Halaman

Ahad, September 07, 2008

Apa/Kenapa: Bersaing secara sihat

petikan Utusan Malaysia 7 September 2008
WANDA

Timbul pelbagai reaksi apabila isu 90:10 dibangkitkan oleh Karyawan baru-baru ini. Ada yang bersetuju, ada juga yang tidak. Tetapi rata-rata bersetuju dengan cadangan nisbah penyiaran itu kerana ia mengutamakan penyiaran lagu-lagu artis kita, artis tempatan di negaranya sendiri.

Selain itu, ia juga mampu mendorong dan merangsang semula jumlah jualan album artis-artis kita yang semakin merosot hari ke hari sejak kebelakangan ini.

Khamis lalu mereka membawa usul itu kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dalam usaha untuk mencadangkan agar mengenakan nisbah itu sebagai salah satu syarat pengeluaran lesen khusus kepada stesen-stesen radio dan televisyen swasta di negara ini.

Ramai yang yakin dengan pengawalan kemasukan lagu-lagu seberang seperti yang dicadangkan Karyawan, apalagi sejak para komposer dan penerbit dari sana melihat negara ini sebagai ‘lubuk emas’, ia sekurang-kurangnya mampu memberi sedikit nafas kepada artis tempatan.

Mungkin juga, lihatlah sekarang, ada stesen radio yang bukan sahaja menyiarkan lagu-lagu Indonesia tanpa had malah berlumba-lumba pula menyediakan segmen khas dan carta lagu-lagu sana.

Dalam hal ini, Wanda memuji RTM kerana walaupun menyiarkan lagu Indonesia tapi taklah sampai sediakan pula satu rancangan khas mahupun carta macam sesetengah stesen radio swasta itu.

Ketua Biro Komposer Karyawan, M. Nasir sendiri menegaskan, jika fenomena kemasukan itu tidak diberi perhatian dan tidak dibendung oleh kerajaan, ia akan memberi implikasi jangka panjang daripada sudut ekonomi kepada negara ini pada masa depan.

Antaranya tentunya kerana aliran keluar banyak wang ke luar negara di samping pengecilan jumlah pendapatan royalti artis tempatan.

Memang kalau dilihat daripada segi patriotik, Wanda sendiri pun bersetuju dengan nisbah tuntutan penyiaran itu cuma memikirkan logiknya, apakah kita mampu menyediakan jumlah lagu untuk siaran di setiap stesen radio.

Berapa banyak artis yang buat album baru sekarang ini melainkan setiap hari banyak syarikat rakaman lebih senang menghasilkan album kompilasi? Lagipun, perlu diingat, setiap stesen radio ada moto dan sasarannya. Jika diikutkan jumlah lagu yang dikumpul dari dulu hingga sekarang memanglah banyak.

Tapi apakah ke semua lagu-lagu itu sesuai dimainkan oleh setiap stesen radio yang mendokong prinsip penyiarannya yang tersendiri.

Lagu-lagu lama yang retro misalnya mungkin tidak sesuai untuk siaran sesetengah stesen radio dan ada sesetengahnya pula hanya memainkan lagu-lagu popular. Dan lagu-lagu popular itu kebanyakannya datang dari seberang.

Dan seperti biasa, daripada segi perniagaan, tentulah keutamaan yang diberikan kepada sesuatu produk yang boleh dijual. Yang disukai orang dalam usaha memastikan mereka terus melekat dengan sesebuah stesen.

Kalau ada yang berlumba-lumba siarkan lagu seberang, nak salahkan siapa kalau ianya adalah kerana tuntutan daripada pendengar itu sendiri?

Ada juga yang memberitahu Wanda, sebelum kita ‘bising’ dengan hal-hal begini, kita perlu melihat dan menilai semula industri kita itu sendiri.

Kerana kata mereka, industri perlu melihat dan menilai kembali lagu-lagu yang ada dalam pasaran hari ini. Adakah semua lagu yang ada di pasaran hari ini hits?

Tapi kalau dah 90 peratus pengisiannya lagu-lagu popular kita yang tak seberapa nak banyak itu, jadi larat ke kita mendengar lagu-lagu popular yang sama diputar setiap masa. Itu kata mereka yang kurang bersetuju dengan angka nisbah 90:10 itu.

Alasan mereka, mampukah kita menyediakan sebanyak itu lagu-lagu untuk tuntutan halwa telinga pendengar yang menjadi nadi kehidupan sebuah stesen. Nasib baik juga adanya kebangkitan lagu-lagu indie yang memberi satu halwa baru kepada telinga pendengar. Nak harapkan lagu-lagu sedia apa, berapa banyak?

Jadi kata mereka yang tak bersetuju itu, kita perlu bersikap positif, mencari dan mencipta ‘bunyi’ baru kepada industri kita. Apa salahnya kalau kita bersaing secara sihat. Kita buat muzik yang pendengar suka. Berikan satu bunyi baru agar kita dapat bersaing dengan kebanjiran lagu-lagu dari seberang yang rata-rata sentiasa hadir dengan gaya muzik baru.

“Jadi buat apa marahkan nyamuk kelambu dibakar. Kita patut cari ubatnya dan ubatnya adalah dengan memberikan satu dimensi baru dalam industri muzik kita.” Itu kata mereka!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan