Halaman

Ahad, Jun 10, 2018

Jamal tunda konsert duo

petikan Harian Metro 10 Jun 2018
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

KONSERT duo istimewa gandingan hebat Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah dan komposer ternama, Datuk M Nasir pada 3 hingga 6 Ogos ini di Istana Budaya Kuala Lumpur terpaksa ditunda pada November depan.

Menurut penyanyi lagu Kekasih Awal dan Akhir itu, konsert terpaksa ditunda selepas mengambil kira kesan pertukaran kerajaan baru ketika ini.

“Pihak kami bimbang, orang ramai masih fokus kepada perkara itu dan tidak berminat menyaksikan konsert.

“Selain itu, pihak kami juga terpaksa memikirkan banyak faktor lain termasuk aspek penajaan,”€ katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Bagaimanapun, kata Jamal, pihaknya belum berbincang dengan M Nasir tarikh baru konsert istimewa itu.

“Konsert diterbitkan syarikat saya dan pihak kami baru memutuskan mengenai perkara itu tiga hari lalu.

“Mengikut perancangan, pihak kami memilih minggu pertama November untuk mengadakan konsert berkenaan, katanya.

Ditanya jika M Nasir tidak dapat memberikan komitmen tarikh baru itu, kata Jamal, dia terpaksa mencari penyanyi lain untuk menggantikannya.

“Saya memilih M Nasir untuk konsert itu kerana beliau mempunyai aura tersendiri menarik penonton.

“Saya mahu tampil sedikit kelainan tahun ini dengan berduet bersama rakan artis dan bukan membuat konsert solo,” katanya.

Sebelum ini, Jamal muncul dengan Konsert Tiga Suara bersama Zamani dan Ameng Spring yang berlangsung di Istana Budaya tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan