Halaman

Jumaat, Julai 04, 2008

Misi terbesar Karyawan

petikan Utusan Malaysia 4 Julai 2008
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my


M. NASIR (tiga dari kiri) merupakan antara muka baru yang diserapkan sebagai Ahli Jawatankuasa Karyawan yang baru. Gambar ABY BAIZURA HARUN

TIDAK dinafikan, majoriti penyanyi serta pemuzik yang mengadakan persembahan di hotel-hotel dan kelab-kelab malam di negara ini merupakan warga asing, terutamanya dari Filipina.

Dominasi yang bermula sejak awal tahun 1970-an itu sedikit sebanyak telah menganggu periuk nasi para penyanyi dan pemuzik tempatan di mana mereka juga tidak kurang hebat daripada segi bakat dan penampilan diri.

Malah, keadaan itu semakin mendukacitakan apabila pihak hotel dan kelab malam pula dikatakan lebih mengutamakan para penyanyi serta pemuzik dari luar negara menyebabkan ramai artis tanah air yang terasa terpinggir.

Menyedari fenomena yang kurang sihat itu, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berazam untuk membela kepentingan dan bakat para penyanyi serta pemuzik tempatan supaya mereka juga mendapat peluang yang sama.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, pembelaan terhadap para penyanyi serta pemuzik hotel dan kelab malam merupakan antara agenda penting persatuan itu dalam waktu terdekat ini.

Menurutnya, Karyawan akan bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) bagi mewujudkan kuota pengambilan penyanyi serta pemuzik tempatan di hotel-hotel dan kelab-kelab malam di negara ini pada masa depan.

“Kita (Karyawan) akan bekerjasama dengan KPKKW bagi mewujudkan suatu Program Akreditasi Artis yang akan disertai oleh artis-artis kita dalam masa kira-kira 10 hingga 15 hari.

“KPKKW dan Karyawan mungkin boleh mengeluarkan sijil khas kepada para peserta yang tamat menjalani kursus meliputi soal penampilan diri, komunikasi dan sebagainya.

“Mereka (penyanyi dan pemuzik) boleh menunjukkan sijil yang telah dikeluarkan itu sebelum mereka memohon untuk mengadakan persembahan di hotel atau kelab malam,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan Karyawan kali yang kesembilan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada Mesyuarat Agung itu, Freddie mengekalkan kerusi Presiden persatuan tersebut dengan menang tanpa bertanding untuk sesi 2008 hingga 2011.

Jelas Freddie, Karyawan dan KPKKW antara lain turut bersetuju supaya kuota pengambilan penyanyi dan pemuzik tempatan ditetapkan sebanyak 70 peratus, manakala 30 peratus lagi adalah untuk artis-artis dari luar negara.

Katanya, perbincangan yang melibatkan soal penguatkuasaan dan undang-undang itu kini sedang dalam perbincangan akhir dan beliau berharap ia akan dapat direalisasikan dalam tempoh waktu terdekat ini.

“Kita harap pihak hotel dan kelab malam mematuhi peraturan yang akan dikuatkuasakan tidak lama lagi. Kalau mereka tidak mematuhi peraturan itu kelak tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan ke atas mereka,” ujarnya.

Ketika pertemuan itu, Freddie telah mengumumkan Radhi Khalid sebagai Timbalan Presiden Karyawan yang baru, Datuk Paduka Julie Sudiro (Setiausaha Agung) dan Mazin Siraj (Bendahari).

Pada masa sama, beliau turut memperkenalkan 10 Ahli Jawatankuasa baru yang mewakili biro-biro Karyawan yang dilantik berdasarkan pemilihan daripada hampir 100 ahlinya yang hadir pada mesyuarat tersebut.

Empat daripadanya merupakan biro yang baru ditubuhkan di mana Dayang Nurfaizah mewakili Biro Artis Muda, M. Nasir (Biro Komposer), Yantzen (Biro Sukan) dan Khairil Khamis (Biro Pelakon).

Sementara Datuk Sarimah Ahmad mewakili Biro Veteran, Salwa Abdul Rahman (Biro Penyanyi), Raihan Sulaiman Palestine (Biro Kebudayaan), Satiman (Biro Pemuzik Kelab), Nooramin (Biro Deejay) dan Nazrey (Biro Nasyid).

Jelas Freddie, Biro Nasyid ditubuhkan sesuai dengan peranannya yang lebih luas terutamanya membabitkan soal-soal keagamaan dan bukan sekadar hiburan semata-mata.

“Kita bukannya tidak mahu tubuhkan biro muzik-muzik lain tetapi muzik nasyid ini lain sedikit daripada segi objektifnya kerana ia membawa mesej-mesej tertentu.

“Sebagai contohnya, Nazrey bukan setakat mengendalikan artis-artis nasyid tetapi beliau juga akan menguruskan hal-hal yang berkaitan keagamaan di mana ia telahpun ditubuhkan sejak beberapa tahun lalu. Mungkin muzik-muzik lain boleh digabungkan dalam satu biro yang lain,” katanya.

Sebagai sebuah persatuan yang telus, Freddie menjelaskan tabung Karyawan kini berjumlah RM176,000 di mana pelbagai usaha akan dilakukan pada masa depan bagi menambah dana persatuan tersebut.

Tambahnya lagi, dana itu akan terus digunakan bagi membantu artis-artis yang kurang bernasib baik termasuklah pemberian pencen bulanan berjumlah RM500 setiap seorang kepada lebih 10 artis veteran sejak beberapa tahun lalu.

“Selain itu, fokus kami ialah soal kebajikan dan ekonomi ahli-ahli persatuan ini. Misalnya, bagaimana untuk mencari peluang kerja untuk mereka terutamanya artis-artis veteran.

“Dalam hal ini, Karyawan sentiasa membantu artis-artis veteran contohnya, kalau dalam sebuah persembahan yang kami anjurkan tiga daripada sepuluh orang artis yang mengadakan persembahan merupakan artis veteran,” ujarnya lagi yang berjaya menambah 200 keahlian baru Karyawan baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan