan relevan dengan muzik semasa, Luncai Emas mengambil keputusan untuk melancarkan semula lagu Senandung Melayuku sebagai single terbaharu M. Nasir pada tahun ini.

“Memandangkan M. Nasir sudah lama tidak muncul dengan single baharu, Luncai Emas memutuskan untuk mengangkat lagu tersebut sebagai single terbaharunya dan dilancarkan dalam saluran YouTube Luncai Emas Sdn. Bhd.,” kata Keon merangkap penulis lirik lagu tersebut.

Dalam lagu Senandung Melayuku, M. Nasir telah bekerjasama dengan Brad Parker, seorang komposer dan penerbit yang berasal dari Amerika Syarikat.

Sebelum bekerjasama dengan M. Nasir, Brad Parker telah menghasilkan banyak lirik lagu buat penyanyi terkenal antaranya, Cher, Richard Page, Kieran Goss dan Andy Lau.

Saat disoal tentang penghasilan lirik lagu Senandung Melayuku, Keon sebenarnya terkejut apabila M. Nasir sendiri memintanya menulis lirik untuk lagu berkenaan, sedangkan M. Nasir mempunyai piawaian tinggi dan cerewet untuk setiap lirik lagu dendangannya.

“Ketika diminta menulis lirik lagu Senandung Melayuku, saya terkejut.

“Tidak sangka beliau minta saya menulis lirik lagu yang akan dinyanyikan olehnya sendiri.

“Selama bersama dan membantu kerjaya muziknya, saya tidak pernah meminta atau bertanya untuk meng­hasilkan lirik lagu buat beliau,” ujar Keon.

Menurut Keon lagi, M. Nasir mempunyai kuasa untuk menentukan penulis lirik yang sesuai dengan lagu-lagu nyanyiannya.

“Jika dikaji kebanyakan lagu nyanyiannya, lirik pasti dihasilkan arwah Loloq.

“Memang beliau serasi bersama Loloq dan hal itu tidak boleh nafikan.

“Kita perlu hormati hakikat tersebut dan sebab itu dapat menulis lagu buat beliau adalah satu penghormatan buat saya,” katanya.

Selain itu, lagu Senandung Melayuku turut menjadi lagu pembukaan bagi sebuah program dokumentari siaran RTM berjudul Mathnawi yang bersiaran pada tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan