Halaman

Ahad, Julai 12, 2009

Hadiah amat berharga untuk Darul Mawa Idol

* taken from Didifiers
Berita Minggu, dated 12th July 2009.
Oleh: Hanim Mohd Saleh
hanim@sph.com.sg

Hadiah yang dimenanginya tidaklah sebesar yang ditawarkan kepada pemenang Anugerah 2009.

Tetapi Taufik Abdul Rahman, 16 tahun, penghuni rumah tumpangan Darul Ma'wa yang memenangi pertandingan menyanyi Ma'wa Idol pada Disember tahun lalu, tidak menyangka kemenangan itu telah memberinya pelbagai pengalaman manis yang sangat berharga.

Beliau tidak saja dapat menaiki pesawat untuk julung-julung kalinya terbang ke Kuala Lumpur, bahkan telah merakam single di bawah penyeliaan penggubah terkenal, M. Nasir, di studio miliknya, Luncai Emas. Bahkan pergerakkannya di Kuala Lumpur selama empat hari mulai 3 Julai, dirakamkan kamera video untuk disunting sebagai bahan MTV!

"Saya rasa sangat bertuah keran kawan-kawan saya di luar Ma'wa pun tak dapat kesempatan seperti ini. Saya memang suka menyanyi dan saya tak sangka dapat bekerja dengan orang-orang popular dalam industri rakaman, terutama, M.Nasir," kata Taufik, pelajar Sekolah Menengah Telok Kurau itu. Taufik, yang telah menumpang di Darul Ma'wa sejak awal usia dua tahun, memenangi pertandingan nyanyian tahunanan yang dianjurkan rumah tersebut, yang secara kebetulan diadakan sempena pelancaran album Diari Cinta Didicazli.

Menurut Didicazli, beliau menawarkan hadiah berupa rakaman single sebagai hadiah untuk memberi pendedahan kepada bakat yang ada di rumah tumpangan tersebut kepada dunia hiburan, seandainya mereka berminat untuk menhadi penyanyi.

Hasil inisiatif Didicazli itu, ramai temannya dalam industri hiburan tampil untuk menaja projek rakaman single untuk Taufik. Ini termasuklah mendapatkan pengubah Syawalludin Kassim bekerjasama dengannya menghasilkan lagu Bukan Super Hero, sementara DJ KC (dari stesen Ria 89.7 FM) sebagai penulis liriknya. Ann Hussien pula tampil memberi kelas vokal secara percuma untuk persiapan Taufik memasuki studio.

Selain itu, jurukamera dan penata suara daripada Club Jazz Communications menaja MTV bagi single tersebut dengan mengeluarkan sendiri biaya acara rakaman di Kuala Lumpur.

Bahkan M. Nasir sendiri tidak mengenakan sebarang bayaran penyeliaan atau sewa studio bagi sesi rakaman yang berlangsung selama enam jam itu.

"Saya sengaja mahu Taufik melalui dan merasakan sendiri proses merakamkan suara profesional, seperti yang saya sendiri lalui. Memang saya sengaja mengatur penerbangan bajet Jetstar untuknya, kerana saya tahu Taufik tak pernah naik kapal terbang.

"Tetapi secara dasarnya, kami mahu menjadikan projek ini sebagai satu kerja amal, bukan saja untuk Taufik, tetapi untuk Darul Ma'wa juga," kata Didicazli.

Semua hasil penjualan single Super Hero yang akan dilancarkan secara komersial, akan disalurkan kepada Darul Ma'wa.

Taufik, yang begitu pemalu dan berat mulut berkata, beliau hanya mendapat pendedahan muzik dengan mendengar lagu-lagu yang diputarkan di radio. Kebanyakan masa beliau mendengar lagu-lagu dari stesen Melayu.

"Kalau ada masa terluang, saya memang suka menyanyi sendirian dalam bilik. Selagi saya tak ganggu orang lain, pegawai tidak marah. Yang penting, saya buat kerja sekolah saya juga," ujarnya.

Berkongsi pengalamanya berada di studio bersama M. Nasir, Taufik berkata dia sama sekali tidak tahu sikap penggubah tersebut yang dikatakan serius dan garang ketika bekerja, kecuali mengetahuinya sebagai seorang pengubah yang hebat.

"M. Nasir layan saya dengan baik.. tak garang pun," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan