Halaman

Selasa, Mei 31, 2011

Persatuan keroncong nusantara ditubuhkan

petikan Utusan Malaysia 31 Mei 2011
JOHOR BAHRU 30 Mei - Sebuah persatuan keroncong nusantara akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat bagi menyemarakkan lagi usaha mempromosikan irama tersebut terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Asiah Md. Ariff berkata, cadangan itu dikemukakan oleh kumpulan keroncong Singapura yang menyertai Pesta Keroncong Johor 2011 selama tiga hari berakhir semalam.

Beliau berkata, tiga negara bakal menyertai persatuan tersebut iaitu Malaysia, Singapura serta Indonesia dan pada masa sama terdapat cadangan bagi menjemput Brunei untuk turut menyertainya.

"Cadangan yang diberikan itu adalah sesuatu yang positif dan wajar diteruskan kerana ia adalah usaha baik untuk mengembangkan irama keroncong ke seluruh nusantara," katanya pada Malam Gala Pesta Keroncong Johor 2011 di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini, semalam.

Program yang pertama kali diadakan itu disertai sebanyak 15 kumpulan keroncong dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Pada malam tersebut, penonton dihiburkan dengan persembahan artis terkemuka tanah air iaitu Datuk M. Nasir yang tampil mendendangkan tiga lagu termasuk lagu Keroncong Untuk Ana dan Mustika.

Asiah berkata, menerusi persatuan yang bakal diwujudkan itu, dijangka muzik keroncong mampu berkembang dan diterima dengan baik termasuk golongan remaja.

Selain itu, persembahan muzik keroncong secara kontemporari dan kombinasi bersama muzik lain dilihat mampu menjadi tarikan kepada generasi muda pada masa akan datang.

"Ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengikis persepsi masyarakat tentang muzik keroncong yang sering dikaitkan dengan golongan berusia," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan