petikan Utusan Malaysia 7 Julai 2009
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
PADA suatu sidang media di Kuala Lumpur tidak lama dulu, M. Nasir pernah berkata: "Setiap penyanyi atau pemuzik yang tulen, mereka tentunya mengimpikan konsert sendiri. Begitu jugalah dengan saya".
Beliau melampiaskan ungkapan penuh makna itu sebagai menggambarkan betapa pentingnya konsert sebagai salah satu tanda kesinambungan serta kepuasan seseorang penyanyi atau pemuzik dalam kerjaya mereka.
Justeru, tidak hairanlah penyanyi berusia 52 tahun ini sentiasa berusaha mencari peluang mengadakan konsert biarpun dia adakalanya menghadapi kesulitan untuk mendapatkan penaja.
Konsert 1 Wajah M. Nasir merupakan interpretasi daripada hasrat beliau itu di mana konsert anjuran Maya Axis Creative Sdn. Bhd. (MACSB) itu akan diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur, pada 25 Julai ini pukul 8.45 malam.
Pengarah Promosi MACSB, Rohani Ismail berkata, konsert itu yang berkonsepkan retrospektif dijangka akan berlangsung selama dua jam 30 minit.
"Konsert terbaru M. Nasir itu akan mengetengahkan konsep retrospektif di mana ia menggabungkan lagu-lagu ciptaan beliau sejak dari mula berkecimpung dalam bidang muzik pada tahun 1970-an sehinggalah kini.
"M. Nasir dijangka mempersembahkan hampir 29 buah lagu terbaik daripada pelbagai genre muzik di mana kesemuanya merupakan lagu-lagu ciptaannya sendiri. Setakat ini beliau sudah mencipta hampir 500 buah lagu," katanya.
Tambah menarik kata Rohani, konsert itu bukan setakat menampilkan segmen nyanyian semata-mata, sebaliknya para penonton akan diimbau nostalgia mereka dengan paparan gambar-gambar peribadi daripada koleksi penyanyi terbabit.
Katanya, penambahan elemen itu termasuklah dengan membariskan para pemuzik profesional dan penyanyi latar di mana ia mampu untuk mencernakan lagi penghayatan konsert itu ke tahap yang lebih tinggi.
"Bukan setakat gambar, tetapi pada konsert itu nanti, para penonton juga akan ditayangkan dengan sedutan temuramah M. Nasir dengan stesen-stesen televisyen dan juga keratan-keratan akhbar tentang kerjaya beliau.
"Persembahan video yang akan dipersembahkan itu sedikit sebanyak dapat menggambarkan tentang sejarah perjalanan karier M. Nasir dalam bidang seni. Ia termasuklah pencapaian dan anugerah yang pernah diterimanya sepanjang 30 tahun pembabitannya itu," ujarnya.
Konsert 1 Wajah M. Nasir itu dianjurkan selepas penyanyi kelahiran Singapura itu berjaya menganjurkan konsertnya sendiri iaitu Konsert Alam di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada 27 Februari lalu.
Bagi merancakkan lagi promosi konsert itu, MACSB akan mengadakan beberapa sesi bertemu para peminat M. Nasir misalnya di Gloria Jean's Coffee, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada 11 Julai ini.
"Selain itu, promosi dan sesi bertemu peminat juga akan diadakan di Gloria Jean's Coffee, Sunway Pyramid pada 18 Julai ini pukul 5 petang. Peminat yang datang akan diberi diskaun pembelian tiket sebanyak 10 peratus.
"Potongan 10 peratus juga akan diberi kepada para pelajar kolej dan universiti dengan menunjukkan kad pelajar mereka sebagai bukti di premis-premis jualan tiket di Kompleks Pertama dan Istana Budaya. Semua lokasi ini terletak di Kuala Lumpur," katanya lagi.
Tiket-tiket untuk menyaksikan Konsert 1 Wajah M. Nasir berharga RM383, RM253, RM153, RM83 dan RM53. Sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 03-77251177 dan 03-80769872 atau layari laman sesawang www.tickethotline.com.my
Sekali lagi, terima Kasih En Razlizam kerana berkongsi artikel ini.
BalasPadamSebagai peminat yang dah beli tiket awal (walaupun selepas 19 Jun - sebelum 19 Jun memang ada diskaun 10%), saya rasa terkilan sebab masa beli tu tak ada diskaun. Kalau tahu, baik beli masa sesi bertemu peminat ni. Tak marah pada sifu. Tapi pada pihak penganjur. - lili
BalasPadam