Halaman

Ahad, November 08, 2015

Kisah di sebalik pembikinan lagu Srikandi Cintaku

petikan Sinar Harian 8 November 2015
oleh Muhammad Shamsul Abd Ghani

“DINGIN malam, tirai kenangan ku, menyerlahkan sekurun ingatan.
Terciptalah rimba kehidupan, percintaan dalam perjuangan...”

Itu antara bait lagu Srikandi Cintaku yang pernah menjadi siulan anak muda ketika era kegemilangan 'rock jiwang' pada 1980-an dahulu.

Malah, tidak boleh dinafikan lagu ini kekal popular sehingga kini sehingga menjadi pilihan buat kaki karaoke sekiranya ingin melepas gian menyanyi.

Dek kerana populariti yang diraih lagu nyanyian kumpulan Bloodshed ini, ia pernah menduduki takhta Lagu Pujaan 10 Nescafe selama beberapa minggu ketika zamannya.

Kini selepas hampir 27 tahun kelahiran lagu itu, penulis bertemu dengan bekas vokalis lagu tersebut Rosdan Baharom di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi menggamit semula memori yang hampir terpadam tersebut.

"Mungkin ramai yang tidak tahu, lagu itu memalit 'kenangan pahit' buat abang," kata Rosdan kepada penulis tatkala berbicara mengenai lagu 'berhantu' tersebut.

Katanya, lagu itu dinyanyikannya dalam terpaksa kerana dipaksa oleh M Nasir untuk membuat rakaman ketika pukul tiga pagi.

"Mula-mulanya abang ingat lagu Panah Arjuna dengan Epik Cinta akan meletup tapi entah macam mana lagu Srikandi Cintaku yang popular.

"Abang tidak boleh dengar lagu itu, menyanyi dalam keadaan marah, bila abang dengar balik lagu itu ada sahaja tidak betul, sebab masa nak buat rakaman itu abang tengah tidur, tiba-tiba N Nasir suruh kawan  abang gerak untuk buat rakaman.

“Mana ada orang nyanyi pukul tiga pagi, dengan suara 'berkerak'. Buat pukul tiga pagi sebab N Nasir tidak mahu buang masa, tetapi pada orang lagu ini 'best'.

“Lagi satu lagu ini susah hendak nyanyi selepas itu, sebab mood itu tak sama ketika buat rakaman," katanya dalam keadaan tawa sewaktu mengimbau kenangan rakaman lagu itu.

Katanya lagi, namun dalam keadaan memaksa dia syukur kerana lagu itu siap juga dirakamkan.

"Abang habis juga buat rakaman iaitu dalam jam 6 pagi," katanya lagi ketika mengimbas kenangan 27 tahun lalu.

Kehidupan Kini

Berbalik kepada masa kini Rosdan berkata, kehidupannya kini sudah berubah, dia kini lebih 'rileks' berbanding ketika zaman kegemilangannya.

"Abang sekarang menjadi pelukis jalanan, lukis potret, karikatur dan abang senang dengan kehidupan sekarang.

"Ada juga cakap-cakap kata tetapi abang tidak kisah, bagi abang hidup mesti ikhlas, jujur, orang hendak kata penyanyi rock terkenal hendak lukis tepi jalan, sekurang-kurangnya abang buat kerja ikhlas halal, apa hendak malu kita bukan mencuri kita bukan merompak," katanya.

Kembali Menyanyi

Katanya buat masa kini, 'gian' untuk menyanyi itu belum sampai 'seru'.

"Abang sudah malas hendak masuk televisyen, tetapi tengoklah macam mana," katanya.

Mengakhiri perbualan Rosdan berkata dia berterima kasih kepada orang sekelilingnya yang banyak membantu dia.

"Terima kasih kepada Puan Nora Reformis, sahabat-sahabat lama yang banyak membantu saya selama ini," katanya.

Buat peminat Rosdan sekiranya anda ingin bertemunya  serta ingin menempah hasil seninya bolehlah bertemunya di Masjid India.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan