Halaman

Jumaat, Ogos 15, 2008

Karyawan mohon nisbah 90 : 10

petikan Utusan Malaysia 15 Ogos 2008
Oleh ABD. AZIZ ITAR aziz.itar@utusan.com.my

LEBIH 200 ahli Karyawan menurunkan tanda tangan mengutip petisyen menetapkan kuota 10 peratus penyiaran lagu-lagu artis luar di stesen-stesen radio tempatan di PWTC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PERSATUAN Karyawan Malaysia (Karyawan) memohon supaya nisbah penyiaran lagu-lagu penyanyi tempatan sebanyak 90 peratus disyaratkan kepada stesen-stesen radio kerajaan dan swasta di negara ini, manakala 10 peratus lagi untuk lagu-lagu artis luar negara terutamanya dari Indonesia.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, nisbah itu bertujuan mengutamakan penyiaran lagu-lagu artis tempatan selain ia mampu untuk merangsang semula jumlah jualan album artis-artis tempatan yang semakin merosot sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu, beliau memohon Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi supaya mengenakan nisbah itu sebagai salah satu syarat pengeluaran lesen terutamanya kepada stesen-stesen radio dan televisyen (TV) swasta di negara ini.

“Karyawan akan mengadakan pertemuan dengan menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor bagi berbincang tentang isu nisbah 90 10 ini dalam waktu yang terdekat.

“Kami berharap agar ia dapat dikuatkuasakan sebagai salah satu akta atau undang-undang dalam bidang penyiaran di negara kita,” katanya pada Mesyuarat Khas Karyawan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada mesyuarat itu lebih 200 ahli Karyawan hadir di mana lebih 700 tandatangan telah pun diperoleh sejak persatuan itu melancarkan kempen tersebut kira-kira seminggu yang lalu.

Mesyuarat Khas itu diadakan bagi mengutip tandatangan dan petisyen bagi membantah kebanjiran lagu-lagu artis luar negara melalui stesen-stesen radio tempatan yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Ketua Biro Komposer Karyawan, M. Nasir menjelaskan, jika fenomena itu tidak diberi perhatian dan tidak dibendung oleh kerajaan, ia akan memberi implikasi jangka panjang daripada sudut ekonomi kepada negara ini pada masa depan.

Katanya, selain menyebabkan aliran keluar banyak wang ke luar negara, ramai artis tempatan juga akan terasa bahangnya termasuklah pengecilan jumlah pendapatan royalti selain tidak akan dapat bersaing secara sihat dan adil meskipun dalam industri muzik di negara mereka sendiri.

M. Nasir berkata, industri muzik di negara ini jauh lebih kecil kecil jika dibandingkan dengan Indonesia daripada segi jumlah lagu dan para penggiat muzik. Industri muzik Indonesia juga jelasnya, mempunyai ratusan lagu yang sudah hits (popular) untuk diketengahkan di negara ini.

“Mereka tidak perlukan promosi yang tinggi untuk berjaya di sini kerana lagu-lagu Indonesia yang dibawa itu kebanyakannya sudah popular. Sedangkan industri muzik kita sudahlah kecil, tetapi terpaksa pula bersaing dengan lagu-lagu hits mereka itu.

“Sebab itu saya bersetuju dan ingin mencadangkan nisbah 90 : 10 itu sebagai salah satu syarat pemberian lesen kepada stesen-stesen radio. Bagi saya, ini adalah isu dalaman dan ia tidak membabitkan atau boleh menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” ujarnya.

Difahamkan, selama ini dalam syarat perlesenan yang dikeluarkan oleh kementerian terbabit tidak menyatakan nisbah penyiaran lagu-lagu artis tempatan, sebaliknya, ia lebih banyak menjurus soal kuota penggunaan Bahasa Melayu dalam waktu siaran dalam rancangan siarannya.

Salah seorang ahli Karyawan yang juga komposer terkenal, Johari Teh tidak menafikan fenomena yang timbul itu merupakan suatu cabaran dan persaingan global yang sukar untuk disekat selain cita rasa pendengar yang semakin berubah termasuk di negara ini.

Justeru, beliau mencadangkan lagu-lagu artis luar negara yang telah disiarkan di stesen-stesen radio tempatan dikenakan levi termasuklah jika mereka mengadakan persembahan di negara ini pada masa depan.

“Ini suatu persaingan global. Kalau kita tidak benarkan penyiaran lagu-lagu artis Indonesia di radio-radio atau mereka tidak boleh mengadakan konsert di negara ini nanti jadi isu lain pula. Kita pun tidak mahu berseteru dengan stesen-stesen radio dan TV.

“Kalau boleh kita kena berjumpa menteri, panggil wakil syarikat-syarikat telekomunikasi, TV dan radio supaya ditubuhkan suatu majlis yang dapat mengawal fenomena yang semakin tidak sihat ini,” katanya pada sesi diskusi mesyuarat itu.

Selain kurangnya penyiaran lagu-lagu artis tempatan di stesen-stesen radio, antara lain punca jualan album dan kadar rendah bayaran artis mengadakan persembahan kerana terdapatnya banyak konsert percuma diadakan oleh pelbagai pihak termasuklah syarikat korporat dan stesen-stesen TV.

Anggota kumpulan V.E., Damien mencadangkan agar pihak-pihak terbabit dapat mengawal penganjuran konsert-konsert percuma yang semakin banyak diadakan di mana ia boleh menjejaskan penganjuran konsert berbayar.

“Bagi saya, konsert percuma ‘tidak sihat’ untuk para penyanyi kita kerana ia boleh menjatuhkan jumlah bayaran dan nilai mereka dalam industri muzik

“Adalah tidak adil kalau artis tempatan hanya disuruh tampil untuk mengadakan persembahan percuma tetapi konsert artis-artis luar dikenakan bayaran,” komennya.

Dalam pada itu, ada juga ahli Karyawan seperti komposer Roslan Mamat yang mempersoalkan peranan Tan Sri Jins Shamsudin sebagai Senator di Dewan Negara yang mewakili industri hiburan di negara ini.

“Di sini saya mahu bertanya, apakah peranan Jins Shamsudin di Parlimen? Mengapa kita tidak mahu gunakan peranan beliau itu?” soal Roslan.

Kemudiannya, secara spontan terdengar suara-suara sumbang ahli Karyawan yang menyampuk: “Dia (Jins Shamsudin) lebih mengutamakan industri perfileman, sedangkan industri dia tidak ada kena mengena dengan industri muzik."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan