Halaman

Khamis, April 01, 2010

'Bukan Amy yang dikenali'

petikan Utusan Malaysia 1 April 2010
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar MOHD. HATIM MAZLAN

AMY (tiga dari kiri) gembira apabila anggota-anggota Search dan M. Nasir (dua dari kanan) hadir menyaksikan Konsert Suatu Masa... di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PEMENTASAN Suatu Masa... mencetuskan gelombang baru dalam kerjaya seni Amy dalam dunia hiburan tanah air sejak hampir 30 tahun lalu. Pada konsert itu, dia buat pertama kalinya menyanyi, menari dan bermonolog.

Selama empat malam konsert itu berlangsung, para penonton dapat menyaksikan kelainan persembahan Amy. Kelainan itu turut disaksikan empat anggota Search iaitu Yazit (dram), Din (gitar), Nasir (bass) dan Kid (gitar) yang turut hadir.

Empat anggota Search yang diundang menonton malam terakhir Suatu Masa... seakan-akan tidak percaya dengan konsep persembahan yang ditampilkan oleh vokalis kumpulan mereka itu selama hampir dua jam ia berlangsung.

Yazit selaku anggota asal Search berkata, dia menganggap Amy yang dilihatnya di pentas Panggung Sari tempoh hari bukan vokalis kumpulannya yang dikenali lebih tiga dekad lalu. Sebaliknya ia adalah suatu kelahiran semula.

"Bagi saya ini bukan Amy yang saya kenali selama ini. Dia nampak berbeza terutama pada persembahannya. Amy tidak seperti vokalis Search. Corak persembahan, kostum dan koreografinya memang berbeza pada malam ini.

"Pada pendapat saya, corak persembahan berkonsepkan muzikal paling menyerlahkan gaya Amy berbanding sewaktu bersama Search," komennya kepada Hits semasa ditemui selepas konsert tersebut.

Konsert solo Amy di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 25 hingga 28 Mac lalu itu disaksikan hampir 1,000 penonton pada setiap malam ia diadakan. Kumpulan Utusan merupakan media cetak rasmi pementasan berkenaan.

Bukan setakat para penonton yang kagum dengan kesungguhan Amy menampilkan kelainan pada konsertnya yang mengenakan harga tiket dari RM50 hingga RM300 itu, malah Yazit turut menyifatkannya sebagai 'percubaan berani'.

"Amy berani melakukan persembahan yang lain daripada yang dibuatnya selama ini. Judul konsert ini juga kena dengan dirinya. Mungkin dia dalam proses beralih ke suatu tapak baru dalam kariernya," katanya.

Nasir yang ditemui setelah berakhirnya Suatu Masa... meluahkan rasa bangga kerana Amy berjaya merealisasikan impian mengadakan konsert solo dan mengangkat lagu-lagu Search ke suatu dimensi baru.

Katanya, meskipun lagu-lagu Search yang dipersembahkan oleh penyanyi berusia 52 tahun itu banyak berkonsepkan slow rock tetapi Amy mempersembahkan dengan gaya penyampaian yang sesuai dengannya.

"Contohnya, lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur yang dipetik daripada album Search itu berkonsepkan slow rock.

"Bagaimanapun, selepas 20 tahun, Amy berjaya menjadikan lagu itu sebagai sebuah lagu yang berunsur ketuhanan.

"Bagi saya, Amy berjaya membawa dirinya 'keluar' daripada imej Search. Ini adalah suatu percubaan berani. Mungkin selepas ini, Amy boleh memperluaskan lagi konsep persembahannya itu di tempat-tempat lain," ujar Nasir yang berbangga dengan rekod baru temannya itu.

Kid atau Hamzah Taib berkata, dia bukan sahaja berasa terhibur menonton konsert yang diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan itu, malah turut berbesar hati apabila dijemput menyaksikannya bersama tiga anggota Search yang lain.

Jemputan itu jelasnya agak unik kerana sebelum ini dia dan Amy sering mengadakan persembahan pentas di merata-rata tempat bersama-sama, namun pada malam ini cuma sekadar menonton aksi vokalisnya itu di panggung tersebut.

"Nourish (isteri Amy) sudah lama menjemput saya supaya datang menonton konsert ini iaitu sewaktu kami sama-sama pergi ke United Kingdom pada Februari lalu. Saya amat menghargai undangan Nourish bagi pihak Amy itu.

"Apatah lagi, saya jarang menyaksikan persembahan teater, jadi saya dapat rasakan kelainan pada konsert Amy pada malam ini. Konsert ini ada momentumnya sendiri," katanya.

Din yang juga abang kepada Kid tidak banyak bercakap sepanjang menyaksikan Suatu Masa... tetapi turut teruja dengan persembahan Amy yang tidak pernah disaksikannya sebelum ini termasuklah sewaktu beraksi bersama Search.

Sebagai salah seorang anggota asal Search selain Yazit, Din atau nama sebenarnya Nordin Taib juga tidak menyangka persembahan Amy menerusi konsert itu membawa perbezaan sangat ketara dengan konsep muzik yang dibawakan Search.

"Saya memang tidak biasa dengan persembahan seperti ini (konsert muzikal). Ini bukan Amy Search.

"Dia tidak pernah buat persembahan seperti ini. Saya tidak tahu mengapa dia mempunyai impian seperti ini," katanya.

Selain empat anggota Search terbabit, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman turut tidak lupa menjemput M. Nasir iaitu antara komposer yang banyak mencipta lagu dan menerbitkan album-album solonya.

Menurut komposer berasal dari Singapura itu, biarpun Amy menyanyikan dua lagu yang dipopularkannya berjudul Suatu Masa dan Kepadamu Kekasih pada konsert itu tetapi ia dalam gaya yang berbeza.

"Bagi saya, perkara itu tidak menjadi isu kerana Amy berjaya menyampaikan lagu itu dengan caranya yang tersendiri. Malah, Amy pernah merakamkan semula lagu itu dan dimuatkan dalam album solonya sebelum ini.

"Saya juga berbangga kerana dapat menyaksikan konsert beliau pada malam ini kerana tidak semua penyanyi boleh melakukannya. Kalau tidak kerana tahap profil yang tinggi dan pilihan lagu yang bagus Amy tidak mungkin dapat melakukannya." jelasnya yang juga sedang merancang konsert solonya tidak lama lagi.

Pada penghujung konsert malam terakhir Suatu Masa... Amy telah menghulurkan sumbangan wang tunai sebanyak RM3,000 kepada 21 pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Masjid Al-Ridwan, Hulu Klang, Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan