Halaman

Isnin, November 25, 2019

Lagu malar segar membuai rasa

petikan Harian Metro
Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

EMPAT dekad berkarya dalam industri seni bukanlah tempoh yang singkat.

Durasi panjang itu menyaksikan pelbagai perkembangan, dugaan dan jatuh bangun figura terkenal, Datuk M Nasir sebagai penghibur.

Bagi meraikan tahun ke-40 kembara seninya, M Nasir tampil dengan Konsert M Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan yang berlangsung selama dua hari, Sabtu dan Ahad lalu.

Malam pertama konsert menyaksikan 2,800 penonton dari pelbagai generasi dan latar belakang memenuhi ruang tempat duduk di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Semua mereka bersatu dalam acara penuh gemilang, berkongsi minat yang sama dengan mengagumi M Nasir yang digelar ‘sifu’ di gelanggang seni muzik tanah air.

Kemunculan M Nasir menerima sorakan padu pengikut setianya dan pentas dibuka dengan lagu Langgam Pak Dogo, Anak Anak Kita dan Pheonix Bangkit Dari Abu.

Artis versatil itu kemudian mengalunkan lagu Keroncong Untuk Ana, Sentuhan Listrikmu, Bila Rumi Menari dan Tari Cinta Rimba Mistikal.

Tidak hanya tampil membuat persembahan, M Nasir juga menyelitkan elemen jenaka bersahaja yang membuatkan penonton tak kering gusi.
M Nasir bersama barisan pemuzik dan penari.


M Nasir juga mengambil peluang menzahirkan rasa terima kasih kepada peminatnya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kalian yang sudi hadir menyaksikan konsert pada malam ini.

“Terima kasih juga kepada pihak penganjur yang sudi bekerjasama dengan saya bagi menjayakan konsert ini,” katanya.

Babak paling mencuri perhatian adalah apabila dia mempersembahkan medley lagu ciptaannya yang pernah dipopularkan artis lain.

“Kebanyakan lagu ini, usianya sudah hampir 40 tahun,” katanya.

Antara lagu yang dipersembahkan ialah Kenangan Lalu, Hingga Akhir Nanti, Sekuntum Mawar Merah, Milik Siapakah Gadis Ini, Bercanda di Pasiran Pantai, Istana Menanti, Hani, Sentuhan Kecundang, Sampai Hati, Fantasia Bulan Madu, Sejati, Jaket Biru dan Pawana.

Ia detik yang mungkin tak berulang lagi apabila M Nasir membuktikan kemampuannya menyanyikan lagu ciptaannya dengan baik sekali.

SABRI (tengah) turut tampil menghiburkan penonton.
Lagu wajib yang dinanti-nantikan iaitu Mentera Semerah Padi dan Suatu Masa juga turut membuatkan penonton tidak mampu menahan diri untuk berdiri serta menyanyi bersama.

M Nasir kemudian menutup persembahan Konsert M Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan dengan menyampaikan lagu rancak Raikan Cinta.

Selain M Nasir, penonton turut dihiburkan dengan persembahan dikir barat yang diketuai pelakon yang juga penyanyi dikir barat, Sabri Yunus bersama kumpulan dikir baratnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan