Halaman

Khamis, Julai 23, 2009

Tetap beraksi di tarikh baru

petikan Utusan Malaysia 23 Julai 2009
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA & SHAZRYN MOHD. FAIZAL

KATA M. Nasir konsert Satu Wajah M. Nasir merupakan interpretasi beliau dalam menterjemahkan karya-karya seninya.

MAHU atau tidak, M. Nasir harus akur bahawa konsert solo yang dicanang beliau akan berlangsung pada hari Sabtu ini terpaksa ditunda.

Mujur ditunda, kalau dibatalkan terus barangkali seniman berjiwa besar itu akan terus meratapi kekecewaan itu.

Kecewa bukannya apa, semua persiapan sudah dilakukan. Barisan pemuzik yang diketuai oleh Aznan Alias juga sudah tidak sabar untuk beraksi di venue yang sangat didambakan ramai iaitu stadium keramat, Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Begitu juga dengan persediaan tuan punya tubuh sendiri untuk menghiburkan pemuja-pemujanya dengan lebih 30 buah lagu sudah cukup persiapannya.

Sayang sekali, M. Nasir harus akur, konsert Satu Wajah beliau pada hari Sabtu ini ditunda sehingga satu tarikh baru yang akan diumumkan minggu depan.

"Apa boleh buat. Kalau sudah terpaksa tunda tarikhnya saya terpaksa akur. Keputusan ini sangat mengecewakan saya," kata M. Nasir dalam reaksinya kepada Hits ketika dihubungi baru-baru ini.

Berita penundaan itu dikhabarkan oleh penganjur, Maya Axis Creative Sdn. Bhd. kepada media kelmarin.

Tiada apa yang mampu dilakukan oleh M. Nasir selain daripada memenuhi permintaan penganjur yang berminat mengadakan konsert itu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Memetik kata-kata Pengarah Promosi Maya Axis Creative, Rohani Ismail, konsert berkenaan terpaksa ditunda berikutan permintaan penaja yang memerlukan masa untuk mengatur semula strategi penajaan dan pemasaran konsert solo penyanyi itu.

"Insya-Allah dengan ikrar yang diberikan oleh penaja, kami optimis konsert solo M. Nasir akan menjadi lebih gah dan lebih bermakna buat beliau," itu pula janji yang dilafazkan oleh Rohani kepada Hits.

Dan M. Nasir biarpun terpaksa menelan kepahitan itu bagaimanapun berjanji akan terus beraksi di konsert yang sudah lama dirancang itu pada tarikh baru yang akan diumumkan kelak.

M. Nasir serta permuzik serta krew produksi yang lain mengakui, mereka begitu bersemangat dan sudah tidak sabar untuk beraksi di stadium keramat itu.

"Saya berjanji kepada semua peminat khususnya mereka yang telah membeli tiket bahawa saya akan tetap beraksi pada tarikh baru yang akan diumumkan minggu depan," jelas M. Nasir dalam nada suara yang berbaur sedih.

Sementara itu, seminggu sebelum penundaan tarikh konsert dibuat, sifu kelahiran Kota Singa itu dalam temu bual dengan Hits berbicara panjang lebar mengenai perjalanan konsep konsert Satu Wajah M. Nasir itu.

Sebagai seniman tersohor, beraksi dalam sebuah konsert berskala besar sepetri di Stadium Negara, Kuala Lumpur merupakan satu penghormatan baginya.

Melihat sokongan hebat masyarakat sejak kebelakangan ini terhadap konsert artis tempatan membuatkan M. Nasir berkongsi rasa gembira dengan perkembangan itu.

Katanya, bukan mudah karyawan muzik tempatan diberi peluang membuat persembahan dalam konsert bersakal besar.

Bukan untuk konsert M. Nasir sahaja, tetapi konsert-konsert sebelum ini yang dijayakan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dan Anuar Zain serta kumpulan Search juga menerima respons yang positif.

Justeru, apabila ada pihak yang mahu menganjur dan ditambah dengan komitmen penaja, perkhabaran gembira itu memberi satu signal bahawa industri muzik kembali bernafas apabila konsert oleh artis tempatan kembali mendapat tempat.

Sekali gus ia membuktikan bahawa masih ada lagi segelintir peminat dan masyarakat yang menghargai karya anak seni tempatan apabila mereka tidak lokek untuk mengeluarkan wang bagi menyaksikan sebuah konsert.

Dan kerana itu, penghibur ini ada sebab untuk bergembira dengan perkembangan positif apabila pencinta seni tanah air tidak lagi hanya mendambakan muzik percuma.

Budaya

Namun begitu, pemilik nama penuh Mohd. Nasir Mohamed ini menjelaskan, budaya itu masih belum 'dianuti' sedalam-dalamnya meskipun sambutan yang diberikan terhadap konsert tempatan semakin memberangsangkan.

"Kita harus sedar dan tahu bahawa kebanyakan orang Melayu khususnya bekerja dan memakan gaji setiap bulan. Mereka harus memikirkan tentang kewangan mereka sebelum dilaburkan untuk menonton konsert.

"Mereka juga harus memikirkan faktor lain kerana mengeluarkan belanja yang besar untuk menonton persembahan artis dalam sebuah konsert bukan mudah dan pastinya, mereka harus memilih artis yang terbaik untuk memastikan duit mereka benar-benar berbaloi.

"Jadi, di sinilah terletaknya peranan artis itu sendiri bagaimana untuk membentuk diri mereka menjadi seorang penghibur agar penonton benar-benar terhibur dan puas dengan persembahan mereka," katanya panjang lebar.

Dari kaca mata beliau, M. Nasir menjelaskan, definisi penghibur merujuk kepada satu perkara yang subjektif bergantung dari sudut dan perspektif yang berbeza.

Malah, ujarnya, apa yang penting ialah seseorang artis itu tidak boleh menterjemahkan diri mereka dengan imej yang terlalu murah di atas pentas.

Bahkan, lebih jelek lagi apabila ada sebilangan artis yang terpaksa bekerja keras menampilkan gimik yang memaksa penonton terhibur dengan persembahan mereka.

"Apabila menjadi seorang penyanyi, dia haruslah menjadi penyanyi yang bagus sekali dan daripada situ, ia mampu dikembangkan menjadi seorang penghibur.

"Seorang artis itu akan berasa puas apabila penonton yang menyaksikan persembahan mereka akan berasa puas hati dan terhibur. Banyak perkara yang perlu dilakukan dalam memastikan semua itu berjaya mengikut apa yang telah dirancangkan," kata suami kepada aktivis teater, Marlia Musa ini dengan maksud yang mendalam.

Perlu berani

Menyambung bicara, bapa kepada enam cahaya mata ini memberitahu, untuk menjadi seorang penghibur yang berjaya, ia memerlukan keaslian dan kreativiti untuk memikat hati masyarakat negara ini.

Dengan memberikan contoh bintang pop terkenal Korea, Rain yang berupaya merentas sempadan bangsa dan budaya sehingga mampu mencipta nama sebagai seorang superstar.

"Bukannya saya suruh artis kita menjadi seperti Rain tetapi lihat sahaja bagaimana dia membentuk dirinya sehingga menjadi kegilaan ramai wanita bukan di negaranya sahaja, tetap juga di negara ini.

"Dalam erti kata lain, artis kita juga harus berani dan tidak perlu takut dengan apa yang diperkatakan orang sekeliling kepada mereka. Berani bukan dalam konteks mendedahkan aurat tetapi kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara itu

"Jika semua itu ada dalam diri masing-masing, nescaya dalam persembahan mereka, jiwa itu dapat sampai kepada penonton yang akan berasa puas dengan apa yang dipersembahkan kepada mereka," tuturnya dalam nada tegas penuh berhemah.

4 ulasan:

  1. tak pernah pergi konsert m nasir.. walau tak pernah beli albun artist malaysia lain kecuali m nasir.. tak minat penyanyi lain kecuali m nasir.. cuma tak suka gi konsert.. itu saja..

    BalasPadam
  2. Salam perkenalan saudara abuyusuf.
    Peminat karya M Nasir juga rupanya.

    BalasPadam
  3. aku tak pergi, tapi aku bayangkan peminat2 yang nak pegi

    - sapa kerja sabtu minggu, betapa susah nak ambik leave weekends.
    - sapa tinggal jauh, waktu dan duit abis nak naik bas.
    - sampai kl , kalo takde tempat lepak, kena tido kat Puduraya sampai pagi.
    - kos tiket dan lain2 kos.
    - kehampaan.

    Konsert omputeh ok je, apsal konsert Melayu asyik cam gini..
    contoh - Search je dah bubble aku tiga kali huhu

    BalasPadam
  4. Betul kata ko bro deaf.

    Memang hampa.
    Kalau cuma announce date konsert, tiket belum mula dijual tak pe la lagi...ini tiket dah dijual. Contoh mcm konsert Alam yg di canang hujung tahun lepas ditunda ke Februari, pada masa tu tiket mmg belum jual pun. So kalau tunda tak la terasa sangat.

    Waktu konsert pun dah terlalu hampir bak kata org putih, around the corner. Gerenti semangat utk pergi mmg dah berkobar-kobar.
    Pasti ramai yang mengalami kerugian dalam bentuk ko$ diluar sana (cth tiket bas, tiket kapal terbang terpaksa reschedule., cancle booking hotel etc...).

    Ni rasanya nak layan konsert kat DVD je ni...
    (*sifu patut release DVD konsert di IB ari tu sebagai penghargaan pada peminat yang hampa diluar sana!)

    BalasPadam