Halaman

Ahad, Jun 14, 2009

Satu wajah M.Nasir

petikan Utusan Malaysia 14 Jun 2009
Oleh WANDA IDRIS
Foto FATAH SULAIMAN

DIA bakal menghibur lagi. Kali ini pada skala lebih besar. Lokasinya, Stadium Negara pada 25 Julai ini.

Satu Wajah M. Nasir merupakan konsert keduanya pada tahun ini dengan tempoh masa lebih kurang empat bulan selepas kejayaan luar biasa konsert Alam Muzik M. Nasir di Istana Budaya pada tiga malam, 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Sememangnya kejayaan di Istana Budaya itu memberikan inspirasi dan optimisme kepada penganjur biarpun adakalanya terpaksa berhempas pulas mencari penaja.

Sementelah kesukaran pihak penaja tempatan memberikan komitmen untuk persembahan artis kita apa lagi artis-artis ‘besar’ yang ‘kurang popular’ di media, tidak seperti artis-artis baru khususnya yang hadir menerusi program realiti.

Namun M. Nasir membuktikan, para peminat setianya sanggup membayar untuk mendapatkan kepuasan dalam hiburan.

Malah penganjur, Maya Axis Creative Sdn. Bhd. sendiri yakin mampu mendapat jualan tiket memberansangkan menerusi nama M. Nasir.

Mungkin ada tertanya-tanya, tidakkah terlalu dekat jarak masa konsert ini dengan konsert Alam Muziknya di Istana Budaya yang memberi satu kesan luar biasa kepada kepuasan para peminat setianya.

Namun janji sifu itu, tidak akan ada unsur dan pengaruh persembahan di Istana Budaya pada konsertnya itu biarpun mengekalkan 10 barisan pemuzik yang sama di bawah pimpinan Aznan Alias atau Nan.

“Persembahan dan perjalanan persembahan itu penting untuk sampai kepada penonton. Itu perlu jujur,” kata M. Nasir.

Dan sekalipun terkenal dengan sikap dan aksi spontan di pentas, M. Nasir percaya, untuk memberikan satu persembahan yang baik memerlukan komitmen yang tinggi.

Yakin kepada pasukan pengiringnya yang bukan sahaja tahu setiap lagu-lagunya malah mereka juga sentiasa bersedia dengan sikap spontannya.

“Tapi kita juga perlu mengatur perjalanan persembahan dan ini memerlukan komitmen dan disiplin. Gubahan lagu baru juga perlu dibuat,” tegasnya.

Bakal menyampaikan paling kurang 20 lagu-lagu popularnya pada dua jam konsertnya, kali ini M. Nasir juga mahu membanyakkan lagu-lagu balada yang selama ini tidak dapat dipersembahkan kepada khalayaknya.

Dia yang sudah 30 tahun dalam dunia nyanyian dan ciptaan sejak terlibat bersama Kembara pada 1979 juga berhasrat mahu menyampaikan bukan sekadar lagu-lagunya sendiri tetapi juga himpunan lagu-lagu yang pernah diciptakan untuk artis lain.

Akan memulakan latihan dalam masa dua minggu lagi, M. Nasir juga tidaklah begitu gusar dengan penajaan biar ada yang menganggap menaja konsert Melayu kurang berprestij.

Kerana baginya, apa yang lebih penting adalah penghargaan khalayak kepada konsert Melayu itu sendiri.

“Mereka sanggup untuk membeli tiket dan itu bermakna ada permintaan dan membolehkan konsert kita terus ‘hidup’.”

Mengapa Satu Wajah?

“Ia membawa beberapa maksud. Tapi yang utama ialah menyimpulkan beberapa perkara tentang diri saya yang mempunyai pelbagai wajah tapi ia sebenarnya satu iaitu M. Nasir.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan