Halaman

Jumaat, September 08, 2017

Wings, M. Nasir misi gegar MITC

petikan Kosmo! 8 September 2017
Oleh NURUL FADILA AWALUDIN
Foto AZLAN HADI ABU BAKAR

Kumpulan Wings bersama M. Nasir semasa sesi latihan menjelang konsert mereka di MITC yang akan berlangsung pada malam esok.

LEBIH tiga dasawarsa bernafas dalam industri hiburan tanah air, kumpulan Wings nyata tidak pernah menghampakan peminat terutama sewaktu membuat persembahan berskala besar.

Sentiasa berusaha menampilkan kelainan dalam setiap persembahan, terkini, kumpulan tersebut memilih untuk berpadu dengan Datuk M.Nasir bagi menjayakan Konsert Wings sempena Fiesta Getthis.

Berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka malam esok, konsert tersebut julung kalinya menyaksikan kumpulan Wings bertindak sebagai pemuzik mengiringi persembahan M. Nasir.

“Kami sememangnya kerap membuat persembahan bersama tetapi ini merupakan kali pertama apabila hanya kumpulan Wings sahaja mengiringi persembahan M. Nasir.

“Selalunya, persembahan beliau turut melibatkan beberapa pemuzik lain tetapi kali ini saya memutuskan untuk memberikan kelainan kepada penonton,” terang Datuk Awie yang ditemui di studio latihan A’Via Musicom di Pandan Indah, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada masa sama, pelakon filem Sembilu itu turut berkongsi pengalaman bekerjasama buat pertama kali bersama M. Nasir yang merupakan penerbit album pertama kumpulan Wings berjudul Belenggu Irama.

Katanya, pengalaman mempelajari teknik vokal bersama individu yang dianggap sebagai idola mahupun sifu sekitar tahun 1987 itu merupakan titik tolak buatnya sebelum menempatkan diri dalam industri hiburan tanah air.

Pelantun lagu Sejati itu turut meluahkan rasa bimbang sekiranya berlaku kesilapan terutama melibatkan masalah teknikal sepanjang konsert tersebut berlangsung.

“Konsert ini amat istimewa buat saya dan kumpulan Wings apatah lagi ini merupakan persembahan eksklusif kami bergandingan dengan M. Nasir.

“Saya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persembahan ini sehinggakan tidak mengambil sebarang tawaran sepanjang tempoh dua minggu latihan diadakan.

“Latihan vokal dan penjagaan kesihatan adalah perkara utama yang dititikberatkan. Saya menaruh harapan tinggi agar peminat akan berasa terhibur dengan persembahan kami nanti,” ujar Awie selain memperincikan tentang durasi acara yang dijadualkan berlangsung selama dua jam, Sabtu ini bermula pada pukul 9 malam tersebut.

Bakal mempersembahkan 16 buah lagu termasuk persembahan solo M. Nasir dan duet bersama Wings, Awie memberitahu dia tidak pernah campur tangan dalam soal pemilihan lagu dalam konsert berkenaan. Sebaliknya, perkara tersebut ditentukan sendiri oleh anggota lain iaitu Black (pemain drum) dan Eddie (pemain gitar) sendiri.

Baginya, perkara tersebut memberi lebih kepuasan dan keselesaan bersama selain menyesuaikan persembahan dengan susunan muzik yang telah dirancang.

Konsep berkenaan juga diterima baik oleh M. Nasir. Pelakon filem Puteri Gunung Ledang itu nyata tidak mempunyai masalah membiarkan anggota kumpulan Wings untuk menentukan lagu yang bakal dipersembahkan.

“Saya tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran itu dan berasa bersyukur apabila melihat mereka berjaya mencapai impian dan cita-cita dalam industri.

“Mereka yang akan mengiringi persembahan kelak dan saya tidak mempunyai masalah dalam soal pemilihan lagu. Bagaimanapun, diharapkan saya berjaya membuat persembahan mengikut gaya Wings,” jelas M. Nasir sambil berseloroh.

Tidak hanya konsert istimewa daripada Wings dan M. Nasir, Fiesta Getthis yang bermula pada 8 hingga 10 September itu turut dimeriahkan dengan aktiviti forum, pameran dan jualan kenderaan automotif, 60 trak makanan dan gerai jualan oleh selebriti tempatan seperti Fauziah Ahmad Daud, Mawi, Anis Al-Idrus, Nubhan, Encik Mimpi dan Zul Yahya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan