Halaman

Selasa, Disember 30, 2008

Teruja dengan Dejavu

petikan Berita Harian 30 Disember 2008
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Syura puas impian untuk menyanyikan lagu ciptaan M Nasir akhirnya tercapai

M NASIR sememangnya antara komposer tempatan yang amat ditunggu-tunggu. Sudah lama dia menyimpan azam untuk merakamkan lagu ciptaan komposer serba boleh itu. Dia juga sanggup menunggu semata-mata ingin mendapatkan sentuhan khidmat pencipta berbisa berkenaan.

Penantian Syura tidak sia-sia apabila sifu muzik itu ‘menghadiahkan’ dirinya sebuah lagu berjudul Dejavu. Lagu yang ditulis liriknya oleh Usop Kopratasa itu dimuatkan dalam album kompilasi terbaru penyanyi dari Johor ini, yang dikeluarkan 15 Disember lalu. Menggunakan judul Khazanah Pujangga, album itu mengandungi dua CD menghimpunkan 20 lagu etnik tradisional kesemuanya.

Selain lagu Dejavu, dua lagi lagu baru, Pujangga Merindu ciptaan Eddie Hamid dan Hairul Anuar Harun serta Mendung ciptaan sepenuhnya oleh Yasin turut disenaraikan bagi album ketujuh penyanyi berbintang Libra itu. Sebelum ini Syura pernah tampil bersama dua album pop dan empat album tradisional.

"Apabila diberikan keizinan oleh pihak FMC untuk Syura sama-sama memilih komposer bagi rakaman lagu baru, Syura memaklumkan mereka yang Syura memang mahukan karya M Nasir. Syura sedar, dia penggiat seni yang cukup sibuk.

“Pihak syarikat rakaman sendiri memberikan gambaran serupa tatkala Syura menyatakan hasrat mendapatkan lagunya. Syura sanggup menunggu dan tidak kisah menanti, asalkan Syura berjaya merakamkan lagu ciptaannya," cerita Syura mengenai pengalaman mendapatkan lagu komposer yang disegani itu.

Mengenai kesungguhannya untuk terus tampil bersama lagu berentak etnik tradisional, penyanyi itu berkata, jika dibandingkan sambutan terhadap album pop dan etniknya, nyata genre kedua itu lebih baik penerimaannya di kalangan peminat.

"Lagipun bukannya penyanyi muda hari ini yang boleh menyanyikan lagu berirama tradisional dengan baik. Kebanyakannya lebih terarah kepada irama popular. Jadi, mengapa tidak Syura menggunakan peluang itu untuk terus memartabatkan irama kebanggaan negara kita?

"Syura sedar muzik sebegini bukanlah mudah diterima secara meluas, tetapi permintaannya tetap ada. Masakan tidak Syura tetap aktif menyanyi walaupun sudah dua tahun tidak ada album.

“Syura masih giat memenuhi undangan mengadakan persembahan, terutama untuk majlis korporat ataupun keraian golongan diraja," kata ibu kepada seorang anak, Nurul Dania Irdani, yang kini berusia satu setengah.

Penyanyi itu turut menyentuh sikap sesetengah stesen radio yang bersikap pilih kasih dalam memainkan lagu berentak etnik tradisional. Katanya, pada ketika pihak pengurusan stesen menegaskan prinsip radio berkenaan tidak memainkan lagu sebegitu, namun apabila ada penyanyi, menyanyi dan menghasilkan lagu baru dalam genre sama, ia diputarkan pula stesen terbabit.

"Janganlah bersikap memilih kasih seperti itu kerana ia nyata tidak adil kepada penyanyi lain yang menyanyikan irama serupa. Lagipun Syura sendiri sudah begitu lama menyanyi.

“Syura tahu mana satu lagu yang digemari pendengar hari ini atau sebaliknya. Kerana itu lagu yang Syura rakamkan pun bukanlah berentak asli lama," katanya.

Jelasnya, lagu Dejavu, umpamanya lebih berentak pop kreatif, manakala Pujangga Merindu yang berjaya ke peringkat separuh akhir kategori etnik kreatif rancangan Muzik-Muzik baru-baru ini memuatkan elemen muzik Cina. Lagu Mendung oleh Yasin pula dipengaruhi muzik Timur Tengah.

Kata Syura, seandainya peminat tidak menggemari muzik tradisional, dia hairan mengapa album duetnya bersama Datuk M Daud Kilau, Senandung Melayu (2002) masih terjual sehingga ke hari ini?

Petunjuk itu saja, katanya, menunjukkan betapa orang ramai masih menyukai muzik sebegitu.

Ditanya mengenai kekurangan lagu irama tradisional atau etnik kreatif pada pencalonan Muzik-Muzik, penyanyi itu berkata, pada setiap minggu dia berasakan, pasti ada lagu dalam kategori terbabit yang dicalonkan.

"Justeru Syura amat berharap, kategori ini tidak dimansuhkan. Biarlah lagu etnik kreatif yang ke akhir dikekalkan ke tiga lagu saja, Syura tidak kisah. Janganlah ia dikurangkan lagi, atau dimansuhkan terus," pinta penyanyi berusia 22 tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan