Halaman

Isnin, Ogos 04, 2008

Sembang Kak Cham: Kemelut masuk musim baru

petikan Berita Harian 4 Ogos 2008

LANGAU dalam industri! Itulah rupa-rupanya gelaran yang diberikan beberapa orang kuat persatuan hiburan kepada Presiden Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez. Semua ini gara-gara tindakannya yang mempertikaikan sasaran RM300 juta hasil industri muzik yang perlu dijana dalam tempoh tiga tahun ini.

Jumlah yang dianggap karut, tidak masuk akal dan tidak realistik oleh bos Maestro itu sebenarnya adalah rumusan Seminar Seni Muzik Kebangsaan yang diadakan di Akademi Seni, Warisan dan Budaya (Aswara) awal bulan lalu. Yang bentangkan kertas kerja bertajuk Kerjaya Muzik Penjana Ekonomi itu tak lain tak bukan sifu muzik sendiri, M Nasir dengan Setiausaha Majlis Muzik Malaysia (MMM), Ong Peng Chu.

Bukan sedikit yang marahkan Freddie. Malah kenyataannya yang dikeluarkan dalam Hip minggu lalu mendorong Presiden MMM, Datuk A Rahman Hassan untuk mengadakan sidang media tergempar. Berdiri teguh di belakangnya adalah 19 persatuan hiburan lagi. Hari ini pula teman difahamkan Datuk Aziz Bakar pula akan buat sidang media bagi menjawab kenyataan Freddie.

Sebelum itu pun, buat pertama kalinya juga Rahman ringan tangan menelefon teman untuk meluahkan rasa hatinya. Teman terperanjat juga kerana sebelum ini mana pernah penyanyi popular semasa zaman pop yeh yeh dulu tu telefon teman. Ada rasa terkilan di hatinya kerana usahanya untuk melihat industri muzik maju diperlekehkan.

“Selepas membaca kenyataan itu, terlintas di fikiran saya apa lagi yang langau dalam industri ini nak? Kalau dia mahu mempersoalkan mengenai rumusan yang dibuat dalam seminar itu tidak mengapa. Tetapi kenapa pula membangkitkan soal peribadi saya, MMM dan persatuan lain, selain menyalahkan KPKKW dan Aswara kerana bekerjasama dengan MMM?

“Lazimnya, saya tidak pernah melayan apa juga komen yang dibuat Freddie. Sudah bertahun-tahun kami di MMM mengambil pendirian untuk tidak campur tangan dalam hal yang dilakukannya. Kami tahu dia hendak jadi juara dalam industri ini dan akan buat apa saja untuk menampilkan dirinya. Hampir semua orang dalam industri ini tahu, siapa sebenarnya Freddie,” kata Rahman lagi.

Barangkali yang mengundang kemarahan mereka itu bukan sangat kerana Freddie mempersoalkan jumlah RM300 juta. Tetapi lebih kerana ada kenyataan yang berbentuk serangan peribadi. Katanya, “Kami sedar semua pihak mempunyai kelemahan dan kekurangan. Bagaimanapun, kami tidak biasa mendabik dan menonjolkan diri, duduk di sebelah menteri atau pegawai kanan kerajaan.”

Dakwa Rahman lagi, sudah 10 tahun Freddie asyik mencari kelemahan dan kesalahan pemimpin persatuan lain. “Ada saja surat yang dihantar dan salinannya turut diajukan kepada pak menteri. Tidak ada satu persatuan yang betul di matanya. Adakah kerana beliau bekas pemain keyboard dalam satu kumpulan muzik pada tahun 70-an dulu menyebabkan beliau berasakan serba tahun dalam industri muzik.”

Teman tak mahu menyebelahi mana-mana pihak. Kehadiran, perjuangan dan segala usaha mereka untuk memartabatkan industri hiburan sentiasa teman hormati dan teman akan bantu apa yang teman rasa boleh bantulah. Tetapi, hakikatnya masing-masing ada point. Macam Freddie tu, bukan tak ada point yang dibentangkannya. Kalau Freddie tak buka mulut, teman tak berapa nak tahu pun wujud ‘kepincangan’ itu.

Orang kata, kebenaran itu acap kali begitu menyakitkan. Kalau ada perkara yang tak betul, eloklah diperbetulkan. Jadi sebaik-baik jalan adalah permuafakatan dan sikap menghormati kerja masing-masing. Yang penting juga, nawaitu kita. Orang kata, hati mahu baik, niat mahu bersih dan tidak ada unsur dengki mendengki.

Kalau kita buat sesuatu kerana ada udang di sebalik mi, maka sampai bila-bila pun perkara ini tidak akan selesai. Kalau kita tegur dengan ikhlas, Insya-Allah teguran itu akan mendapat maklum balas yang positif tetapi kalau teguran dan kritikan kita diiringi dengan niat yang busuk, susahlah.

Cuma ada terkilan juga di hati teman kerana persatuan hiburan kita tak habis-habis hendak bercakaran. Kalau yang satu kata begini, yang seorang lagi balas begitu. Tak pernah yang mahu duduk semeja, menggembleng tenaga mencari satu resolusi untuk memartabatkan industri. Sudah ada yang dapat duduk semeja pula, meja lain pula yang berbunyi dan tak puas hati. Bukan tak boleh berbeza pendapat tetapi biarlah cara menyelesaikan kemelut itu nampak profesional dan bukan setakat hendak melepaskan tengkuk sendiri.

Iyalah, kalau sudah ketua persatuan asyik hendak bercakaran macam manalah ahlinya hendak hidup aman. Nanti ibarat ketam hendak mengajar anaknya berjalan, sampai bila pun tak pernah hendak betul. Asyik mengesot sajalah... Yang teman tak kuasa apabila di akhir episod jawab menjawab ini, yang semakin ketara adalah bukan seekor langau saja tetapi rupa-rupanya banyak langau lagi. Jaga diri, jumpa lagi! - hanizam@bharian.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan