petikan KOSMO! 16 Julai 2009
Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my
"Tipulah kalau saya kata saya langsung tidak tertekan tetapi saya cuba untuk tidak fikirkan sangat perkara itu supaya saya boleh fokus pada persembahan" – M. NASIR
Catatan kembara perjuangannya dalam bidang seni cukup panjang, dia bukan sahaja seorang pelakon dan komposer tetapi juga seorang penyanyi yang disegani sehingga diberi gelaran sebagai sifu yang bermaksud 'guru'. Itulah M.Nasir, seorang seniman yang cukup besar namanya dalam bidang seni tanah air.
Kejayaan yang dikecapinya sepanjang 30 tahun perjuangan bukan sedikit sementelah pelbagai anugerah pernah digenggam, tetapi itu bukan satu petanda untuk dia berhenti mengundur diri. Sebaliknya, penyanyi yang telah singgah separuh abad usianya terus mara.
Buktinya pada 25 Julai depan, M.Nasir bakal menggegarkan Stadium Negara dengan Konsert 1Wajah M.Nasir yang dikhabarkan cukup gah sekali.
Siapa kata orang Melayu seusianya tidak boleh bikin konsert, sememangnya dia telah mempunyai rambut putih tetapi jiwanya terhadap seni sentiasa muda dan tidak pernah mati.
Kata M.Nasir ketika ditemui baru-baru ini, jangan dibandingkan usia seseorang dengan persembahan yang bakal diberi. Tampil dengan gaya di usia emas, pada M. Nasir lagi berbaloi kerana ketika itu sudah banyak pengalaman yang diraih.
"Jika di luar sana, orang tua pun boleh berjoget-joget atas pentas dan masih diterima, inikan saya. Saya belum tua dan mampu lagi menari dan berjalan," ujarnya berseloroh.
DALAM seni, dirinya sentiasa muda.
M.Nasir yang akan menyanyikan 30 buah lagu tanpa henti pada konsertnya itu, turut memberitahu meskipun telah melalui beberapa zaman sejak muncul bersama kumpulan Kembara, kekuatan dan jiwanya tatkala mengadakan konsert tetap sama seperti usia mudanya.
"Semuanya masih sama. Jiwa yang sama, penghayatan sama yang mungkin berubah hanya angka usia dan koleksi lagu juga semakin bertambah," ujarnya.
Jelasnya, sebagai seorang penghibur yang hidup mati bersama seni, nyanyian merupakan kehendak jiwanya. Kehendak yang tidak tahu bila akan berhenti.
"Hiburan adalah satu terapi jiwa buat semua orang, sama juga dengan saya. Nyanyian salah satu daripada jiwa saya sendiri. Oleh itu, setiap kali mengadakan konsert solo saya menyerahkan jiwa raga kepada penonton agar mereka terhibur.
"Mungkin orang kata sudah tua pun nak bikin konsert, tetapi orang tidak tahu persembahan pentas yang biasa dengan konsert sangat berbeza kepuasannya. Konsert orang yang datang mereka bayar kerana minat dan tertarik.
"Saya pula yang berdiri di atas pentas menghiburkan ribuan orang yang terdiri daripada peminat juga mempunyai perasaan dan kepuasan yang sangat berbeza. Mungkin sudah rezaki untuk buat konsert dan rasanya ini masa yang tepat," katanya lagi.
MENGAKUI setiap kali mahu tampil dalam konsert ada kerisauan yang bersarang di jiwa.
Mungkin ramai yang beranggapan seorang penyanyi dan penghibur seperti M.Nasir tiada apa yang perlu dibimbangkan dan ditakutkan tetapi sangkaan itu meleset kerana M.Nasir juga seperti manusia biasa yang turut bimbang akan risiko besar yang menantinya.
Dia bimbang akan reaksi dan penerimaan penonton, dia juga bimbang akan prestasi dirinya di pentas dan dia juga bimbang akan sudut teknikal yang kadangkala berjalan tidak seperti yang dirancang.
"Itu antara ketakutan yang saya alami setiap kali sebelum konsert. Saya menyanyi dan menghiburkan orang, jadi saya bimbang jika persembahan saya itu tidak 'sampai' kepada penonton. Jika itu terjadi ia umpama percintaan yang tidak sampai. Itu yang saya rasakan.
"Mereka bayar tiket dan mereka boleh tahu sama ada persembahan itu sampai atau tidak. Itu beri tekanan. Tipulah kalau saya kata saya langsung tidak tertekan, tetapi saya cuba untuk tidak fikirkan sangat perkara itu supaya saya boleh fokus pada persembahan," katanya.
Selain itu, dia juga memberitahu selalunya penonton yang hadir ke konsert membawa sekali harapan yang tinggi melangit bahawa konsert yang ditonton pasti sempurna dan menghiburkan tetapi lain pula yang berada di kotak fikiran M.Nasir.
Katanya, orang yang datang mana-mana konsert sudah pasti tahu tahap dan corak persembahan seseorang penyanyi, tetapi penyanyi itu sendiri pada hakikatnya tidak tahu apa yang perlu dilakukan seorang diri di atas pentas yang besar.
"Perkara yang sama berlaku pada saya. Orang ingat saya tahu apa yang harus saya lakukan dan apa yang akan dikatakan apabila berdiri di atas pentas. Tetapi kadang-kadang ada ketikanya saya terfikir apa yang saya harus lakukan lagi? Apa yang nak diucapkan kepada penonton dan bermacam-macam lagi berlegar-legar di kepala.
"Bagi saya orang datang ke konsert bukan sahaja nak lihat penyanyi menyanyi kerana itu memang kerja saya sebagai penyanyi. Orang selalunya nak lihat sisi lain diri saya daripada dekat dan juga perlakukan spontan yang bakal terjadi kerana spontan itu yang mahal. Ia tidak boleh dilihat di mana-mana selain konsert," ungkapnya lagi.
Buat peminat setia M.Nasir, jangan lupa dapatkan tiket kerana masih ada ruang kosong yang perlu diisi dalam perut Stadium Negara itu. Mereka boleh membeli tiket konsert berharga RM383, RM253, RM153, RM83 dan RM53 daripada tiket Hotline di www.tickethotline. com.my atau hubungi talian 03-77251177/1166 dan 03-80769872/73.
Potongan sebanyak 10 peratus akan diberikan kepada pelajar.
Artikel yang bagus. Stage fright juga dialami oleh sifu. Inikan pula anak muridnya.
BalasPadamtak sabar..minggu depan
BalasPadamMatakucing, hang pi jugak eh? Beli tiket berapa hinggit kali ini?
BalasPadamtunggu ler reviews korang huhu..
BalasPadam