Halaman

Jumaat, Ogos 24, 2018

Apabila sifu bertemu sifu

petikan MalaysiaKini  diterbitkan 24 Ogos 2018

Jarang-jarang dapat menyaksikan dua tokoh daripada dua 'dunia' berbeza bertemu dan bertentang mata dalam satu-satu masa.

Namun itulah yang dapat disaksikan apabila pemimpin politik terkemuka, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Datuk M Nasir.

Menurut sumber dari pejabat Anwar, presiden PKR itu meluangkan masa kira-kira sejam bertemu M. Nasir di pejabatnya di Bukit Gasing, semalam.

Gambar-gambar pertemuan itu turut dimuatnaik dalam Facebook rasmi bekas ketua pembangkang itu.

"Tadi siang (semalam) Anwar Ibrahim luang masa bersama M. Nasir, nama besar yang bukan asing dalam lapangan muzik tanah air.

"Lagu beliau berjudul ‘Bila Rumi Menari’ yang berirama rancak dan sarat dengan mesej cinta dan falsafah itu ternyata memberi kesan yang mendalam pada AI (Anwar Ibrahim)," kata keterangan pada gambar-gambar berkenaan.

Selain M. Nasir, komposer terkenal, S. Amin Shahab turut bersama dalam pertemuan berkenaan.

"Semoga mereka terus kreatif berkarya dan terus mewarnai industri muzik tanah air," jelas kenyataan pada Facebook Anwar.

Terkenal dengan julukan sifu di kalangan penggiat seni, M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad merupakan personaliti yang cukup gah dalam industri hiburan tempatan.

Selain penyanyi dan komposer, beliau juga merupakan seorang pelakon, penerbit album, pengarah serta pelukis berbakat.

Sepanjang penglibatannya dalam industri hiburan, M Nasir telah banyak melahirkan bintang terkenal sama ada secara berkumpulan mahupun solo seperti Search, Wings, Alleycats, Ella, Ziana Zain, Hattan, Spider, Mawi dan Misha Omar.

Manakala dalam dunia politik pula, nama Anwar tidak perlu lagi diperkenalkan sama ada di peringkat nasional mahupun di persada antarabangsa.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam politik - pernah menjadi individu nombor dua dalam kerajaan sebelum tersingkir ke penjara - serta menjadi tokoh utama gerakan reformasi dan pembangkang.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga merupakan mentor kepada ramai pemimpin politik pada hari ini.

Kontroversi 'siapa Mahathir'?

Dalam dunia seni hiburan, pertemuan antara kedua-dua 'sifu' itu mungkin dilihat sebagai pertemuan biasa antara seorang komposer dan ahli politik.

Namun dalam politik, pastinya pertemuan itu akan dibaca dalam bahasa dan sifir politik pula, lebih-lebih lagi ketika spekulasi hubungan antara Anwar dan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan dingin.

Walaupun tidak dilihat vokal dalam isu-isu berkaitan politik, M Nasir pernah mencipta kontroversi dalam satu kenyataan yang dibuat sekitar tahun 1996.

Ungkapan 'Siapa Mahathir' yang dilaporkan diucap komposer itu membawa padah apabila dia digam oleh stesen televisyen dan radio tempatan.

Bagaimanapun, M. Nasir diketahui merupakan seorang seniman yang mengambil sikap dan pendirian menjauhi isu-isu politik nasional.

Pada penghujung tahun lalu, apabila ditanyakan semula berkenaan kontroversi itu, M Nasir tidak berminat memberikan ulasan.

“Saya tak suka bincang isu ini. Tak mendatangkan hasil,” katanya kepada wartawan selepas program Magnum Opus 40 Tahun M Nasir Kembara ke Solo di Kuala Lumpur.

Mengenai pertemuan dengan presiden PKR itu, M Nasir ketika dihubungi Malaysiakini masih dengan sikap yang sama - enggan memberikan sebarang komen, mungkin kerana tidak mahu isu itu dipolitikkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan