Halaman

Rabu, Disember 25, 2013

M Nasir bersuara

petikan Hip Berita Harian  25 Disember 2013
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin | serima@bh.com.my

Sifu muzik perjelas isu terima anugerah 14 kali, cipta hampir 2,000 lagu sejak 1970-an

Jarang sekali seniman bernama Datuk M Nasir ini dilihat tampil ke depan untuk memperjelaskan kedudukan sebenar berhubung sesuatu kontroversi. Apatah lagi dirinya sendiri kurang dikaitkan dengan cerita panas yang mencalarkan imej.

Namun, sekiranya dirasakan perlu, komposer dan penyanyi tersohor ini tidak keberatan untuk membuka mulut menghuraikan sesebuah persoalan mengaitkan diri mahupun kerjaya seninya. Itulah juga yang dilakukan M Nasir apabila ada sesetengah pihak dikatakan mempertikaikan pencapaiannya menerima anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ke-14 pada Malam Mesra Badan Pelindung Hak Cipta Muzik (MACP) 2013, baru-baru ini.

Begitupun, sifu muzik ini seboleh-bolehnya enggan memanjangkan isu terbabit. Kata M Nasir, tiada guna dia memperjelaskan peranan MACP, sebaliknya pihak yang mempertikaikan pencapaiannya itulah yang seharusnya perlu maklum objektif badan berkenaan ditubuhkan.

“Saya tidak perlu marah atau berang apabila ada yang pertikaikan kenapa saya masih dipilih sebagai penerima anugerah itu. Sepatutnya, sebelum perkara terbabit hendak dijadikan isu, pihak itu sendiri perlu tahu apa tujuan anugerah berkenaan diwujudkan.

“Dia pertikaikan kelayakan saya sebab dia tidak faham. Saya bukan baru setahun atau dua buat lagu. Sebaliknya saya sudah menghasilkan hampir 2,000 lagu dan masih lagi menulis sehingga kini.

“Saya juga bukan buat lagu untuk diri sendiri, sebaliknya untuk penyanyi lain juga. Saya kira, itu sudah cukup untuk menjelaskan kenapa saya masih dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan,” katanya yang ditemui pada sidang media mengumumkan konsert tahun baru anjuran sebuah bank di Putrajaya, minggu lalu.

Belum putus serah trofi

Baru-baru ini, pemberian anugerah tertinggi kepada M Nasir nyata tidak disenangi sesetengah pihak, apabila mereka mencetuskan pertikaian berhubung kehebatan pencipta lagu dan penghibur kelahiran Singapura itu, sehingga tiada calon lain lebih layak untuk menerima anugerah terbabit.

Ditanya adakah dia rela melepaskan anugerah itu ke tangan komposer lain tahun depan, berikutan wujudnya pihak yang mempertikaikan pencapaiannya itu, M Nasir menyerahkan perkara berkenaan kepada keputusan yang dicapai MACP pada mesyuarat mereka akan datang.

“Saya belum membuat sebarang keputusan, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada MACP untuk membuat keputusan, pada mesyuarat akan datang,” katanya yang mula aktif dalam bidang muzik sejak 1979.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan