Halaman

Isnin, Oktober 25, 2010

Kitasatu Spider

petikan Harian Metro
Oleh MURSHID EUNOS

TIGA tahun terperuk, senyap tanpa berita. Pun begitu senario itu tidak sekali mengundang bimbang akan kehilangan publisiti, sebaliknya Spider masih bernafas dan baru kini sedia ke depan dengan isi baru.

Peluang bertemu mereka ketika proses rakaman album terbaru mereka di Studio Luncai Emas petang Isnin lalu merungkai segala-galanya. Kehilangan pemikir cerita dalam melodi terkenal, Rosli Khamis (Loloq) lebih dua tahun lalu memang memberi impak kepada mereka. Bukan saja kerana hilangnya seorang teman, malah tulang belakang Spider bagai dicabut hingga menyebabkan kumpulan yang dianggotai oleh empat anak seni ini hilang arah. Loloq insan istimewa yang sering menyumbang sentuhan magisnya untuk kesemua empat album mereka terdahulu. Kekuatan itu yang memberikan Spider untuk terus melebarkan empayarnya sekali gus meraih pelbagai pengiktirafan. Kini, siapa lagi yang mampu menggantikannya? Hilangnya Loloq, Spider yang sebelum ini sudah selesa dengan pencapaian album Ngam Ho pada 1999, Aladin (2002), Nazraku (2004) dan Bintang 12 (2007), bersedia untuk berjuang dengan seorang lagi insan tersohor dalam pentas muzik tempatan, M Nasir. Rancak bercerita mengenai album kelima mereka yang bakal dipasarkan penghujung bulan depan berjudul Kitasatu, tiba-tiba Rustam Mustafah (Tam) mula menyusun bicara, meluahkan rasa kosong mereka saat ingin mencorak bahagia melancarkan album terbaru. “Kitasatu kami sifatkan sebagai sebuah biografi istimewa. Album ini mengandungi lima lagu dan dua lagi versi akustik. Single pertama, Ajaib sudah lebih tujuh bulan diputarkan di radio namun masih tidak begitu kuat. Ajaib ibarat pemanas kepada peminat yang mungkin merindui kami. Insya-Allah penghujung bulan ini, kami akan menghantar lagu kedua pula, Kitasatu ciptaan saya sendiri dan liriknya oleh Keon.

“Memang lama kami berdiam, namun itu tidak bermakna kami mati sebaliknya gigih mencari kekuatan baru dalam menghasilkan album ini. Bukan mudah menerima hakikat untuk masuk ke studio, mendengar melodi baru tanpa Loloq. Memang janggal.

“Kami pemuzik yang sangat mementingkan kesemua elemen dalam sesebuah pembikinan album. Baik melodinya yang bisa menangkap perhatian pendengar mahupun liriknya yang bermakna, kesemua lagu Spider punya ceritera sendiri. Justeru hilangnya Loloq, memang kami patah kaki. Itu yang membuatkan kami terperuk lama, mencari dan memujuk insan istimewa lain pula yang sudi menyumbang kreativiti mereka. “Alhamdulillah, M Nasir datang mengubat rasa hilang itu. Kami percaya dengan sentuhannya yang akan mengekalkan impak seperti mana album terdahulu. Setidak-tidaknya, perginya satu permata meninggalkan kami, emas pula datang berkilau,” katanya dipersetujui tiga anggota yang lain termasuk Mohd Hanafi Hamdan (Nafie), Tony |skandar (Tony) dan Azhri Nasir (Ayie).

Tempoh tiga tahun ini, Spider mengumpulkan kesemua melodi terbaik selain meningkatkan kualiti rakaman bagi memberi kepuasan kepada peminat kelak. Menafikan meletak sasaran mengejar anugerah, Spider sepakat berkali-kali menceritakan soal keikhlasan mereka dalam menggarap keseluruhan naskhah indah ini. Kitasatu turut menampilkan tiga lagu lain seperti Rasakan Resapkan, Bukan Salah Aku dan Tapi Bagaimana. Kesemua melodinya ciptaan Tam kecuali Bukan Salah Aku yang hasil daripada gabungan idea mereka. Liriknya oleh M Nasir.

Tidak takut dengan pelbagai wajah baru yang muncul mengendong muzik sendiri, Spider yang mempunyai rangkaian lagu-lagu popular termasuk Bila Nak Saksi, Mabuk, Telinga Ke Tulang, Dunia Batinku, Relaku Pujuk, Laukku Cukup Masin, Gosok dan Kasih Latifah menyifatkan generasi baru ini sebagai satu saingan sihat yang menguntungkan industri muzik. Pemain bass Spider, Tony pula memandang tinggi Kitasatu kerana karya ini bukan sekadar album untuk menjadi hiburan kepada peminat sebaliknya naskhah ini mencerminkan perjalanan Spider sepanjang tiga tahun ini. Kemelut yang pernah menghempas mereka, kenangan yang manis dan pahit yang mematangkan kesemuanya diterjemah melalui album ini. “Kitasatu adalah biografi Spider daripada pelbagai penjuru. Hayati sedalam-dalamnya. Tidak kira sama ada muzik itu lahir daripada gitar, dram ataupun bass, setiap satunya penuh makna yang indah mengenai perjalanan kami. Malah lirik sentuhan M Nasir dan Keon juga banyak membantu dalam menyuntik emosi dan jiwa melodi itu. Jujurnya, lima lagu ini adalah terbaik yang pernah kami lakukan dan terus diangkat menjadi karya paling indah,” katanya yang mengakui Spider bakal terbang ke Jakarta, November depan untuk pembikinan klip video Kitasatu.

Peluang menjadi yang pertama mendengar kesemua lagu-lagu dalam Kitasatu memberikan satu pengalaman berbeza selain membuka dimensi baru mengenai siapa Spider sekarang selepas lebih sedekad berjuang sebagai penyanyi berkumpulan. Kitasatu umpamanya jelas menyuntik rasa balada yang disulam dengan identiti Spider yang mengangkat genre rock. Lengkap dengan alunan vokal Tam yang tidak perlu dipertikai, lagu ini punya karisma tersendiri yang tidak perlu dipandang enteng pihak stesen radio dan peminatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan