petikan Utusan Malaysia 19 September 2008
M. NASIR (kiri) ditemu bual oleh Saharudin Musthafa (kanan) dan Abd. Aziz Itar di pejabat Luncai Emas Sdn. Bhd. di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.
ISU kuota penyiaran lagu-lagu artis-artis tempatan yang diketengahkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) baru-baru ini nampaknya masih belum menemu titik noktah. Karyawan melalui Ketua Biro Komposernya, M. Nasir terus berusaha keras menagih perhatian stesen-stesen radio terutamanya stesen-stesen radio swasta agar saranan mereka itu diberi perhatian yang sewajarnya.
Ini kerana, nisbah 90 peratus siaran lagu-lagu tempatan dan 10 peratus lagi untuk lagu-lagu artis luar negara yang dikemukakan oleh Karyawan itu cukup rasional memandangkan percambahan pesat yang berlaku dalam bidang penyiaran tempatan sejak kebelakangan ini.
Senario itu diakui sendiri oleh pemilik syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd. ini ketika ditemu bual oleh wartawan Hits, SAHARUDIN MUSTHAFA dan ABD. AZIZ ITAR bersama jurugambar RASHID MAHFOF di pejabatnya di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.
HITS: Pada pandangan anda adakah isu ini timbul kerana industri muzik kita tidak cukup lagu?
M. NASIR: Bagi sayalah, negara kita mempunyai terlalu banyak stesen radio termasuklah milik kerajaan dan swasta. Mereka (stesen radio) ini pula melihat operasi mereka lebih kepada sudut ekonomi dan keuntungan semata-mata. Tetapi bagi kami pula (penggiat muzik) adalah pihak yang menerima kesannya.
Jadi apa yang boleh kita lakukan?
Saya sebenarnya hairan mengapa kita memberi terlalu banyak keutamaan kepada lagu-lagu artis luar negara terutamanya dari Indonesia. Kita seakan-akan bersetuju atau merelakan keadaan itu berlaku.
Seperti yang saya katakan tadi, antara puncanya ialah kita sekarang ini ada terlampau banyak stesen radio termasuklah stesen radio swasta.
Orang ada pilihan untuk tidak membeli album sebab stesen radio siar lagu dalam kualiti yang sangat baik dan sesebuah lagu popular juga kerap disiarkan di radio.
Tetapi tidakkah kalau lagi banyak stesen radio dan mereka memainkan lagu, maka pengkaryanya akan dapat lebih banyak royalti?
Memanglah, tetapi itu pun kalau mereka siarkan lagu-lagu artis kita (ketawa). Saya takut nanti akan jadi polemik pula di mana ia akan jadi kesan yang tidak elok kepada golongan karyawan tempatan, stesen-stesen radio dan artis-artis dari luar negara.
Mungkinkah apresiasi orang kita terhadap lagu-lagu tempatan kurang?
Masalahnya di sini ialah orang (rakyat) di negara kita tidak ramai. Tetapi kita pula buka peluang itu (penyiaran lagu-lagu artis luar) dengan cara yang terlalu luas, tidak kira dalam apa juga bidang termasuklah dalam bidang muzik. Itu yang berlaku sekarang ini.
Disebabkan masalah itu kita tidak cukup produktiviti untuk berjalan seiring dengan artis-artis dari luar negara yang datang ke sini. Lama kelamaan kita akan terhimpit.
Artis luar bawa satu lagu cukuplah dan ia tentunya yang hits sahaja yang akan diketengahkan. Itu belum masuk artis-artis lain. Sedangkan artis kita mahu jadikan sebuah lagu hits pun susah.
Sebab apa? Kerana jarang keluar di radio. Itu fasal kita minta 10 peratus untuk siaran lagu artis luar. Itu pun sudah kira besar. Kita akui kelemahan kita, 10 lagu tidak semua bagus, mungkin hanya ada dua atau tiga sahaja lagu kita yang sedap. Sedang semua lagu artis luar yang datang ke sini adalah yang terbaik daripada mereka.
Adakah berlaku kekangan untuk berkarya di kalangan penggiat muzik kita?
Kita sebenarnya tidak cukup populasi. Bayangkan, Malaysia didiami oleh 27 juta penduduk. Separuh daripadanya mungkin orang Melayu.
Harus diingat juga, tidak semua orang Melayu di negara ini yang mendengar, membeli dan menyokong lagu-lagu Melayu.
Itu pun kena dibahagi kepada separuh di mana ia kalangan orang muda yang beli album. Selain itu, karyawan muzik kita juga tidak ramai.
Ia tidak sama seperti negara-negara Eropah atau Amerika Syarikat. Di Eropah misalnya, hubungan sesama mereka amat rapat macam satu keluarga. Kalau album itu diterbitkan oleh artis dari Sweden, ia boleh diterima baik di negara-negara Eropah lain kerana mereka ada pertalian daripada segi politik dan sejarah.
Apatah lagi negara seperti United Kingdom menyediakan pasaran album nombor satu di Eropah. Jadi saluran untuk mereka itu sudah ada. Tetapi persoalannya mengapa kita dengan Indonesia tidak boleh jadi macam di Eropah. Sebabnya kerana Indonesia itu masih merasakan bahawa mereka itu abang dan Malaysia itu adik mereka.
Jadi bolehkah isu 90:10 itu menyelesaikan masalah tersebut?
Sedikit sebanyak kuota itu sebagai suatu galakan. Bukannya senang untuk merealisasikan impian itu kerana walaupun Malaysia ada ramai orang Melayu tetapi mereka juga ada macam-macam jenis.
Ada orang Melayu tetapi mereka ini tidak cakap Melayu. Ada orang Melayu terutamanya golongan pertengahan yang tidak dengar lagu-lagu Melayu.
Ada juga orang Melayu yang langsung tidak tahu cakap Melayu. Dalam perkembangan ini secara khususnya stesen-stesen radio hanya membantu sesama mereka dalam industri penyiaran sahaja tetapi mereka bukannya membantu industri hiburan.
Betul ke karyawan muzik Malaysia takut untuk bersaing dengan artis-artis terutamanya dari Indonesia?
Bukan soal takut tetapi artis-artis kita tidak diberi peluang untuk bersaing secara adil. Saya mahu tanya, mengapa stesen-stesen radio di Indonesia tidak memberi peluang siaran yang banyak kepada lagu-lagu artis kita?
Sedangkan kita terlalu banyak menyiarkan lagu-lagu mereka. Ini tentunya merupakan suatu kelebihan untuk mereka. Kalau diberi ruang yang luas, lagu-lagu artis kita juga akan sama popular seperti lagu-lagu artis luar.
Atau mungkinkah permintaan terhadap lagu-lagu artis Indonesia melonjak kerana terdapat ramai rakyat mereka di sini?
Demand atau permintaan lagu-lagu apa pun tetap ada dan ia boleh dijual sama ada sikit atau banyak. Tetapi dalam hal ini puncanya ialah radio. Kalau macam inilah keadaannya, buka sahajalah kuota itu 100 peratus kepada artis-artis luar, tiada sekatan atau kuota lagi.
Pada masa itu biarlah apa yang hendak jadi, mungkin artis atau lagu-lagu kita akan jadi golongan minoriti. Dulu masa zaman tahun 1980-an dan 1990-an memang muncul ramai artis dari luar tetapi ia terkawal.
Apatah lagi ketika itu artis-artis kita banyak buat lagu macam rock yang tangkap leleh. Ia jadi jenama popular pada masa itu. Tetapi masalah yang berlaku sekarang ini kita lambat aktif buat lagu hingga tempat itu diambil alih oleh orang luar. Contohnya, dalam tempoh itu hingga kita tidak banyak artis kita yang tampil dengan trend muzik terkini atau album baru. Cuma baru kini ada artis seperti kumpulan Hujan yang muncul dalam persada muzik kita.
Orang kita mahukan lagu-lagu Melayu, sedangkan dulu kita ada ramai pemuzik seperti OAG dan Butterfingers tetapi mereka buat album Inggeris. Sekarang ini barulah nampak perubahan sikit.
Pada masa sama adakah kualiti lagu kita kurang?
Itu juga perlu diberi perhatian, cuma kita kekurangan bakat-bakat yang boleh diketengahkan.
Kita memang ada program TV realiti tetapi ia sekarang ini seakan-akan sudah tidak relevan lagi.
Ada program TV realiti yang masuk musim keenam tapi sebenarnya ia sudah tidak perlu lagi. Kita macam sudah tidak ada talent (bakat) yang boleh dicungkil, asyik-asyik orang yang sama juga yang muncul.
Bagaimana mahu melahirkan lebih ramai karyawan yang berkualiti?
Antaranya kita kenalah iktiraf sumbangan dan pencapaian mereka. Orang masuk bidang seni ini kerana mahu ‘kerja’ tetapi kalau tidak ada pengiktirafan siapa yang akan percaya? Kita kena yakinkan bidang seni juga suatu kerjaya yang boleh cari makan.
Secara jujurnya, apa kurangnya lagu-lagu kita berbanding lagu-lagu artis luar?
Sama sahaja kerana semua itu bergantung kepada ‘jangka hayat’ karier seseorang penyanyi itu.
Saya jangkakan ia sekitar lima tahun sahaja. Kalau penyanyi itu terus diterima selepas itu, ia datangnya daripada sokongan para peminat setia ketika zaman popularnya itu.
Biasanya seseorang penyanyi itu akan bertahan hingga album keempat sahaja. selepas itu nasiblah. Ini adalah psikologi dalam industri hiburan. Sampai ke suatu tahap, orang (peminat) akan rasa ‘penat’. Komposer mungkin boleh bertahan kerana mereka ini golongan yang berada di belakang tabir, orang tidak nampak. Jadi lambat sikitlah orang hendak rasa bosan.
Bagaimana senario industri muzik kalau kita jemput kumpulan-kumpulan pemuzik indie menyertai arena muzik arus perdana?
Terpulanglah kepada mereka. Apa yang penting mereka kena jujur dengan karya-karya yang mereka ketengahkan. Kita sentiasa kena berubah. Contohnya, macam Madonna yang walaupun sudah berusia tetapi dia sentiasa berubah-ubah imej dan konsep lagu-lagunya. Tetapi masalahnya tidak ramai artis yang sanggup atau berani berubah. Artis kena sentiasa berubah, kalau tidak siapa yang mahu beli produk mereka?
selamat hari raya aidilfitri bro
BalasPadamSelamat Hari Raya saudara.
BalasPadamDikesempatan ini juga Saudagar Mimpi ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya & maaf andai ada tersalah kata kepada semua pengunjung laman Prahara Seni.
Bro,
BalasPadamSelamat Hari Raya Aidilfitri.
selamat hari raya eid'fitri
BalasPadam