Halaman

Sabtu, April 21, 2018

Betulkah kumpulan nasyid ‘legend’ Al-Jawaher kini aktif semula?

petikan BERITAMediacorp 21 April 2018

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan nasyid yang pernah ‘meletup’ dan popular dalam persada muzik tempatan, iaitu A-Jawaher, seakan-akan aktif kembali. Ia kini membuat tiga hingga empat persembahan menyanyi setiap bulan di seluruh Singapura.


Anggota-anggotanya yang aktif adalah Norhaiyati selaku penyelaras kumpulan tersebut, Siti Hajar dan Normala (adik-adik M.Nasir), Siti Rusminah iaitu ibu kepada penyanyi Didicazli dan Habibah yang kini menetap di Johor Bahru.

Sebenarnya apa cerita terbaru dan perkembangan kumpulan tersebut? Apakah mereka akan merakamkan lagu-lagu baru? Apakah kumpulan ‘otai’ atau ‘legend’ nasyid itu akan kembali mewarnai landskap nashid tempatan?

BERITAMediacorp bertanyakan sendiri kepada para ahli kumpulan Al-Jawaher. Namun sebelum itu, kami imbas sedikit kumpulan ‘all-women’ itu untuk golongan milenial yang mungkin tidak pernah mendengar atau siap itu Al-Jawaher.

KISAH AL-JAWAHER BERMULA PADA 1979

“Kembara berjalan bersendirian, Mencari jalan pulang, Bilakah masanya embunkan menjelma, Di tanah gersang yang membakar…”

Itulah antara bait lirik lagu kumpulan Al-Jawaher berjudul Kembara Di Tanah Gersang yang seringkali berkumandang di radio WARNA 94.2FM saban hari. Selain lagu tersebut, kumpulan nasyid itu juga mempopularkan lagu-lagu berjudul Perjalanan, Yang Merah Itu Saga, Senandung Unggas dan Ku Pohon Restu Ayah dan Bonda.



Apabila tiba musim Hari Raya pula, akan berkumandang lagu-lagu malar segar daripada mereka di corong-corong radio berjudul Selamat Hari Raya dan Ku Pohon Restu Ayah Bonda.

Kumpulan yang pada awalnya belajar mengaji dan berzanji bersama Ustazah Hamidah Hj Shukor, bekas naib johan qariah peringkat kebangsaan, diasah bakat oleh Ustazah berkenaan. Ketika itu, suami kepada Ustazah Hamidah iaitu Ustaz Haji Ahmad Karim berhasrat menubuhkan sebuah kumpulan nasyid baru.

Maka lahirlah kumpulan Al-Jawaher pada tahun 1979 yang mempunyai sembilan anggota. Ustaz juga bertanggungjawab menjadi pengasas kepada kumpulan nasyid Al-Mizan yang terlebih dahulu ditubuhkan. Album pengenalan Al-Jawaher berjudul Permata diterbitkan pada tahun 1980 disusuli dengan album kedua mereka berjudul Perjalanan yang diterbitkan oleh M.Nasir dengan bantuan Ustaz Hj. Md Karim.

“SEBENARNYA AL-JAWAHER TAK HILANG”

BERITAMediacorp menemui 2 anggota kumpulan tersebut iaitu Hajjah Norhaiyati serta Hajjah Siti Rusminah baru-baru ini untuk mengetahui perjalanan kumpulan nasyid tersebut serta status kumpulan Al-Jawaher.

Ke mana hilangnya Al-Jawaher sebenarnya? Ini penjelasan Norhaiyati:

“Sebenarnya Al- Jawaher tak hilang, kita sentiasa ada. Cuma kita terima aktiviti-aktiviti tertentu. Saya sebagai penyelaras akan pastikan berapa ramai yang boleh buat persembahan, kalau ada lima InsyaAllah kita terima, kalau ada tiga selalunya kita tak dapat terima undangan itu.

“Pada tahun 1996 kita berehat atas sebab kerjaya dan urusan rumah tangga, selepas anak-anak dewasa dalam tahun 2010 kita aktif balik dan mula terima jemputan antaranya untuk undangan amal.”

Kini, mereka mendapat sejumlah tiga atau empat undangan nyanyian setiap bulan termasuk persembahan amal. Musim lebaran juga Al-Jawaher semakin kerap mendapat undangan nyanyian. Pastinya ada sesuatu yang menjadi titik tolak bagi kumpulan Al-Jawaher kini membuat “comeback” secara perlahan-lahan.

DARIPADA 9 KINI TINGGAL 5 ANGGOTA

“Permintaan bertambah. Jadi bila kita menolak undangan kesian. Lebih-lebih lagi untuk amal, masjid dan Persatuan Ain sebelum ini. Bila kita bawak lagu-lagu kita, mereka ingin kita comeback dengan lagu-lagu kita yang dikatakan sebagai killer song seperti Kembali Ke Tanah Gersang dan Ku Pohon Restu Ayah dan Bonda,” cerita Norhaiyati lagi kepada BERITAMediacorp.

Meskipun pada awalnya kumpulan Al-Jawaher dianggotai oleh sembilan wanita, kini hanya tinggal lima sahaja yang aktif menyanyi. Satu persatu berundur atas sebab kesihatan. Ada pula yang sudah bercucu. Terang mereka, sekiranya ada persembahan besar, Al-Jawaher mendapat sokongan dari sebuah lagi kumpulan nasyid tempatan bernama An-Nisa.

“Mereka dah biasa ikut Al-Jawaher dan di bawah Al-Jawaher,” kongsi Norhaiyati.


Sehingga kini, kumpulan tersebut tetap saling bertemu untuk bersilaturrahim dan membawa keluarga masing-masing. Dari situlah mereka sering juga berkongsi pengalaman masa lampau mereka di studio sehingga membuat mereka bersemangat untuk kembali menyanyi semula rupa-rupanya.

BELUM ADA TREND BARU KUMPULAN NASYID WANITA

Kalau anda masih ingat, lagu ciptaan M.Nasir nyanyian Al-Jawaher pernah dirakamkan semula oleh Ziana Zain sebelum ini. Lagu tersebut diangkat menjadi lagu musiman pada musim Raya. Bahkan, Siti Nurhaliza, Ella, Ezlyn dan Misha Omar juga pernah membawakan lagu Al-Jawaher untuk persembahan mereka di televisyen sebelum ini.

“Kita tumpang bangga sebab dari dulu kita tunggu pelapis. Tapi sehingga kini, belum ada pelapis sebab bila kumpulan Hidayah dan Al-Mizan dah bersara, tinggal kita. Mengapa kita tidak didik anak-anak bawa lagu-lagu kerohanian? Tidak nampak (lagi),” kata Norhaiyati kepada kami.

“Itu sedihnya. Jadi bila artis-artis ini bawak lagu-lagu kita, sudah tentu kita tumpang gembira. Mereka bantu mempopularkan lagi lagu-lagu kita,” ujar beliau lagi ceria.

Norhaiyati turut berpendapat trend untuk menubuhkan kumpulan nasyid belum ada lagi sampai sekarang. Selepas trend kumpulan nasyid wanita ditubuhkan di Singapura pada tahun-tahun 1970-an, lahirlah kumpulan nasyid lelaki dari Malaysia seperti Raihan, Rabbani dan Hijjaz.



SEJUJURNYA, AL-JAWAHER MEMANG”INGIN” RAKAM LAGU BARU

Secara jujur, kumpulan Al-Jawaher mengaku kepada BERITAMediacorp bahawa ia teringin juga merakamkan lagu-lagu baru sekiranya diberi peluang. Namun setakat ini, belum lagi ada sebarang tawaran untuk berbuat demikian. Jelas isi hati Norhaiyati mewakili sahabat-sahabatnya itu:

“Sebenarnya ingin. Sekarang tak payah rakam banyak lagu. Satu lagu dah boleh jual. Kalau ada mengapa tidak?”

Mereka bersyukur kerana ketiga-tiga penyanyi solo kumpulan tersebut iaitu Habibah (solo pertama), Siti Rusminah (solo kedua) dan Siti Hajar (solo ketiga) tetap kekal bersama kumpulan tersebut.

“Untuk sesebuah kumpulan kalau penyanyi solo keluar, yang lain habislah. Itu (sebabnya) yang kita masih boleh terima undangan,” kongsi penyelaras Al-Jawaher itu.

Sebagai anggota Al-Jawaher, Norhaiyati mengharapkan agar “lagu-lagu mereka akan sentiasa berkumandang di radio walaupun tanpa adanya kita, lagu kita tetap ada.”

Naiknya nama Al-Jawaher atas sebab kerja keras M.Nasir yang menerbitkan lagu-lagu yang mempunyai makna yang cukup mendalam. Begitu juga dengan sentuhan Ustaz Hj. Md Karim yang menghasilkan lagu Yang Merah Itu Saga dan Seloka Nasihat.



Apa pula pandangan mereka tentang M.Nasir?

“Dia seorang yang unik, seorang mentor, guru, sahabat dan seorang yang jujur. Setiap kesalahan kita di studio dia tegur. Kita bersyukur sangat,” kongsi Norhaiyati mengungkit kisah berdekad lamanya.

Bagi penyanyi solo kedua, Siti Rusminah pula, beliau berhenti seketika menganggotai Al-Jawaher pada tahun 1981 setelah mendirikan rumah tangga. Beliau kembali semula bersama kumpulan itu pada tahun 2008 atas gesaan anaknya iaitu penyanyi Didicazli.

Ini pendedahan beliau kepada BERITAMediacorp:

“Didicazli cakap pada saya bahawa kawan mummy Yati (Norhaiyati) kirim salam. Dari situ kakak hubungi Yati. Bila kakak nak pergi haji, kakak jemput semua anggota datang ke rumah. Dari situ kita bincang, Yati kata pada saya kenapa tak masuk balik? Suami saya kata terpulanglah. Juga atas dorongan Yati, kalau tidak saya tak masuk kembali (ketawa).”

Nak dijadikan cerita, darah seni memang sudah sekian lama mengalir dalam keluarga beliau. Arwah bapa Siti Rusminah pernah menganggotai kumpulan marhaban manakala ibu pula pernah menyanyi keroncong.

Kumpulan Al-Jawaher juga pernah menyanyi di majlis perkahwinan anak Norhaiyati pada Mac 2018 yang baru lalu. Ramai yang terpegun kerana suara mereka tetap lunak dan merdu didengari meskipun sudah 38 tahun kumpulan itu ditubuhkan.

Siti Rusminah kami tanya bagaimana dapat mengekalkan suara yang sedap dan merdu sehingga kini.

“Kita mesti banyak baca Al Quran sebab kalau kita banyak baca Al Quran, InsyaAllah suara kita tak akan berubah sangatlah walaupun kita dah berusia.Kumpulan kita pun dulu kumpulan marhaban.” ujar beliau sambil tersenyum.

Yang pasti, Al-Jawaher masih tetap bertemu “sifu” mereka M.Nasir apabila berkesempatan sekiranya penerbit tersebut berada di Singapura. Kali terakhir berjumpa ialah pada tahun lepas. Dua anggota kumpulan Al-Jawaher yang merupakan adik-adik M.Nasir (Siti Hajar dan Normala) yang mengaturkannya.

Jadi, apakah Al-Jawaher tidak pernah bertanyakan kepada M.Nasir supaya menghasilkan lagu-lagu baru untuk kumpulan tersebut? Celah Norhaiyati dalam pertemuan pada malam tersebut:

“Kadang pernah cakap dengan dia, Abang M.Nasir karanglah lagu. Dia akan bergurau dan kata “korang boleh menyanyi ke?”
 Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/hiburan/betulkah-kumpulan-nasyid-legend-al-jawaher-kini-aktif-semula/4009518.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan