Halaman

Rabu, September 06, 2017

Bangkit bersama merangsang semangat artis

petikan Harian Metro 6 September 2017
 Adam Salleh
Mengaitkan sukan dengan dunia artis, terbayang kegemilangan Pestabola Merdeka pada era 80-an. Artis yang sering kelihatan di Stadium Merdeka adalah Khalid Salleh dan Imuda. Itulah nama yang penulis ingat, malah pernah ke stadium bersejarah itu menonton berlawanan persahabatan antara Malaysia menentang Kelab Hambung dari Jerman, ada rakan kaki bola ketika itu kata jika nak tengok Khalid Salleh dan beberapa rakannya terpekik, terlolong bagi menyemarakkan semangat pemain, kenalah pandang tempat duduk berdepan dengan grand stand.

Di sebaliknya tidak dapat ingat pula artis perempuan manakah yang sanggup ke Stadium Merdeka ketika itu semata-mata menonton bola sepak? Kecualilah sewaktu perlawanan bola sepak dan bola jaring persahabatan di antara artis Malaysia dan artis Indonesia di stadium sama, kelibat artis perempuan seperti Maria Arshad, Raja Nor Baizura turun beradu tenaga.

Lain dulu, lain sekarang. Sebagaimana kita maklum, negara baru selesai menjadi tuan rumah Sukan Asia Tenggara (SEA Games) ke-29 dengan begitu cemerlang apabila mengutip 145 pingat emas, 92 (perak) dan 86 gangsa dengan jumlah 323 pingat. Yang sinonim dikait artis dengan Sukan SEA, sudah pastilah aksi Datuk Sudirman Haji Arshad beserta kostume Jalur Gemilang direntang berjela-jela rekaan Den Wahab sewaktu penutupan Sukan SEA 1989 begitu utuh terakam di ingatan kita. Artis diingati hanya sebagai penyanyi pembukaan dan penutup temasya.

Seperti di Stadium Bukit Jalil baru-baru ini Datuk M Nasir dan Dayang Nurfaizah diberi penghormatan menyanyi pada malam pembukaan, tidak terkecuali Ella muncul pada malam penutupan dengan lagu Standing In The Eyes Of The World terimbaulah kita sewaktu negara menjadi tuan rumah Sukan Komanwel XVI (1998). Itu saja komitmen artis hanyalah menyanyi.

Untuk menjadi penyokong atau supporters ini banyak perlu dikorbankan, selain masa dan wang ringgit (bagi acara mengenakan tiket), tenaga perlu diambil kira. Bukan mudah meredah lautan manusia atau berhimpit-himpit menaiki pengangkutan awam. Dek kerana inilah, penulis salute Ultras Malaysia yang sentiasa Sehati Sejiwa segerombolan ‘turun’ ke stadium.

Bertemakan slogan Bangkit Bersama (Rise Together), Sukan SEA kali ini begitu klasik dalam menjana semangat patriotik yang jitu buat generasi baru untuk turun ke setiap gelanggang atlet kita bertarung. Penulis hadir pada perlawanan hoki lelaki akhir Malaysia menentang Myanmar (14-0) terasa bangga melihat anak-anak muda Malaysia sanggup bermandi hujan, seolah-olah turut sama berjuang dengan pemain hoki kita. Tiba detik lagu Negaraku dimainkan, masing-masing menyanyi bersama sambil Jalur Gemilang direntang di bahu.

Bukan nak kata, malu pun ada. Tatkala penulis meniti remaja awal 80-an, cukup payah nak melihat rakan-rakan penulis membawa Jalur Gemilang yang ketika itu kita sebut bendera saja. Tidak seperti hari ini, usahkan bendera baju dan cenderhati berkaitan Sukan SEA 2017, masing-masing berlumba-lumba mahu membeli dan menyimpannya sebagai koleksi.

Haru juga dibuatnya kerana ramai rakan dan ahli keluarga bertanyakan baju Sukan SEA 2017 itu apabila melihat penulis memakainya. Sehelai berharga RM75 pun mereka sanggup bayar. Lucunya selepas perlawanan hoki berakhir, ramai peniaga di kaki lima stadium menjual baju Sukan SEA kualiti kelas kedua hanya RM25 sehelai, itu pun ramai berebut-rebut membelinya.

Begitulah bersemangatnya warga Malaysia tanpa mengira kaum. Penutupan Sukan SEAa edisi 29 itu pada 30 Ogos (Rabu) berselang sehari Hari Kebangsaan Ke-60 pada 31 Ogos (Khamis) dan Jumaat (1 September) Aidiladha cukup menarik. Kejayaan negara menjuarai temasya ini pada malam merdeka, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak umum pula cuti sehari.

Di sebalik Sukan SEA kali ini, agak menarik buat julung kali kalangan artis dan selebriti tanah air tidak ketinggalan memberi sokongan pada atlit negara khususnya bagi acara bola sepak. Sewaktu Malaysia menentang Indonesia pada separuh akhir acara itu kelihatan artis di stadium dan jumlah mereka membuak-buak pada perlawanan akhir Malaysia menentang Thailand.

Lalu terakamlah kelibat Fattah Amin, Zain Saidin, Datuk Hans Issac, Nur Risteena, Ruhainies, Elyana, Janna Nick, Datin Nina Juren, Zara Zya, Jehan Musa, Nadia Brian, sementara untuk acara polo sewaktu negara menentang Brunei, kelihatan Fathia dan Tunku Hanis serta pengacara Apa Kata Wanita (AKW), Datin Zamzarina Zamri dan puterinya, Adriana.

Kelibat Fara Fauzana (Fafau) pula di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, difahamkan setiap kali perlawanan berakhir Fafau akan meminta jersey pemain (ikut mana yang sempat) untuk disimpan sebagai cendermata. Jalur Gemilang juga tidak berenggang dengan Fafau malah aksi deejay terkenal itu riang menjerit-jerit sempat juga dirakam peminat.

Artis khususnya pelakon itu adalah cerminan masyarakat, justeru kesungguhan golongan ini sanggup meredah lautan manusia bagi memeriahkan sukan dwi tahunan ini membawa pengertian jiwa mereka turut bangkit bersama rakyat apabila begitu bersemangat menyanyikan lagu ciptaan Saiful Bahri (Allahyarham). Inilah Barisan Kita sebagai tanda sokongan tanpa berbelah bagi buat ibu pertiwi. Semoga sokongan para artis, selebriti dan rakyat Malaysia pada negara tercinta tidak berhenti pada Sukan Sea 2017, sebaliknya hingga ke akhir dunia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan