Halaman

Khamis, Disember 06, 2012

Luahan duka Habsah Hassan


petikan Harian Metro 6 Disember 2012
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
       
MENDENGAR luahan rasa penulis lirik terkenal, Habsah Hassan dalam ucapan aluannya pada pembukaan majlis Malam Mesra Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (M) Berhad (MACP) 2012 yang berlangsung di Hotel The Royal Bintang, Damansara, malam kelmarin cukup menggambarkan suatu kekecewaan.

Apatah lagi, memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi MACP, Habsah yang mempunyai pengalaman puluhan tahun dalam industri muzik nyata tak mampu membendung lagi duka di hatinya tatkala masih ada pihak yang suka menangguk di air keruh dan enggan membayar royalti hak cipta pada lagu dimainkan.
Kata Habsah, kurangnya kefahaman dan kesedaran mereka untuk menghargai harta intelek menyebabkan ada di antaranya bermain tarik tali dan mempertikaikan hak MACP yang kini sudah memperoleh ‘Sijil Pengisytiharan Badan Pelesenan’ daripada  Pengawal Hakcipta di Perbadanan Harta Intelek (MyIPO).

“Tak dinafikan, saya kecewa dengan apa yang berlaku kerana sepatutnya jumlah kutipan royalti hak cipta untuk keseluruhan bagi 2011 adalah lebih baik. Namun, atas sebab kurang faham mengenai hak cipta dan harta intelek dengan pelbagai pengumuman dikeluarkan, ada pihak yang mengambil kesempatan.
“Ada di antaranya mempertikaikan kenapa pembayaran royalti harus dibuat kepada MACP seolah-olah tidak tahu bahawa setiap bunyi muzik yang dimainkan di tempat awam seperti hotel, pusat hiburan dan restoran memang dikenakan sejumlah bayaran tertentu. Ini kerana setiap muzik diperdengarkan itu ada pengkaryanya.

“Malah, mereka harus tahu dan ingat tiada yang percuma di dunia ini. Semuanya dikenakan bayaran seperti juga kalau mahu menonton wayang, menikmati makanan mahu pun meletakkan kenderaan. Jadi, hal yang sama ini perlulah sedia dibayar pada setiap muzik yang dimainkan di tempat mereka.

“Apapun, dengan adanya sijil pelesenan ini, MACP akan lebih bersikap tegas pada masa akan datang. Bagi pihak yang enggan membuat pembayaran, kami lebih dulu memberikan mereka amaran dan peringatan. Jika masih lagi berdegil, MACP boleh mengambil tindakan lanjut menerusi undang-undang.

“Pun begitu, saya sebenarnya tidak suka menggunakan kekerasan. Jadi, atas apa yang sudah saya suarakan diharapkan mereka faham. Ini kerana setiap pencipta atau pengkarya muzik memang berhak dibayar kerana lagu dimain, diguna atau dipersembahkan itu adalah hasil karya mereka untuk tujuan apa sekali pun,” katanya.

Menurut Habsah, beliau sebolehnya mahu menjaga hati semua orang.
Bagaimanapun, memikirkan menjadi tanggungjawab MACP membela nasib karyawan muzik tanah air terutama komposer dan penulis lirik, segala yang terbuku harus diluahkan. Ujarnya, apa yang dilakukan sekadar memberi penerangan.

“Saya tahu ramai yang masih kurang faham fungsi MACP termasuk ahli kami sendiri. Ini kerana, saya turut berasa ditikam dari belakang oleh segelintir pihak di kalangan ahli MACP yang tidak faham tetapi terikut-ikut dengan cakap-cakap orang lain. Dalam soal ini, alangkah bagusnya jika mereka datang berbincang.

“Bahkan, saya sentiasa bersikap terbuka kepada mereka untuk berbincang dan memberikan penerangan jelas,” katanya turut memaklumkan kutipan royalti hak cipta keseluruhan untuk pengagihan bagi 2012 nanti mungkin terjejas. Ia berikutan, kutipan tersasar daripada apa yang sepatutnya dicapai.

Katanya, sebagai contoh jumlah kutipan sasaran sepanjang tahun ini untuk hotel dan pusat hiburan tidak mencapai tahap ditetapkan kerana ada di antara pengusaha enggan membuat pembayaran kepada MACP atas alasan bersandarkan faktor
pengumuman-pengumuman yang dikeluarkan tanpa rujukan dan perbincangan itu.

Sehubungan itu, secara keseluruhan MACP meraih kutipan royalti berjumlah lebih RM40 juta sepanjang tahun lalu bagi membela seramai 3,000 orang
ahlinya yang berdaftar. Mengetengahkan tema ‘malar segar’ pada majlis malam mesra diadakan, seramai 12 penerima anugerah dipilih meraih pengiktirafan MACP.

Justeru, komposer dan penyanyi terkenal tanah air, Datuk M Nasir masih unggul apabila terus dipilih sebagai komposer yang menerima royalti tertinggi dengan menggondol Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak pada majlis dianjurkan MACP buat kali ke-17 itu. Ia sekali gus menjadikan M Nasir, selaku pemenang buat 13 kali berturut-turut.

Selain itu, Habsah pula dipilih menerima anugerah Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak. Manakala, anugerah Nadi Cipta pula menjadi milik penyanyi rock terkenal, Ramli Sarip. Bagi anugerah lain iaitu Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak diraih oleh EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd, diikuti Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak (Luncai Emas Sdn Bhd).

Bagi kategori Komposer Muda Berpotensi disandang Low Weng Fai. Begitu juga dengan penerima anugerah Lagu Inggeris Persembahan Terbanyak (Tempatan) dimiliki James Michael Baum menerusi lagu One Night dan Lagu Cina Persembahan Terbaik (Tan Vui Chuan/Huang Ting, lagu Wo Ai Ta/penyanyi Ding Dang).

Tidak ketinggalan, anugerah Lagu Melayu Persembahan Terbanyak diraih Pakai Buang dendangan Stacy, ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim, Manakala, Lagu Luar Negara Persembahan Terbanyak (Katy Perry-Hot n Cold), Lagu Dengan Pendapatan Luar Negara Tertinggi (Sandy Rivera& Haze-Freak) dan Anugerah Khas MACP diterima Pengasas MACP, Ang Kui Tiang.

M Nasir berkata, beliau berasa sangat bertuah dengan anugerah dan pencapaiannya buat kali ke-13 itu. Katanya, segala yang dimiliki itu bersandarkan usahanya menghasilkan lagu yang menjadi hiburan kepada masyarakat. Sepanjang menjadi anak seni, M Nasir sudah menghasilkan 2,000 lagu dan lirik.

“Saya sangat bersyukur kerana mampu bertahan hingga kini dan lagu-lagu yang pernah dihasilkan juga masih diminati masyarakat. Sebagai komposer, saya sudah melakukan sebaik mungkin dalam menghasilkan lagu dan satu anugerah juga apabila sebahagiannya berjaya menjadi karya malar segar,” katanya.

Menurut M Nasir, beliau memang tak pernah menyangka kebanyakan lagu dihasilkannya banyak yang menjadi siulan hingga kini. Katanya, beliau tidak menggunakan sebarang formula ketika mencipta lagu, sebaliknya mengakui tahu cara membuat lagu bersandarkan ilham dan lirik yang menjurus kepada kerohanian.

Ramli pula berkata, sebelum ada badan pengurusan yang sistematik seperti MACP, dia dulu pernah mendapat bayaran sebanyak RM60 untuk lagunya. Namun, kini nyata semua sudah berubah dan dia bersyukur kerana matlamat MACP cukup jelas dalam usaha membela nasib dan perjuangan karyawan seni.

“Saya gembira menerima anugerah ini dan berharap usaha MACP dilakukan pada masa akan datang berjaya. Apatah lagi, bagi memantapkan penghasilan lagu yang mempunyai potensi untuk menjadi malar segar seperti era 60-an hingga kini.  Dalam soal ini, dengan usaha giat dilakukan pasti akan berjaya,” katanya.

Selain penyampaian anugerah kepada pemenang, tetamu yang hadir juga dihiburkan dengan persembahan mantap dan hebat menerusi rangkaian lagu-lagu malar segar yang didendangkan penyanyi terkenal seperti Fredo, Herman Tino, Rohana Jalil, Zur Eda serta pendatang baru seni suara, Asmidar (juara Vokal Bukan Sekadar).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan