Halaman

Rabu, Disember 17, 2008

Sistem jana pendapatan artis

petikan Berita Harian 17 Disember 2008
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


BARISAN artis yang menjayakan program menjana kecemerlangan ekonomi artis menerusi Konsortium Stars2u Sdn Bhd.

Penubuhan Konsortium Starts2u diharap membantu perbaiki ekonomi anak seni

JARANG sekali isu ekonomi yang acap kali dibangkitkan penggiat seni kebelakangan ini diberi perhatian, terutama daripada persatuan hiburan, sebaliknya topik itu terbiar tanpa sebarang pembelaan.

Hakikatnya ketika industri hiburan berkembang mekar, nama mereka yang sedang meniti populariti ini turut memberi sumbangan besar dalam memacu ekonomi negara.

Bagaimanapun, apabila situasi industri hiburan mengalami penguncupan dan kemerosotan, kelompok yang selama ini disanjung atas sumbangan besar mereka seolah-olah terbiar tanpa pembelaan.

Malah luahan hati mereka yang diabaikan tanpa ada sebarang usaha positif untuk memperbaiki taraf ekonomi penggiat dunia hiburan, hanya tinggal luahan, tanpa sebarang tindakan diambil.

Bahkan sesetengah persatuan hanya mampu bersuara tanda prihatin terhadap isu yang dibangkitkan, malangnya tidak mampu berbuat apa-apa atas pelbagai faktor yang menghalang.


Menyedari hakikat pendapatan golongan penggiat seni semakin tidak seimbang, ditambah faktor ekonomi semasa yang berdepan masalah kegawatan mencetuskan idea kepada Datuk Aziz Bakar untuk menubuhkan Konsortium Stars2u Sdn Bhd.

Sebagai pengasas juga pencetus idea penubuhan konsortium itu, Aziz yang lebih 20 tahun bergelumang dalam industri hiburan berkata, sudah lama beliau menyimpan niat untuk membantu memperbaiki ekonomi penggiat seni.

Katanya, sepanjang dua dekad dalam industri hiburan, bahkan menyaksikan sendiri naik turun perjalanan hidup insan seni tetapi jarang sekali isu penting itu disentuh oleh mereka yang berkaitan.

“Dalam situasi pasaran industri hiburan terutama muzik yang semakin mencabar membuatkan saya tergerak untuk menubuhkan konsortium ini.

“Mengapa tidak saya mewujudkan satu jaringan perniagaan membabitkan kelompok artis, sekali gus menjana kecemerlangan ekonomi mereka menerusi kerjasama dengan syarikat pemasaran multi level Uptrend Network Sdn Bhd,” katanya.

Aziz berkata, idea penubuhan konsortium itu digerakkan hasil perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Uptrend 2u, Datuk Susie Yoh serta Presidennya, Gary Gan.

Saling mengenali sejak empat tahun lalu, beliau yakin dengan kewujudan jaringan perniagaan pintar ini apabila melihat rekod serta prestasi yang ditunjukkan syarikat itu.

“Perniagaan itu sudah berjaya melahirkan 48 jutawan Melayu dan dua daripada mereka ialah anak seni iaitu ND Lala dan komposer, Rosli Selasih.

“Melihat kejayaan mereka membuatkan saya tergerak mempelajari asas perniagaan ini. Ia tidak perlukan modal besar namun menjana pulangan lumayan jika berusaha keras membinanya.

“Melihat kepada populariti yang dimiliki anak seni, mereka tiada masalah membina rangkaian perniagaan sendiri dan yakin usaha ini akan membenihkan kejayaan,” katanya.

Aziz berkata, jaringan perniagaan pintar ini juga membuka ruang kepada masyarakat untuk menyokong apa yang dijalankan menerusi e-networking.

Menerusi jaringan itu, artis serta masyarakat juga boleh berhubung untuk terus mencambahkan aktiviti Keusahawanan Siber menerusi jualan serta pembelian secara talian (online) dan luar talian (offline).

Konsep jaringan pintar itu secara tidak langsung akan menjana serta mempertingkatkan ekonomi kedua-dua belah pihak.

“Kerjasama ini dapat mewujudkan sistem perniagaan yang harmoni, justeru membuka lembaran baru antara artis dan peminat. Ini adalah salah satu langkah penyatuan integrasi perniagaan yang bakal mengubah kedudukan ekonomi kita,” katanya.

Buat permulaan, seramai 16 artis terpilih untuk menjayakan projek itu iaitu M Nasir, Ramli Sarip, Fauziah Ahmad Daud, Awie, Nash, Afdlin Shauki, Fauziah Latiff dan Bob Lokman. Turut terbabit ialah Sabri Yunus, Wan Nor Azlin, Jehan Miskin, Farahdhiya, Ali Bakar, Rosli Selasih, Salman Shariff dan Soosan Hoh.

Majlis yang sama turut menyaksikan upacara memeterai perjanjian antara wakil Konsortium Statrs2u Sdn Bhd, Bob Lokman dan Susie yang juga Pengarah Uptrend Network disaksikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Turut disempurnakan pada majlis itu adalah pelancaran produk makanan tambahan Herbavescent yang menggabungkan kepakaran dua benua iaitu Asia dan Eropah menggunakan estrak buah-buahan dan herba bersama teknologi effervescent dari Eropah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan