Halaman

Ahad, November 22, 2020

Allahyarham A Ali berjiwa mulia

petikan Berita Harian 22 November 2020

Oleh Zaidi Mohamad zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR:  Pemergian komposer popular era 1980-an, A Ali atau nama sebenar, Hamdan Atan, 71, ketika tidur di kediamannya di Kajang, pagi tadi, mengejutkan teman seperjuangan.

Komposer dan penyanyi yang mencipta nama pada era 1980-an menyifatkan arwah sebagai insan kreatif berhati mulia dan komited dalam berkarya.

Sahabat lama, Datuk M Nasir yang digelar 'sifu', menyifatkan arwah sebagai mentornya ketika bertapak dalam dunia seni lebih 40 tahun lalu.

"Saya bermula dengan menjadi peminat arwah pada era 1970-an. Ketika itu, arwah bersama kumpulan Sweet Charity sebagai gitaris.

"Saya pula menuntut di sebuah kolej di Singapura. Pendek kata, arwah jadi mentor saya dalam dunia seni.

"Bermula daripada meminatinya, selepas tamat kolej, saya mengajak arwah menyertai Kembara. Ketika itu, arwah sudah tidak lagi bersama Sweet Charity," katanya kepada BH Online.

Pagi tadi, anak Allahyarham A Ali, Norhuda berkongsi berita pemergian komposer itu yang didapati tidak sedarkan diri oleh ibunya, Latifah Khamis, kira-kira jam 8.30 pagi.

Norhuda dilaporkan berkata, arwah bapanya tidak mempunyai masalah kesihatan kronik dan pemergiannya mengejutkan.

M Nasir menyifatkan arwah insan berbakat besar.

"Setiap sentuhan karya seninya ada magis tersendiri. Sebenarnya, arwah banyak cakap dan setiap tutur kata bagai ada makna besar," katanya.

Zaiton Sameon, penyanyi lagu ciptaan arwah, Menaruh Harapan, teringat jasa A Ali menjulang namanya dengan dendangan itu yang meraih Juara Lagu 1987.

"Gandingan arwah dengan Habsah Hassan sebagai penulis lirik lagu itu cukup menjadi. Arwah cipta lagu Menaruh Harapan dengan menyelami pahit getir hidup saya.

"Dengan lirik dihasilkan Habsah yang saya anggap kakak, arwah menyelami kisah duka saya seperti berkahwin, bercerai dan macam-macam lagi," katanya.

Zaiton juga terkenang lagu Masa Mengubah Segalanya ciptaan arwah yang juga menyentuh kisah pahit hidupnya.

"Seingat saya ada tiga lagu arwah cipta untuk saya. Sebuah lagi single, Rayuanku dendangan Rohana Jalil, pada mulanya diberikan kepada saya.

"Namun, saya tolak lagu itu dan sebabnya, biarlah rahsia," kata Zaiton.

Sementara itu, penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33, Francissca Peter cukup menyenangi sikap A Ali.

"Arwah berperibadi baik dan mulia. Bagi saya, arwah tidak cakap banyak. Arwah fokus dengan kerja dan sentuhan seninya cukup berbisa," katanya.

Tambah Francissca atau mesra disapa Fran, lagu Diriku Terbelenggu ciptaan arwah dengan lirik dihasilkan Habsah, melonjakkan popularitinya pada 1988.

"Lagu itu ada nilai sentimental kepada saya. Saat lagu itu diserahkan komposer Manan Ngah, saya sudah jatuh hati mendengar melodinya.

"Lagu ciptaan arwah bagai ada roh yang bagai boleh menyelami hati dan perasaan saya sebagai penyanyi.

"Saya pula jenis 'jiwang'.... Tidak dinafikan, lagu itu ada serba sedikit kaitan dengan pengalaman sendiri," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan