Halaman

Isnin, Mac 11, 2013

Kembara hasilkan single untuk peminat

petikan astroawani  11 Mac 2013

KUALA LUMPUR: Ekspres Rakyat, Gerhana, Hati Emas, Kolar Biru dan Duit merupakan antara lagu-lagu kumpulan Kembara yang menjadi siulan anak muda awal 80-an.

Hingga kini, setelah lebih 20 tahun, lagu-lagu dari kumpulan Kembara masih menjadi pilihan penggemar muzik tanah air.

Menyedari Kembara dan lagu-lagu senandung rakyat mereka yang masih mendapat tempat, anggota kumpulan tersebut berhasrat untuk menerbitkan single terbaru sebagai hadiah kepada peminat yang masih menyokong mereka.

Salah seorang pengasas kumpulan Kembara, Datuk M. Nasir yang masih aktif berkarya hingga hari ini berkata, selain single baru, kumpulan tersebut juga berhasrat untuk merakam semula semua lagu-lagu lama mereka dalam bentuk akustik.

"Berkemungkinan kami akan merakam semula semua lagu-lagu kami sebelum ini ataupun hanya fokus kepada penciptaan lagu baru sahaja," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan untuk Konsert Ekspres Rakyat Kembara di Muzium Toko, Yayasan warisan di Johor Bahru baru-baru ini.

Sementara itu, bagi A.Ali, perbincangan untuk menerbitkan sebuah single baru sedang berjalan bersama syarikat rakaman Luncai Emas.

Beliau menjelaskan ketiga-tiga anggota Kembara perlu duduk bersama-sama mencari melodi yang sesuai dan membuat susunan muzik yang beridentiti Kembara.

Katanya lirik pula akan diserahkan kepada S. Amin Shahab atau M.Nasir kerana Kembara lebih sinonim dengan lirik ciptaan mereka berdua.

"10 lagu atau 12 lagu lama sahaja tidak mencukupi. Oleh itu kami perlu ,membuat lagu baru untuk Kembara.

"Kami akan berusaha mencari melodi yang sesuai dengan konsep Kembara. Untuk memperoleh hasil ini, kami bertiga perlu berkumpul bagi mendapatkan lagu dengan identiti Kembara" kata A.Ali yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu tahun 1987 menerusi lagu Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon.

Sementara seorang lagi anggota Kembara, Sahlan berkata, Kembara  berkemungkinan bakal keluar dengan sebuah single baru kerana mereka bertiga benar-benar berjiwa muzik.

Dalam perkembangan yang sama, Kembara bakal mengadakan sebuah konsert di Esplanade Singapura pada 30 Mac nanti.

Ini merupakan konsert pertama mereka selepas 20 tahun tidak mengadakan persembahan bersama.

Konsert Ekspres Rakyat Kembara akan menampilkan kesemua anggota asal kumpulan tersebut dan ia menjadi salah satu konsert yang dinanti-nantikan oleh peminat di Singapura kerana Kembara merupakan ikon muzik negara tersebut.

Bagi penerbit bersekutu Konsert Ekpres Rakyat Kembara, Norhayati Yusuf, kumpulan ini dipilih kerana mereka membawa kelainan berbanding kumpulan muzik lain.

Selain itu Kembara dipilih kerana kualiti lagu dan muzik yang mereka bawakan yang masih tiada gantinya.

Perbincangan untuk mengadakan konsert ini sudah dilakukan sejak setahun yang lalu bersama beberapa pihak termasuk anggota kumpulan Kembara.

"Mereka membawa kelainan untuk pemuzik dan juga peminat di Singapura, Malaysia dan mungkin juga di Indonesia. Saya tahu ramai peminat di luar sana yang menanti-nantikan kepulangan mereka, dan semua ini disebabkan oleh kualiti yang akan dibawa oleh kumpulan Kembara," kata Norhayati.

Katanya Kembara mempunyai pengaruh yang besar dikalangan pemuzik tempatan termasuk pemuzik muda.

"Ramai yang merindukan lagu-lagu yang berkualiti seperti ini dan anda pasti dapat mendengar lagu-lagu seperti di konsert Kembara nanti," katanya yang turut merancang persembahan beberapa artis lain di Esplanade tahun ini.

Bagi M. Nasir, nostalgia ketika bersama Kembara masih aktif mungkin tidak dapat dirasakan semasa konsert di Esplanade nanti. Namun katanya, dengan semua anggota asal masih bersama, kerinduan peminat terhadap Kembara akan terubat.

Selepas konsert di Singapura, kumpulan Kembara berhasrat untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur dan beberapa tempat lain.

Untuk konsert selama lebih dua jam ini nanti, latihan telah diadakan sejak beberapa bulan yang lalu.

Ini kerana, mereka tidak mahu berada di atas pentas tanpa persediaan yang rapi hingga menghilangkan kualiti kumpulan Kembara yang pernah dikenali.

“Latihan amat penting dan kami perlu bersikap serius bagi menghadapi konsert ini," kata A.Ali yang menegaskan Kembara bukan hanya muzik tetapi perjalanan setiap individu dalam menempuh hidup.

Sementara Zoul Muhamad yang menggantikan A.Ali dalam Kembara berkata konsert ‘reunion’ ini memberi makna tersendiri. Beliau yang bersama Kembara pada tahun 1984 menyifatkan penyertaannya bersama kumpulan tersebut sesuatu yang tidak diduga.

"Menggantikan A.Ali dalam Kembara merupakan satu langkah yang besar dalam karier muzik saya," kata Zoul.

Mereka berharap konsert ini akan menjadi kenangan terindah buat semua peminat muzik terutama peminat kumpulan Kembara dan mampu mengubat kerinduan sebahagian besar mereka yang lama menantikannya.

*Untuk melihat petikan berita & temubual mengenai persiapan Kembara ke Espalanade layari video ini.  VIDEO BERITA 1 (1:21 minit) :  VIDEO BERITA 2 (3:19 minit) 

Video Latihan Kembara dari Youtube


4 ulasan:

  1. I hope to make it...

    Its going to be lots of fun and happening evening.

    BalasPadam
  2. Deaf, I hope u will be there.
    Mana tau kita selisih bahu nanti... :)

    BalasPadam
  3. Kau duk mana?
    Aku nak try tape. Hehehe.

    BalasPadam