petikan Bintang Popular 15 Februari 2009
Oleh Suzan Ahmad
TIKET sudah hampir habis, manakala kerja-kerja teknikal seperti reka bentuk pentas dan props, selain sistem cahaya bunyi sedang rancak dijalankan di Istana Budaya, semuanya bagi memastikan Konsert Alam M Nasir menjadi satu kenyataan selepas beberapa kali tertangguh sebelum ini.
Malah, sesi latihan juga sedang sibuk dijalankan membabitkan 10 pemuzik profesional di bawah pengawasan Pengarah Muzik, Aznan Alias, yang bakal memikul tanggungjawab berat mengiringi penyanyi itu mempersembahkan 40 lagu dari 27 Februari hingga 1 Mac ini.
Nan dalam pertemuan bersama BPop di Studio Luncai Emas baru-baru ini, berkata latihan sudah bermula sejak dua minggu lalu.
“Berdasarkan cara gerak kerja, kami lebih suka menangani bahagian demi bahagian sebelum pergi lebih terperinci lagi,” katanya yang turut berperanan sebagai pemain gitar utama untuk konsert anjuran Boxoffice Malaysia itu.
Katanya, tindakan penyanyi itu mahu mendendangkan lebih 40 lagu pada konsert berkenaan mungkin kedengaran agak berat buat sesetengah pihak, namun hakikatnya ia tidak begitu sukar seperti yang dibayangkan bagi seseorang pemuzik yang membesar dengan lagu-lagunya.
“Bayangkan saya sudah mula bermain (muzik) untuk Nasir sejak berusia 19 tahun, malah saya boleh menghafal melodi semua lagunya. Bagi seseorang pemuzik, nyawa serta jiwa sesebuah melodi dan lagu lebih hidup jika ia diperdengarkan terus dari hati,” katanya.
Nan menjelaskan, tidak semua lagu yang bakal dipersembahkan digubah semula susunan muziknya, kecuali dua atau tiga lagu saja memerlukan proses itu bagi memastikan kesesuaiannya dengan cita rasa pendengar semasa.
Ditanya mengenai proses pemilihan pemuzik, Nan yang berpengalaman mengiringi persembahan Nasir, termasuk beberapa konsert besarnya sebelum ini, berkata aspek yang diberikan keutamaan ialah pengalaman, kemahiran dan keserasian hubungan antara penyanyi serta pemuzik.
“Hubungan yang terjalin lebih cenderung kepada pengalaman bekerja bersama sekian lama. Hakikatnya, bagaimana mahu bekerja jika tiada persefahaman.
Di penghujung hari nanti, apa yang membuatkan pasukan ini serasi adalah keupayaan untuk mendengar, menerima dan mencerna setiap idea yang ditumpahkan sehinggalah satu keputusan secara kolektif dibuat,” katanya sambil memaklumkan latihan pesat akan berlangsung di Istana Budaya, 23 Februari ini.
Apapun, menerusi pengalamannya, beliau mengakui cabaran dan keajaiban akan datang pada hari konsert nanti apabila tiba-tiba lagu yang tidak termasuk dalam senarai tiba-tiba diminta penonton.
“Terserah kepada kecekapan dan kebijaksanaan menerusi pengalaman untuk mengendali pemuzik. Di situlah juga kita akan tahu kekuatan impak mengenali melodi dan lagu secara hafal.
“Apa yang membezakan kami dengan pemuzik lain adalah kami bukan bermain untuk M Nasir tetapi kami mempersembahkan konsert ini bersama Nasir,” katanya.
Selain Aznan, pemuzik lain yang akan mengiringi M Nasir pada malam konsert nanti ialah Hanafi Spider (gitar kedua), Zulkifli Mahat (piano), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam (keyboard), Jay Jay (gitar bass), Ujang Exist (dram), Pa’ang (percussion), Hamzah Hashim (percussion kedua) dan Mohardiman (seruling).
Manakala, penyanyi latar terdiri daripada Eja @ Tijah Muhamad Nor, Yuaz Bahtiar Kassim, Juwanita Ismail dan Wan Mohd Azran Wan Hamzah.
Sementara itu, M Nasir yang turut serta dalam sesi latihan itu lebih selesa melihat dan tidak bercakap banyak, begitupun dia yang perlu menjaga kesihatan dan vokal kelihatan cukup positif dengan perkembangan perjalanan konsert berkenaan.
“Kami sekarang lebih fokus kepada gubahan semula beberapa lagu yang lebih trampil jika diberikan suntikan elemen berbeza. Tidak semua idea datang dari saya. Sebab itulah, peranan Nan sebagai pengarah muzik cukup kritikal,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan