Petikan MyMetroRap 26 September 2019
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my
"SAYA melihat dia sebagai tulang belakang kepada kumpulan Search, apatah lagi mereka sebuah kumpulan rock otai,” kata komposer dan penyanyi, Datuk M Nasir mengenai pemergian ke rahmatullah bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad.
Menurutnya, Yazit disifatkan sebagai penggerak utama dengan kelincahan dan kepakarannya bermain dram.
"Dia juga seorang kawan yang baik dan seorang pemuzik rock sempurna.
"Biarpun dalam keadaan sakit, dia masih lagi datang dan jumpa saya dan kita cerita pasal projek akan datang. Dia sentiasa berada dalam keadaan positif," katanya.
Sementara itu, Datuk Awie menyifatkan dia seperti kehilangan seorang abang yang disifatkan sebagai antara paling rapat dengannya dalam industri hiburan tanah air.
"Yazit antara pencetus muzik rock di Malaysia dan saya sedih dengan pemergian dia.
"Bagaimanapun saya lega kerana dah lakukan yang sepatutnya untuk bantu dia ketika berdepan masalah kesihatan.
"Saya dapat buat satu konsert Wings & Superfriends di Istana Budaya dan ambil dia sebagai ikon untuk diketengahkan masalah artis tanah air," katanya
Perginya 'rhythm' Search - Yazit Ahmad (1962 - 2019)
petikan Harian Metro 26 September 2019
oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my
“ORANG nampak Search itu Amy, tapi ‘rhythm’ (rentak) dia ialah Yazit.”
Ini kata Datuk M Nasir yang dipetik daripada buku semi-biografi Search - Phenomena Of Rock n’ Roll terbitan Dubook pada 2017 lalu.
Apa yang diperkatakan M Nasir itu ada kebenarannya. Bukan menidakkan kehebatan dan karisma anggota Search yang lain seperti Amy (penyanyi), Nasir (bass), Din (gitar) dan Kid (gitar) termasuklah bekas anggotanya seperti Hillary Ang (gitar), Man Kidal (gitar) dan Yan (bass), tetapi kredibiliti Yazit dari segi komitmen serta ‘tone’ dan teknik permainannya membuktikan dia adalah yang terbaik.
Yazit yang mesra dengan panggilan Abang dalam kalangan sahabat adalah tulang belakang muzik Search. Gabungannya dengan anggota Search mewujudkan satu ‘chemistry’ sekali gus membentuk Search hingga menjadi kumpulan rock legenda tanah air.
Sebagai pemain dram, Yazit juga diiktiraf antara yang terbaik di Malaysia.
Pembabitan Yazit dalam bidang muzik bermula sejak remaja lagi. Dia mula bermain dram di kelab Macinta, Johor Bahru sekitar akhir 1970-an. Turut bersamanya ketika itu ialah Nasir yang bermain bass.
Sebelum itu, Yazit sudah mengenali Amy dan Hillary dengan menubuhkan kumpulan diberi nama The Second Traffic Jam. Mereka kerap ‘jamming’ di sebuah studio di Komtar, Johor Bahru. Bagaimanapun, tidak lama kemudian Hillary meninggalkan kumpulan itu untuk bermain muzik di sebuah kelab di Segamat.
Pada 1979, Hillary mengajak Yazit berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bermain muzik di kelab Red Rooster. Beberapa bulan selepas itu mereka kembali ke Johor Bahru untuk mempelawa Amy menyertai kumpulan itu sekali gus membentuk formasi awal Search. Ini diikuti dengan kemasukan Nasir dan ketika itulah nama Search mula dikenali di sirkit kelab-kelab rock di Kuala Lumpur.
Sejak album sulung Search, Cinta Buatan Malaysia pada 1985, Yazit terbabit dalam semua proses rakaman album mereka kecuali album terbaru, Katharsis pada 2017.
Malah, pada 1999 Yazit pernah bersendirian memperjuangkan Search ketika menghasilkan album Selepas Banjir bersama pemuzik yang asing dalam kalangan peminat Search iaitu Moq (penyanyi), Shah (gitar) dan Zam (bass).
Pada 2016, walaupun tanpa sebarang kenyataan rasmi, Yazit meninggalkan Search disebabkan masalah kesihatan selain konflik peribadi bersama Search. Beliau kemudian menubuhkan kumpulan Rampage yang dianggotai Moq (penyanyi), Zam (bass), Jemboo (gitar) dan Rithan (gitar).
Apa saja yang berlaku di antara Yazit dengan Search, penulis secara peribadi merasakan Yazit memang menyayangi Search.
Dalam beberapa sesi teh tarik dan berborak dengannya sebelum ini, beliau nampak ikhlas apabila bercerita dan bermain muzik dengan Search. Malah, di dalam Search, Yazit dilihat paling bersederhana dan dalam masa sama, paling lantang.
Malah, beliau juga dihormati dalam kalangan pemuzik-pemuzik rock lain. Panggilan Abang itu membuktikan Yazit memang dihormati dalam kalangan rakan-rakan.
“Kami hasilkan setiap album dengan ikhlas. Lagu dan muzik yang dihasilkan itu datang daripada jiwa kami. ‘Feel’ lagu-lagu Search lebih kepada kemanusiaan dan bukannya mesin. Sebab itulah ia ‘evergreen’ hingga sekarang”.
Ini antara kata-kata Yazit mengenai Search. Al-fatihah
Katharsis tu bunyi mesin..hahaha
BalasPadam