petikan Kosmo! 21 November 2009
Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my
RAMAI yang ternanti-nanti apakah kesudahan penangguhan konsert berskala besar sifu M.Nasir iaitu Konsert 1Wajah yang sepatutnya berlangsung di Stadium Negara pada 25 Julai lalu.
Banyak khabar angin yang bertiup seiringan dengan penangguhan konsert itu. Ada yang mendakwa konsert itu tertangguh dek penjualan tiket yang lembap memandangkan jarak waktu Konsert 1Wajah terlalu dekat dengan konsertnya sebelum ini iaitu konsert Alam Muzik M. Nasir di Panggung Sari di Istana Budaya pada Februari lalu.
Bahkan peminat yang telah membeli tiket semakin keliru dengan perkembangan konsert tersebut, malah ada antara mereka telah pun membuat penebusan semula tiket.
Melihat senario konsert yang dianjurkan oleh Maya Axis Creative itu membuatkan ramai pihak yang kecewa bukan sahaja peminat yang sudah lama mahu menyaksikan kemunculan semula M.Nasir selepas lebih 20 tahun tidak muncul dengan konsert besar, malah penyanyi itu sendiri turut merasa tempiasnya.
Terbaru, selepas empat bulan konsert itu ditangguhkan pihak penganjur mengatakan konsert tersebut tetap akan berlangsung tetapi bukan pada tahun ini sebaliknya pada tahun hadapan.
Bagi mengetahui perkembangan lanjut mengenai Konsert 1Wajah ikuti temu bual Kosmo! bersama M.Nasir baru-baru ini.
Selepas konsert ditangguhkan wujud atau tidak rasa ralat dalam hati?
Rasa ralat itu memang ada tetapi saya amat berharap konsert akan berjaya dilakukan.
Apabila penangguhan ini berlaku, adakah reputasi M.Nasir terjejas?
Saya tidak tahu nak cakap apa, selain sedikit kecewa, saya tidak terlampau memikirkannya kerana saya mengalih perhatian pada kerja yang lain. Saya juga teruskan kerja saya seperti biasa meskipun konsert itu telah tertunda.
Adakah penangguhan ini akan memberi kesan negatif pada Konsert 1Wajah apabila ia dilangsungkan kelak?
Bagi saya setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Jika saya fikirkan balik mungkin penangguhan ini sesuatu yang baik kerana ia beri saya dan produksi lebih masa untuk merancang dengan lebih teliti.
Mungkin ada sesuatu yang istimewa buat peminat yang akan menghadiri konsert itu selepas ditangguhkan pada tempoh masa yang agak lama?
Memang ada yang istimewa kerana peminat yang hadir pada konsert itu akan menjadi orang yang pertama mendengar lagu baru ciptaan saya. Lagu itu buat masa ini masih belum diberikan judul tetapi telah siap. Kiranya, ini hadiah buat peminat.
Jika M.Nasir boleh memilih tarikh konsert, bila agaknya konsert itu mahu dilangsungkan?
Kalau ikutkan saya ingin langsungkan konsert itu pada hujung tahun ini juga. Itu kalau boleh, tetapi saya serahkan semua urusan itu pada pihak pengurusan dan penganjur.
Jika ada orang tawarkan untuk melakukan konsert lagi selepas ini, adakah M.Nasir akan terima?
Itu saya tidak dapat nak komen. Apa yang saya tahu bila orang buat tawaran persembahan saya buat sahajalah. Semua itu harus dilihat pada keadaan.
Ada atau tidak peminat yang bertanyakan perkembangan konsert pada M.Nasir sendiri?
Sebenarnya ramai yang tanya bukan sahaja peminat tetapi rakan-rakan pun sama sampai saya penatlah dan tidak sanggup untuk menjawab jawab (ketawa). Apa yang boleh saya katakan, jangan risau nanti ada juga Konsert 1Wajah. Saya harap mereka setia bersabar.
yo bro...gi show Sg je la ngan Mak ET tu..
BalasPadamZaman meleset macam ni nak ke seberang tambak tu payah sikit la bro. Sekarang ni aku cuma berkira-kira utk " An Evening With Dato' Khadijah Ibrahim Featuring Ramli Sarip" di Persada Johor 4 Disember ini. Wife pun suka dengar lagu-lagu duet Kak Kathy & Bro Ramli tu.
BalasPadamgua peminat m.nasir ....
BalasPadamsuka dengar lagu mustika tiap hari ...