petikan Berita Harian 31 Oktober 2008
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my
Ali Bakar tidak putus asa cari penaja Konsert Alam Muzik M Nasir di Istana Budaya
MESKIPUN impian awal untuk melihat Konsert Alam Muzik M Nasir berlabuh di Panggung Sari, Istana Budaya dari 24 hingga 26 Oktober lalu tidak menjadi kenyataan, namun tiada luahan putus asa yang terbit daripada penganjurnya, Box-Office (Malaysia) Sdn Bhd.
Bertemu Ali Bakar yang menerajui syarikat pengurusan acara berpengalaman selama 30 tahun itu, dia berkata, masalah penajaan menjadi punca utama konsert berkenaan ditangguhkan.
Bagaimanapun, kata Ali, dia tidak menyalahkan penaja yang enggan memberi peruntukan sekali pun konsert itu menampilkan nama besar seperti M Nasir.
“Saya sudah 30 tahun berpengalaman menganjurkan pelbagai konsert, jadi saya maklum selok belok tuntutan serta keperluan penajaan.
“M Nasir memang nama yang besar tetapi saya tidak menyalahkan penaja apabila mereka tidak melihat nilai serta kualiti penghibur yang ada pada anak seni itu.
“Kebanyakan penaja mencari artis kontemporari dan muda serta mampu menjana pulangan kepada mereka. Itu hak mereka dan saya tidak boleh memaksa penaja untuk melihat perspektif yang sama seperti mana saya melihat M Nasir.
“Setiap penaja mempunyai misi dan kriteria tertentu dalam mencari kualiti artis yang mampu menterjemahkan produk yang sedang mereka promosi.
“Barangkali usaha saya ini tidak memenuhi tuntutan mereka, tetapi tidak mengapalah. Kenapa saya harus berputus asa kerana saya percaya masih ada ruang untuk merealisasikan impian besar ini,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka The New Straits Times Press (M) Bhd, NSTP, baru-baru ini.
Kata Ali, pencarian untuk mendapatkan penaja bersesuaian diusahakan selama enam bulan apabila Istana Budaya mengesahkan konsert itu sebagai satu agenda dalam kalendar persembahan mereka.
Memerlukan sekitar RM600,000 hingga RM700,000 untuk konsert itu, Ali berkata, jumlah besar itu mencakupi pelbagai aspek yang memenuhi sebuah konsert berprestij untuk nama gah seperti M Nasir.
“Saya sudah faham sangat dengan kerenah industri. Memang sedih dan kecewa tetapi saya tidak akan berhenti mencuba serta mencari penaja yang berminat.
“Untuk apa saya marah-marah orang yang memberi ‘makan’ kepada saya? Cuma saya selalu pesan pada diri, jangan kecewa dan jangan putus harap kerana ia pasti akan menjadi kenyataan nanti,” katanya.
Biarpun terpaksa ditangguhkan, Ali bersyukur kerana Istana Budaya masih menaruh kepercayaan kepadanya malah sudah menyediakan tarikh baru untuk konsert itu.
Hasil perbincangan, konsert itu akan direalisasikan dari 26 hingga 28 Februari ini dan M Nasir dijadualkan beraksi selama hampir dua jam membawakan rangkaian lagu popularnya.
Ditanya apa reaksi M Nasir apabila konsert itu ditangguhkan, Ali berkata, penyanyi itu faham dengan kesulitan yang dialaminya malah memberikan kata semangat supaya tidak pantas berputus asa.
“Dia faham kerana ini bukan kali pertama saya bekerja dengannya. Sudah ada beberapa konsert yang saya laksanakan dengannya termasuk Canggung Medonan dan Andalusia.
“Lagipun persahabatan kami bukan baru, dari permulaan dia menyanyi kami sudah saling mengenali. Dari Singapura, Nasir datang naik bas ke pejabat jadi saya sudah faham isi hati dia.
“Apabila perkara ini berlaku, kami duduk berbincang dan dia memahami kerana Nasir sendiri seorang yang serius dan mahukan kepuasan dalam apa yang dilakukannya,” katanya.
Akui Ali, dalam industri hiburan hari ini sukar untuk mencari yang berkaliber dan mampu mengadakan persembahan dalam satu tempoh panjang.
“Tidak ramai penyanyi yang berani untuk beraksi dalam satu konsert seperti ini, malah industri juga berdepan kesukaran mencari artis yang mempunyai kredibiliti.
“Nasir seorang yang sangat teliti, malah dia sendiri meminta waktu latihan yang panjang sekitar dua bulan supaya semua yang datang terhibur dan pulang dalam kepuasan,” katanya.
ali bakar memang besemangat waja orangnya. kental orangnya.
BalasPadamHarap Ali Bakar tidak putus asa dan tidak menghampakan peminat-peminat Sifu di luar sana.
BalasPadamMoga konsert bulan Februari ini akan jadi kenyataan.
moga konsert ini menjadi
BalasPadam