Halaman

Isnin, Mac 15, 2010

Bayangan kolaborasi M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 15 Mac 2010
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my
Gambar HARUN OSMAN dan ehsan BEYOND EVENTS SDN. BHD.

Yusri Mohammad Yusof (tiga dari kanan), M. Nasir (empat dari kiri) bersama pihak pengurusan dan mereka yang menjadi 'tulang belakang' penganjuran Minggu Setiausaha anjuran Ami Global.

KONSERT Bagaikan Sakti M. Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza di Singapura sekitar Januari lalu sememangnya memberi kesan yang cukup mendalam kepada mereka yang telah menontonnya.

Siapa tidak kenal dengan dua nama besar dalam industri muzik ini. Persembahan M. Nasir dan Siti amat menghiburkan dengan alunan indah rangkaian lagu-lagu popular yang dilontarkan mereka.

Menerusi Bagaikan Sakti, ia turut memperlihatkan buat pertama kalinya selepas lima tahun, M. Nasir dan Siti mendendangkan semula lagu Bagaikan Sakti.

Lagu tersebut merupakan lagu tema filem epik Puteri Gunung Ledang yang menyaksikan kolaborasi pertama dua insan berjiwa seni ini.

Tambah menarik, konsert yang diadakan di Esplanade Theatre itu turut menjadi medan buat M. Nasir dan Siti untuk terus berduet menyanyikan sebuah lagu baru berjudul Hanya Semalam yang masih belum dirakamkan di studio.

Hanya Semalam merupakan sebuah lagu yang mendapat sentuhan Siti sendiri selaku penulis lirik manakala melodinya oleh M. Nasir.

Mengetahui betapa bernilainya lagu itu, M. Nasir yang diajak berbicara mengenai Hanya Semalam mengakui bahawa dia kini sedang dalam proses untuk muncul dengan album baru yang masih belum menemui judulnya.

Album yang akan memuatkan 10 lagu itu berkemungkinan bakal menampilkan dia dan Siti untuk bersama merakamkan semula Hanya Semalam di studio.

''Lagu itu kami nyanyikan semasa konsert di Singapura. Waktu itu ia belum dirakamkan. Mungkin kami akan merakamkannya.

''Saya kini dalam proses untuk merakamkan album baru. Proses rakaman akan berlangsung selama dua bulan.

''Kalau tiada halangan, album tersebut akan berada di pasaran pertengahan tahun ini,'' katanya ketika ditemui di sidang akhbar Minggu Setiausaha yang bertemakan A Golden Moment With M. Nasir di ibu negara, baru-baru ini.

Ujar M. Nasir, sehingga kini, dia telah pun mengumpul lebih 30 buah lagu dan akan dipilih untuk dirakamkan serta dimuatkan dalam album itu.

Semua lirik lagu-lagu itu, jelasnya, adalah hasil sentuhannya sendiri.

''Selain Siti, mungkin juga ada lagu-lagu itu dinyanyikan secara duet dengan artis-artis lain. Ada lagu-lagu tersebut yang sesuai untuk duet.

''Ketika lagu itu terhasil, saya ada terbayangkan beberapa nama yang sesuai untuk berduet dengan saya. Mungkin artis lelaki atau perempuan.

''Mungkin juga saya menerima lagu-lagu yang liriknya dihasilkan oleh komposer lain,'' kata M. Nasir sambil tersenyum.

Filem dan lakonan

Diketengahkan dengan soalan mengenai penglibatan dalam lakonan, peminat M. Nasir pasti akan dapat menyaksikan kemunculannya dalam sebuah filem terbitan KRU Studios, Magika.

Melalui Magika, M. Nasir memegang watak sebagai Penunggu Tasik Chini.

Selain M. Nasir, Magika hadir dengan barisan artis ternama lain seperti Ziana Zain selaku Nenek Kebayan, Ning Baizura (Puteri Gunung Ledang), Mawi (Badang), Aznil Nawawi (Pak Pandir), Vanidah Imran (Mahsuri), Norman Hakim (Awang), Nabil Ahmad (Orang Minyak), Saiful Apek dan kumpulan Senario (Hang Tuah dan lima bersaudara) serta Raja Azura (Mak Andeh).

Maya Karin turut beraksi dalam filem ini sebagai Puteri Bunian, Sharifah Aleya (Bawang Merah), Sharifah Amani (Bawang Putih), Adibah Noor (Mak Halia) dan KRU sendiri sebagai Pokok Bersaudara.

Tidak dilupakan, dua teraju utamanya, Diana Danielle dan Fimie Don yang memegang watak sebagai adik-beradik bernama Ayu dan Malik.

Magika akan ditayangkan di pawagam September ini.

Jelas M. Nasir, selain Magika, dia turut mendapat tawaran untuk berlakon dalam dua lagi filem dan sedang menunggu untuk melihat skrip filem berkenaan.

''Saya sendiri akan menghasilkan filem. Tapi, ia masih dalam perancangan,'' katanya ringkas.

Menjayakan Minggu Setiausaha

Sementara itu, M. Nasir akan terlibat dalam menjayakan Minggu Setiausaha pada 21 April ini yang dianjurkan oleh Ami Global Sdn. Bhd. bertempat di Dewan Perdana Felda.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ami Global, Yusri Mohammad Yusof, Minggu Setiausaha dengan tagline A Golden Moment With M. Nasir itu turut menampilkan Afdlin Shauki selaku pengacara majlis.

''A Golden Moment With M. Nasir juga memberi peluang kepada mereka yang tidak berkesempatan ke Singapura untuk menonton persembahan M. Nasir di sana baru-baru ini. Mereka boleh menyaksikannya di Dewan Perdana Felda, April ini,'' katanya.

Dalam pada itu, ketika diajukan soalan mengenai persembahan sempena Minggu Setiausaha itu, M. Nasir berkata, dia sudah menyediakan 10 buah lagu untuk menghiburkan tetamu yang hadir.

Jelasnya, antara lagu-lagu itu adalah Ada, Suatu Masa dan Mentera Semerah Padi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan