Halaman

Rabu, Mei 27, 2015

Simbahan cat gimik sifu

petikan Harian Metro 27 Mei 2015
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
am@hmetro.com.my

Kanvas putih di kiri dan kanan pentas seolah-olah menjadi saksi perjalanan seni Datuk M Nasir menerusi konsert solonya M Nasir... Kembara di Stadium Tertutup Kompleks Sukan (Sukpa) Pahang, Kuantan, Ahad lalu.

Seniman yang sinonim dengan gelaran sifu dalam industri muzik tanah air itu melakar karya seni dengan simbahan cat menerusi medium berkenaan sebagai gimik pada konsert berkenaan.
Karya itu sekali gus mencerminkan kembara empat dekad perjuangan artis prolifik itu sebagai penyanyi, penulis lirik, komposer, penerbit album, pelakon dan pelukis masih unggul dalam kelasnya tersendiri.

Ternyata pada usia mencecah 58 tahun, M Nasir masih memiliki aura tersendiri apabila penonton amat teruja menyanyikan lagu-lagu popularnya sehingga ada kalanya menenggelamkan vokal penyanyi itu.

M Nasir yang mengenakan kemeja-T biru tua berlengan panjang dan seluar merah hati memulakan persembahan dengan lagu Rawajali Terbang Tinggi diikuti Apokalips.

Walaupun konsert itu bermula agak lewat iaitu jam 10.15 malam, peminat tetap memberi sorakan padu dan bekerjasama setiap kali M Nasir meminta menyanyi bersamanya.

Sebanyak 14 lagu dendangannya tidak menghampakan peminat langsung, malah liriknya sentiasa diingati membuatkan penyanyi kelahiran Singapura itu benar-benar terharu dan merakamkan ucapan terima kasih berkali-kali kepada hadirin.

“Terima kasih kepada anda semua yang berada di sini malam ini (Ahad) walaupun esok adalah hari bekerja. Terima kasih kerana masih menjadi peminat saya dan menyanyi bersama saya,” katanya.
Lagu lain yang didendangkan ialah Mustika, Bonda, Tanya Sama Itu Hud Hud, Raikan Cinta, Hati Emas, Gerhana, Mentera Semerah Padi, Ada, dan Bunga Bakawali yang didendangkan bersama anggota Kembara, Zoul yang juga adiknya.

Persembahan M Nasir semakin panas apabila peminat mula memenuhi ruangan di bahagian hadapan pentas ketika lagu Tanya Sama Itu Hud Hud.

“Kita gegarkan dewan ini kerana saya tahu anda semua datang dari jauh untuk menyaksikan persembahan ini dan saya gembira dapat menghiburkan anda semua,” katanya.

M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad kekal bertenaga dengan pergerakannya di atas pentas dan ternyata ia adalah aksi yang sentiasa ditunggu peminat.

“Ya, saya tahu sebahagian peminat saya di sini berusia 40 tahun dan tahu lagu nyanyian saya tetapi saya lebih terharu apabila ramai remaja menghafal lirik lagu yang saya sampaikan malam ini,” katanya.

Hampir 3,000 peminat hadir menyaksikan konsert itu yang turut menampilkan artis undangan iaitu kumpulan Spider dan Fynn Jamal serta penyair tempatan, Marsli No yang mendeklamasikan sajak berjudul Kembara disulami persembahan silat.


Persembahan diiringi pemain gitar, Nan, Mohar (seruling), Ujang (drum), Kelly (bass), Firdaus dan Eddie Slam (keyboard), Pa’Ang (percussion) dan penyanyi latar Izat, Eja dan Awai.
Konsert tajaan Celcom dan PERODUA itu akan meneruskan penjelajahan di tiga lagi lokasi di seluruh negara iaitu Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor pada 13 Jun ini, Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang (5 September) dan berakhir di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor, pada 7 November.

Terdahulu pada petang sebelum konsert, peminat berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan penyanyi itu selama hampir satu jam di sebuah hotel di Kuantan.


“Saya rasa bersyukur, teruja dan tak sabar buat persembahan pada konsert ini. Memang sudah lama saya tak buat konsert jelajah secara solo begini dan kali terakhir ialah Konsert Andalusia 15 tahun lalu.

“Saya bersama syarikat saya Luncai Emas Sdn Bhd sudah merancang konsert ini sejak dua tahun lalu dan hanya dapat merealisasikannya malam ini dan semoga peminat dapat menerima persembahan saya,” katanya.

3 ulasan:

  1. Giler senarai lagu best of.

    Is it M Nasir start main kul 10.15 malam hanya pasal Opening acts tu semua ke?

    Cut the crap la, buat apa orang lain sibuk baca sajak or syair untuk Kembara dan delay the show? Kalau aku ada, aku rasa aku dah boo. Apa nak jadi jadi la...

    Ridiculous la ni semua...
    Lepas Isyak.. M Nasir main 2 jam.
    Kul 11 malam semua dah balik rumah.

    BalasPadam
  2. setuju deaf...pukul 10.15 malam badan pun dah letih...

    BalasPadam
  3. Betul tu. lambat sangat la kalau 10.15 start
    harap kat Pasir Gudang jangan buat lagu ni la ye...

    Rasanya ada org Pontian nak balik rumah tgh malam tu nanti...jauh....

    BalasPadam