Halaman

Sabtu, November 22, 2014

Reunion Kembara selepas 28 tahun

Petikan Harian Metro 22 November 2014
Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

'Kembara' muzik mereka tidak pernah berhenti.

Inilah yang dapat penulis simpulkan selepas menonton persembahan Kembara pada Malam Gala Konsert Hati Emas Kembara di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, kelmarin.
Selepas album terakhir Lagu-Lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986, mereka berpecah dan membawa haluan masing-masing.

Malam kelmarin, Kembara yang dianggotai Datuk Dr M Nasir (penyanyi), A Ali (gitar, penyanyi), S Sahlan (penyanyi,gitar, penyanyi), Zoul Mohd (gitar, penyanyi), Cheman Suri (bass), Md Shah Othman (keyboard) dan Ahmad Akib (keyboard) bersatu kembali.

Sejak mula mengenali Kembara ketika di sekolah rendah dan menghafal serangkap dua lirik lagu Hati Emas, Gerhana, Impian Anak Jalanan, KepadaMu Kekasih dan Keroncong Untuk Ana, penulis sudah memasang angan-angan untuk menyaksikan konsert mereka.

Namun, tidak pernah terfikir pula ia hanya menjadi realiti selepas hampir 30 tahun! Antara percaya dengan tidak, Kembara yang lagunya dulu penulis dengar daripada kaset atau piring hitam milik saudara dan jiran sebelah rumah kini berada di depan mata.

Memulakan persembahan dengan lagu Ekspres Rakyat, mereka yang turut dibantu pemuzik jemputan seperti Raffi (gitar), Ujang (dram), Paan (percussion), Romli (gendang) dan kumpulan pemuzik alat tiupan yang diketuai pemain seksofon terkenal, Jari dilihat berjaya mengubat rindu penonton dengan aksi 'live' Kembara yang ditubuhkan di Singapura pada 1980 itu.

Tanpa banyak bicara, M Nasir yang mengetuai Kembara meneruskan persembahan dengan lagu Impian Anak Jalanan, Siapa Orang Kita dan Sesat Di Kuala Lumpur.

Apa yang pasti, tunjang konsert malam itu ialah M Nasir. Selain sebagai penyanyi utama, beliau juga lebih menonjol dan popular berdasarkan kerjaya solonya sebagai penyanyi, penerbit album, komposer dan penulis lirik (beliau juga seorang pelakon dan pelukis).

Jadi, tidak keterlaluan jika dikatakan konsert berkenaan boleh dilihat sebagai konsert M Nasir. Mungkin ramai yang tidak bersetuju, tetapi itulah hakikatnya.

Daripada 27 lagu dipersembahkan, 19 daripadanya dinyanyikan oleh M Nasir manakala A Ali dan S Sahlan masing-masing menyanyi tiga lagu dan Zoul dua lagu.

Secara kebetulan kebanyakan lagu popular Kembara adalah nyanyian M Nasir. Namun, keempat-empat mereka sepatutnya menjadi 'frontman' dalam konsert berkenaan, tetapi yang berkomunikasi dengan penonton hanyalah M Nasir seorang sahaja.

Dalam erti kata lain, tidak ada interaksi sesama mereka bagi menunjukkan kepada penonton bahawa itu adalah konsert 'reunion' Kembara yang pertama di Malaysia selepas 28 tahun.

Apa yang berlaku ialah M Nasir 'menguasai' pentas pada malam itu manakala A Ali, S Sahlan dan Zoul dilihat lebih berperanan sebagai pemuzik pengiring. M Nasir dalam sidang media selepas konsert berkata, perkara itu berlaku mungkin kerana mereka masih belum 'panas' memandangkan ia persembahan malam pertama.

"A Ali dan S Sahlan memang begitu sejak dulu. Mungkin ada perubahan malam esok (malam tadi) hingga Ahad ini," katanya. Selain kelmarin, Konsert Hati Emas Kembara mula dibuka kepada penonton berbayar malam tadi, malam ini dan esok di lokasi sama.

Apapun, peranan tiga anggota Kembara itu tetap tidak boleh diketepikan. A Ali yang menyanyikan lagu Oh Bulan, Ada Sepasang Mata dan Di Perhentian Puduraya lebih dominan sebagai pemain gitar utama.

Mungkin ada yang tidak tahu, walaupun selepas itu namanya lebih dikenali sebagai komposer dan penerbit yang menaikkan nama penyanyi seperti Zaiton Sameon, Rohana Jalil dan Wann, dia juga antara gitaris tempatan terhebat.

Menggunakan gitar kegemarannya iaitu Fender Stratocaster, A Ali yang juga bekas gitaris Sweet Charity memainkan gitar solo dengan hebat dalam lagu popular Kembara.
S Sahlan pula dilihat masih mampu membawakan lagu bernada tinggi seperti Impian Seorang Nelayan, Senandung Buruh Kasar dan Ayahku Dan Angkasawan.

Sementara itu, Zoul yang juga adik kepada M Nasir lebih berperanan sebagai gitaris untuk lagu rock Kembara seperti Duit, Hati Emas dan Gerhana selain dia sendiri menyanyikan lagu Bas Nombor 13 dan Bunga Bakawali.


Apapun, konsert anjuran Luncai Emas Sdn Bhd itu tetap memberi kepuasan. Kembara yang terkenal dengan lagu rakyat dan lirik puitis ini sebenarnya memiliki kepelbagaian dalam muzik mereka.
Hampir semua jenis muzik ada dalam lagu mereka. Baik pop, folk, tradisional, kemelayuan, dangdut, reggae hinggalah rock sekali gus menjadikan Kembara sebuah band yang tersendiri.

Lagu lain yang dipersembahkan ialah Perjuangan, Kolar Biru, Nusantara, Rupa Tanpa Wajah, Sekuntum Bunga Plastik, Malam, Kiambang, Keroncong Untuk Ana, KepadaMu Kekasih, Empat Penjuru, Kupu-Kupu, Kutu, Duit, Hati Emas dan Gerhana.

Semua lagu dipetik daripada album mereka seperti Kembara pada 1981, Perjuangan (1982), Generasiku (1983), Seniman Jalanan (1984), 1404 Hijrah (1984), Duit (1985) dan Lagu-Lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan