Halaman

Rabu, Jun 30, 2021

Negara kehilangan pemain bass berbakat - M. Nasir

petikan Astro Awani 30 Jun 2021

Irwan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR: Pemergian bekas pemain bass kumpulan Spider, Tony Iskandar Alberto merupakan satu kehilangan besar buat industri muzik, kata komposer terkenal, Datuk M. Nasir.

Menurut M. Nasir, Allahyarham Tony merupakan seorang pemain bass dan komposer yang berbakat besar.

Tony juga digambarkan beliau sebagai seorang yang ahli kumpulan muzik yang jati.

“Tony seorang yang ceria. Dia juga setiakawan dan setia kepada muziknya. Dia bangga dengan muzik dan mainan bassnya.

“Kita hilang seorang pemain bass dan komposer berbakat,” kata seniman itu kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Astro AWANI melaporkan, sekitar pukul 1 pagi Rabu, Tony meninggal dunia di sebuah bilik persendirian di studio Luncai Emas milik M. Nasir di Sungai Buloh, Selangor.

Allahyarham yang berusia 49 tahun memeluk Islam pada 2004 dan difahamkan mempunyai sejarah penyakit kencing manis.

Allahyarham merupakan anggota asal Spider yang turut dianggotai Tam (vokalis), Nafie (pemain gitar) dan Aie (pemain gitar).

Antara lagu popular kumpulan Spider ialah Relaku Pujuk, Kasih Latifah, Laukku Cukup Masin dan Nazraku.

Sementara itu, Pengarah Urusan Luncai Emas, Keon Omar menyifatkan Tony sebagai seorang komposer yang mempunyai banyak idea-idea segar.

Katanya, sejak akhir-akhir ini Tony sangat aktif dalam menghasilkan lagu dan menerbitakan album.

“Sebenarnya Tony kini dalam proses menerbitkan album terbaru kumpulan Jinbara, tapi disebabkan fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) proses rakaman album itu tertangguh,” ujarnya.

Bagi komposer Aidit Alfian pula, Tony merupakan seorang yang sangat menghormati orang lain.

Aidit yang sudah dua dekad mengenali Allahyarham berkata, sekalipun seorang yang berbakat besar dalam muzik, namun Tony tetap merendah diri.

“Dia antara kawan yang saya sayang. Kalau bertemu Tony suka berbual tentang ketuhanan.

“Kali terakhir dia menghubungi saya pada Isnin lepas untuk ucap selamat hari lahir,” kata Aidit yang mengakui terkejut menerima khabar duka itu.

Rakan seperjuangan Tony, Firdaus Mahmud pula berpendapat, Allahyarham merupakan antara pemain bass yang ada gaya tersendiri.

Menurut Firdaus kali terakhir bertemu Tony pada Isnin lepas di Studio Luncai Emas.

“Dia ada telefon Tam (vokalis Spider) pada hari Ahad ajak solat berjemaah. Sehari selepas itu dia hubungi lagi Tam dan ajak saya sekali untuk solat berjemaah. Itu kali terakhir saya jumpa dia,” kata Firdaus yang juga seorang pemain keyboard.

Seorang lagi rakan Allahyarham, Ishmael Shariff pula mengambarkan Tony sebagai seorang yang bersemangat dengan muziknya.

“Dia begitu minat dengan muzik dan mencurahkan segala-galanya dalam lagu ciptaan dan mainan bassnya,” jelasnya.

Pemergian Tony ke rahmahtullah turut mendapat perhatian ramai rakan seperjuangan yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham.

Kesemua mereka yang terkejut dengan pemergian Allahyaham berkongsi doa serta ucapan takziah di laman media sosial.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan