Halaman

Rabu, November 18, 2020

Sambutan luar biasa

petikan Harian Metro 18 November 2020

oleh Ridzuan Abd Rahman  mohamadridzuan@hmetro.com.my

SELEPAS mendapat sambutan memberangsangkan apabila filem Puteri Gunung Ledang (PGL) ditayangkan di YouTube sempena ulang tahun ke-22, penerbitnya Enfiniti Productions menayangkan semula menerusi platform penstriman video EnfinitiV.Asia selama 10 hari mulai Jumaat lalu hingga Ahad ini.

Menerusi tayangan filem berdurasi 145 minit itu, peminat filem berkenaan berpeluang menonton versi yang tidak disunting selain dokumentari khas Di Sebalik Tabir Pembikinan Puteri Gunung Ledang.

Ketika PGL arahan Saw Teong Hin yang menampilkan gandingan Puan Sri Tiara Jacquelina dan Datuk M Nasir ditayangkan di YouTube, kira-kira 5,000 tontonan direkodkan dan banyak komen positif diterima daripada peminat.

Enfiniti Productions dalam satu kenyataan berkata, bagi memenuhi permintaan peminat, pihaknya menayangkan semula versi istimewa PGL yang boleh ditonton di rumah dengan kualiti definisi tinggi bagi tempoh 10 hari.

KEMANTAPAN lakonan Datuk M. Nasir sebagai Hang Tuah mendapat pujian ramai.

Sementara itu, pemilik Enfiniti Productions, Tiara berkata, dia sangat terharu apabila menonton PGL kembali.

"Terlalu banyak memori. Kami bertungkus-lumus selama sembilan bulan meredah gunung, laut, pantai, tasik, hutan, air terjun dan sebagainya. Waktu itu saya tak terfikir peminat filem di Malaysia masih mahu menonton filem itu 16 tahun kemudian. Lebih tersentuh apabila membaca komen di media sosial yang mengatakan PGL sebagai klasik dan tak jemu ditonton walaupun berkali-kali. Malah, ada yang melabelkan ia sebagai filem Melayu terbaik dan 'berhantu'," katanya.

TIARA melakonkan watak sebagai Puteri Gunung Ledang.

Dia juga mengakui tidak menjangka suatu hari nanti, penggemar filem, pelajar filem dan seni serta pengkritik menggelar PGL sebagai filem Malaysia yang paling indah pembikinannya.

"Sejak tayangan Jumaat lalu, kami sangat teruja bila mendapati filem ini ditonton dari pelbagai negara luar termasuk Jepun, Amerika Syarikat, Sweden, Singapura, New Zealand, Jordan, Kanada, Australia dan Indonesia.

"Alhamdulillah, impian untuk karya kami sampai ke seluruh dunia semakin nyata.

Saya bersyukur dengan dedikasi Teong Hin dan semua yang terbabit menjadikan filem itu suatu realiti," katanya.

Tiara berkata, ramai dalam kalangan peminat yang berkongsi detik-detik nostalgia mereka bersama PGL di media sosial.

PELAKON Christine Hakim turut diundang membintangi filem ini.

"Ada yang menonton filem itu sewaktu di alam percintaan dan hari ini sudah pun berkahwin dan berkeluarga. Ada juga penonton kalangan kanak-kanak, seusia anak saya, Dani yang kini lebih memahami konteks dan selok-belok peradaban Melayu. Ada di antara penonton yang menonton bersama ibu bapa mereka yang kini sudah pun kembali menemui pencipta-Nya," katanya.

Tiara berkata, mereka kini mahukan anak-anak mereka agar turut merasai pengalaman menonton filem Puteri Gunung Ledang. Sedihnya panggung wayang pun dah tutup. Jadi, ini mungkin antara peluang terakhir untuk peminat PGL dan sinema Melayu dapat merasai 'magis' cerita ini. Saya doakan filem ini akan jadi legasi saya untuk negara tercinta," katanya.

PGL menduduki tangga ke-49 senarai tapisan Kategori Filem Asing Terbaik pada Anugerah Akademi atau Oscar pada 2004.

Selain itu, PGL memenangi kategori Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Skor Muzik Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-18 pada 2005.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan