Halaman

Rabu, April 03, 2013

Kembara masih membara

petikan cyberita 3 April 2013

Gabungan semula Kembara di Esplanade dijangka pencetus kepada banyak lagi persembahan pada masa akan datang

Oleh
HANIM MOHD SALEH

MEMANG benar kata pelukis dan penulis lirik S. Amin Sahab mengenai kumpulan Kembara - bahawa kumpulan ini lengkap ciri senimannya.

Sebagai sebuah kumpulan, Kembara berwarna bagai sebuah lukisan, nilai sasteranya terserlah menerusi keindahan dan makna mendalam akan lirik-liriknya, sementara lagu-lagunya mempunyai semangat perjuangan masyarakat yang tinggi pengaruhnya.

Kesemua ciri ini tergambar dalam konsert Kembara Ekspres Rakyat, yang pertama kali menggabungkan semula kesemua anggotanya selepas 20 tahun, berlangsung di pentas Dewan Konsert Esplanade pada Sabtu malam lalu.

Lagu-lagu yang dipersembahkan sepanjang konsert dua setengah jam itu mengingatkan kita betapa industri rakaman Melayu tanah air pada era '80-an dulu cukup tinggi dan kaya mutu seni, baik dari segi seni kata mahupun melodinya.

Kita lihat rakaman sejarah tanah air menerusi lagu Bas Nombor 13, Senandung Buruh Kasar dan Ekspres Rakyat.

Menilai sosial kehidupan menerusi lagu Duit dan Tarian Hidup dan meraikan kasih sayang dan ketuhanan menerusi Lagu Untuk Seorang Ibu dan Kepada Mu Kekasih.

Konsert itu mencatat sejarah kerana pertama kali mengumpulkan kesemua dalam satu pentas.

Ini termasuklah anggota pelopor, M. Nasir, A. Ali dan S. Sahlan, dan anggota generasi kedua termasuk pemain dram, Shahrum Basiron; pemain bes, Rahman Suri, penyanyi dan pemain gitar Zulkifli Mohamed (Zoul) dan pemain keyboard, Mohd Shah Othman.

Pengarah muzik yang selama ini bertanggungjawab menyusun banyak lagu Kembara, Ahmad Arkib, turut naik pentas sebagai pemain piano.

Konsert dibuka dengan lagu tema Ekspres Rakyat dan lagu-lagu 'pemanas' suasana seperti Khafilah dan Rupa Tanpa Wajah.

Biarpun M. Nasir tetap menjadi tumpuan sebagai penyanyi utama, penyanyi lain tetap mengekalkan peranan sebagai vokalis utama apabila membawa lagu-lagu yang pernah mereka dendangkan dulu.

S. Sahlan mendapat tepukan gemuruh kerana masih mampu menarik nada tinggi membawa lagu popularnya, Impian Seorang Nelayan dan Senandung Buruh Kasar.

Walaupun tidak banyak bercakap, Sahlan memikat penonton dengan aksinya yang cukup mengasyikkan - ayunan badan dan tangannya hampir tidak berhenti sepanjang persembahan. A. Ali yang bernostalgia dengan lagu Di Perhentian Pudu Raya juga minimal perbualannya tetapi asyik menjadi mangsa usikan, terutama daripada Rahman dan Nasir.

Zoul pula tetap tenang ketika menerajui lagu popular era '80-annya, Bunga Bakawali.

Walapun sudah lama tidak bergabung, semangat Kembara masih membara. Hentakan dram Shahrum seperti 'melepaskan geram' daripada awal hingga akhir konsert - cukup bertenaga dan garang bunyinya. Gentelan gitar Zoul juga masih menyengat dan alunan bes Rahman tetap terasa romantisnya.

Nasir sendiri masih kuat auranya sebagai penyanyi utama, bahkan memberikan persembahan terbaiknya ketika membawakan lagu Kepada Mu Kekasih.

Beliau tidak lupa memberi penghormatan kepada penulis lirik lagu tersebut, Eunosasah.

Gabungan semula Kembara di Esplanade dipercayai akan menjadi pencetus kepada banyak lagi persembahan mereka pada masa akan datang kerana sudah terdapat permintaan buat mereka beraksi di negara jiran.

Seperti kata Nasir selepas membawa lagu penutup, Gerhana, di akhir konsert: "Tahun depan kita buat konsert lagi di sini."

Tambahan : Berita Awani mengenai Konsert Kembara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan