Halaman

Selasa, November 16, 2010

Pertama, terakhir daripada Marlia Musa

Pertama, terakhir daripada Marlia Musa
petikan Utusan Malaysia 16 November 2010
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar ZAKARIA IDRIS

MANIS bertudung Merah turut membabitkan penyertaan para pelakonnya yang terdiri daripada penonton di panggung tersebut.

SELAIN bergelar pelakon dan pensyarah di Fakulti Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Marlia Musa juga merupakan pengarah dan aktivis teater tanah air sejak lebih dua dekad lalu.

Sepanjang bergelar pengarah, isteri penyanyi M. Nasir ini telah mengarahkan pelbagai jenis teater termasuklah teater kanak-kanak berjudul Manis Bertudung Merah di Panggung Eksperimen, Aswara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut Marlia, naskhah itu merupakan teater kanak-kanak pertama dan terakhir yang diarahkannya selepas dia menyedari bukan mudah untuk mengarahkan teater genre tersebut.

“Ini adalah teater kanak-kanak pertama yang saya arahkan dan ini juga kali terakhir saya mengarahkan teater kanak-kanak. Saya dapati amat sukar untuk mengarahkan genre ini berbanding genre-genre lain.

“Mengarahkan teater untuk tontonan orang dewasa lebih mudah kerana gaya bahasa, jalan cerita, mesej dan arahannya dihalakan secara terus. Sementara teater kanak-kanak memerlukan masa dan penelitian.

“Saya tidak mahu memperendah-rendahkan nilai pemikiran kanak-kanak. Banyak aspek misalnya, daripada segi psikologi yang harus ditekankan dalam pementasan teater kanak.

“Sebab itu saya harap para penonton yang 80 peratus penonton Manis Bertudung Merah pada malam ini yang terdiri daripada kanak-kanak faham tentang teater arahan saya ini,” ujarnya.

Para pertemuan dengan Hits selepas berakhirnya pementasan teater yang dipersembahkan oleh para pelajar peringkat diploma Aswara itu, Marlia berkata, dia tidak serik atau tersalah genre sewaktu mengarahkan teater kanak-kanak.

Sebaliknya, kata Marlia, dia terbabit dalam pementasan itu sebagai salah satu aktiviti dan ujian buat para pelajar fakulti terbabit dalam menterjemahkan teori subjek yang mereka pelajari di Aswara.

“Seramai 20 pelajar Fakulti Teater Aswara terbabit dalam pementasan ini di mana mereka dipecahkan kepada dua kumpulan. Pemarkahan pengajian mereka akan dikira daripada aktiviti-aktiviti seperti ini.

“Antara cabaran kami mementaskan teater ini ialah memastikan durasi pementasannya tidak terlalu lama iaitu sekitar satu jam. Maklumlah penonton taeter ini kanak-kanak berusia empat tahun hingga 12 tahun. Kalau terlalu lama takut nanti mereka akan cepat bosan dan mengantuk,” jelasnya.

Menerusi teater yang mengenakan tiket berharga RM10 untuk orang dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak itu, kesemua tenaga kerja di sebalik tabirnya dijayakan oleh para pelajar Aswara.

Manis Bertudung Merah antaranya dilakonkan oleh Atiqah Abu Bakar sebagai watak Manis, Yusmar Affendi (serigala), Erween Nezam (ayah), Nur Azila (emak), Fathanah Amirah (Repunzel), Hazrul Aswad (Hansel), Nur Nazliah Norazman (Gratel), Amirul Hakim (Putera) dan Nurhanisah Jaffar (nenek).

Naskhah yang diadaptasi daripada cerita dongeng Barat berjudul Little Red Riding Hood itu memaparkan jalan cerita yang mudah untuk difahami golongan kanak-kanak.

Biarpun jalan ceritanya berdasarkan kisah dongeng di Barat tetapi intipati mesejnya sesuai diserapkan dalam diri mana-mana juga kanak-kanak tanpa mengira bangsa.

Tambah Marlia, antaranya isu kehilangan kanak-kanak yang menjadi mangsa culik yang banyak berlaku dalam masyarakat hari ini jelas ditonjolkan menerusi teater arahannya itu.

“Dalam teater ini kami mahu mendidik kanak-kanak supaya menjadi lebih cerdik dalam menilai tipu helah pihak-pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan ke atas mereka.

“Misalnya, bagaimana mahu mengenal pasti kata-kata manis atau pujuk rayu seseorang yang berniat jahat bagi mengelakkan kanak-kanak menjadi mangsa dalam kes-kes jenayah seperti itu.

“Sebab itu, kami tidak paparkan adegan kanak-kanak dilayan dengan buruk sebelum perlakuan jahat dilakukan ke atas mereka.

“Ini kerana, cara itu memang sudah diketahui oleh golongan kanak-kanak. Sebaliknya cara-cara halus ini lebih merbahaya dan patut disedari oleh golongan tersebut,” jelasnya.

Tambah Marlia, suaminya M. Nasir turut memberi kerjasama dengan mencipta tiga buah lagu khusus dipersembahkan sebagai muzik latar pada pementasan yang diadakan tiga hari berturut-turut itu.

Tiga lagu itu ialah Di Taman Manis, Renggo Pujangga dan Hutan Tiga di mana liriknya pula ditulis oleh pelakon Che Kem yang juga salah seorang pensyarah di Aswara.

“Ketiga-tiga lagu itu adalah lagu-lagu baru yang dicipta oleh suami saya untuk pementasan ini. Muzik dan melodinya sesuai untuk pementasan teater kanak-kanak. Dia (M. Nasir) cipta lagu itu pun selepas saya pujuknya berbuat demikian,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan