Halaman

Selasa, September 03, 2019

Semangat kian membara

petikan Harian Metro 3 September 2019
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

PENGANJURAN Konsert M Nasir Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan bukan saja penghargaan buat peminat setianya sekali gus mengimbau perjalanan karier seni penghibur dan komposer legenda ini sejak empat dekad lalu. Konsert berskala besar, Datuk M Nasir ini bakal berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 23 November nanti.

Menurut M Nasir, 62, dia bersyukur kerana ada penganjur yang berminat untuk merealisasikan konsert berskala besarnya itu.

“Saya memang ada perancangan untuk mengadakan konsert setiap kali selepas menghasilkan album.

Selalunya, saya mengambil masa lama kerana mahukan persembahan istimewa buat peminat.

”Namun, semangat untuk mengadakan konsert skala besar ini semakin membara apabila bertemu penganjur konsert ini, Shiraz yang membantu merealisasikannya,” katanya.

M Nasir ditemui pada majlis pengumuman konsert M Nasir Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan di sebuah hotel di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


PERSEMBAHAN M Nasir nanti bakal diiringi band lama, The Gong
Hadir sama, penganjur dan Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn Bhd, Shirazdeen Karim (Shiraz).

Mengulas pemilihan lagu pula, kata M Nasir, ia diputuskan bersama Shiraz dan pengarah muzik konsert terbabit.

”Memang susah untuk memilih kerana ada terlalu banyak lagu yang dihasilkan daripada album pertama sampai sekarang.

”Oleh itu, saya berbincang dengan beberapa individu termasuk pandangan penganjur, Shiraz sendiri.

”Pilihan mereka rata-rata rangkaian lagu popular tetapi saya juga ada lagu lain yang mahu dinyanyikan,” katanya.

Mengikut perancangan, katanya, dia bakal menyampaikan rangkaian lebih 20 lagu malar segar sejak kemunculan pertamanya dari 1979 sehingga sekarang.

Antaranya lagu hit seperti Tanya Sama Itu Hud Hud, Mentera Semerah Padi, Apokalips dan Keroncong Untuk Ana.

”Ia akan membabitkan sesi santai dan ramah mesra bersama peminat setia apabila saya akan menyanyikan lagu ciptaan sendiri tetapi untuk penyanyi lain termasuk secara medley.

Contohnya, lagu Milik Siapakah Gadis Ini dan Fantasia Bulan Madu.

”Setakat ini persiapan dan latihan sudah dimulakan dan persembahan saya nanti bakal diiringi band lama, The Gong yang sudah bersama sejak 20 tahun lalu,” katanya.

Tiada artis jemputanWalaupun namanya tidak asing dalam konsert mahupun persembahan, M Nasir mengakui masih gementar setiap kali mengadakan konsert untuk peminat.

”Hanya Allah SWT yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya masih ingat ketika mengadakan Konsert Gong Impian selepas menghasilkan album Saudagar Mimpi dulu.

”Konsert itu tidaklah laris sangat tetapi saya suka dengan percubaan yang dilakukan. Pada masa sama, saya juga percaya akhirnya orang akan suka juga,” katanya.

Ditanya mengenai artis jemputan pula, kata M Nasir, dirinya tidak pernah menampilkan artis lain dalam setiap konsert dianjurkan.

”Saya berasa tidak perlu untuk menampilkan penyanyi jemputan dalam konsert. Saya sendiri melihat penampilan artis jemputan dalam konsert bagaikan sudah menjadi budaya di negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, konsert M Nasir Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan akan meneruskan persembahannya di Singapura pada penghujung tahun ini.Mereka yang mahu mendapatkan tiket konsert berharga antara RM160 sehingga RM860 boleh layari laman sesawang www.myticket.asia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan