Halaman

Jumaat, Februari 01, 2008

‘Saya bagai patah sayap’

petikan Harian Metro 1 Februari 2008
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

KALANGAN rakan seperjuangan Rosli Khamis, 50, atau Loloq menganggap kematiannya bukan saja kehilangan besar di persada seni tanah air, bahkan hilang tempat ketawa riang sesama mereka.

Kesedihan serta terkilan lebih dirasai mereka apabila mengenangkan masing-masing tidak berpeluang berada di sisi Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir.

Loloq disahkan meninggal dunia pada jam 1.37 petang kelmarin di sisi isterinya, Hariah Yaacob di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur akibat pendarahan otak.

Salah seorang rakan paling rapat Allahyarham, Muhammad Nasir Mohd atau M Nasir meluahkan rasa terkilan apabila tidak sempat berada di sisi Loloq sewaktu dia meninggal dunia.

Ketika ditemui di hospital bagi menguruskan jenazah, M Nasir yang menitiskan air mata kerana sedih berkata, pemergian Loloq jelas kehilangan besar buat dirinya secara peribadi.

“Saya ada ramai kawan tetapi tidak ada satu pun yang dapat menandingi atau menyamai kesetiaan ditunjukkan Allahyarham pada saya dalam persahabatan.

“Kami mula berkenalan pada awal 80-an menerusi seorang lagi teman. Waktu itu dia berminat untuk menghasilkan lirik lagu dan saya memberikannya peluang mencuba.

“Sejak itu kami rapat dan selalu menjalin kerjasama sehinggalah dia menyertai produksi yang saya tubuhkan, Luncai Emas Sdn Bhd sebagai penulis lirik secara eksklusif.

“Saya terkilan kerana tidak dapat menghabiskan banyak masa dengannya di saat akhir. Kali terakhir kami bertemu tiga minggu lalu tetapi waktu itu dia tidak menunjukkan apa-apa tanda,” katanya.

Pemergian Loloq juga menyebabkan pelbagai perkara membabitkan bisnes yang mahu dilakukan M Nasir tertangguh. Ketiadaan Loloq bagi M Nasir seperti patah salah satu sayapnya di bidang seni.

“Saya menganggap Loloq sebagai lambang kepada satu perjalanan, pemikiran juga hidup dan kebanyakan karya dihasilkan mempunyai roh untuk kita menghayati dengan emosi sendiri,” katanya.

Penyanyi Mohd Shukri Shahbudin atau Hattan pula antara orang paling awal menziarahi jenazah di hospital jelas tidak dapat menahan sebaknya kerana sedih tidak berpeluang bertemu Allahyarham.

Sebaik dilaporkan Loloq terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Damansara, Ahad lalu, Hattan antara teman yang datang setiap hari menziarahi Allahyarham.

“Saya menghormati permintaan isterinya yang tidak mahu pihak luar datang melawat dan mengganggu arwah menjalani rawatan. Bagaimanapun, apa salahnya diberikan kelonggaran kepada kawan rapat.

“Bukan sehari dua saya kenal Loloq. Kami berkawan sejak hari pertama saya menceburi bidang nyanyian. Malah lagu pertama nyanyian saya, Berikan Norbisa liriknya ditulis Loloq sendiri.

“Katakan diberi peluang walaupun seminit bertemu Allahyarham, ingin bisikkan sesuatu ke telinganya. Sekurang-kurangnya dapatlah saya memohon maaf atas segala salah silap saya,” katanya.

Penyanyi Amy Search pula berkata, dia mengenali Loloq hampir 20 tahun. Malah arwah juga banyak menyumbang kejayaan dengan menghasilkan lirik menarik sepanjang kerjaya Amy sebagai penyanyi.

“Saya berkenalan dengan Loloq menerusi M Nasir dan pernah bersama-sama ‘lepak’ di Chow Kit. Pada saya, arwah mempunyai pemikiran tinggi hingga membolehkannya menghasilkan karya yang bagus,” katanya.

Pengarah filem, Mamat Khalid yang pertama kali bekerja dengan Loloq pada 1996 untuk sitcom Spanar Jaya mendedahkan, penyakit misteri yang dideritai arwah sudah lama dihidapi sejak sebulan lalu.

“Dia memberitahu penyakitnya tetapi atas permintaan keluarga, ia terpaksa dirahsiakan. Begitupun kerana komited kepada kerja, dia memastikan sakit dialami tidak mengganggu tumpuan.

“Dalam tempoh sebulan itu, dia sering berulang-alik ke hospital tetapi agak menghairankan saya difahamkan doktor tidak dapat mengesan puncanya.

“Kebelakangan ini pula, dia selalu mengeluh penyakitnya itu kembali menyerang. Dia berasa seperti matanya dicucuk jarum tajam dan sendi di seluruh badan pedih dan kejang,” katanya.

Sepanjang bekerjasama, Loloq sudah membintangi empat filem arahan Mamat antaranya Lang Buana, Man Laksa dan Zombie Kampung Pisang.


petikan Berita Harian 1 Februari 2008
Rakan ralat tak sempat bertemu
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Peraturan ketat ICU halang hasrat mereka ziarah Loloq di saat akhir

RATA-rata rakan penulis lirik terkemuka Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq, 50, yang meninggal dunia Selasa lalu, di Hospital Pakar Damansara terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan arwah di saat akhir.

Kebanyakan mereka hanya mengetahui berita tergempar mengenai keadaan kesihatan arwah yang semakin kritikal Isnin lalu. Ramai yang bergegas untuk menziarah arwah yang ketika itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Namun malangnya mereka tidak dibenarkan masuk kerana peraturan ketat yang ditetapkan ahli keluarga Allahyarham. Hanya ahli keluarga dan mereka yang tersenarai namanya saja dibenarkan untuk melihat arwah.

Biarpun mengetahui syarat ketat yang ditetapkan ahli keluarga Allahyarham, rakan-rakannya tidak berputus asa malah tetap datang untuk menziarah Loloq walaupun akhirnya mereka terpaksa pulang dengan kehampaan.

Hanya kata-kata ucapan yang dapat dititipkan pada Loloq yang ketika itu bertarung akibat pendarahan otak. Rakan artis yang sempat mencoretkan kata-kata semangat antaranya Aris Ariwatan, Mamat Khalid, Joe Wings, Johan Nawawi, Aidit Alfian, Johari Teh dan beberapa teman lain.

Antara kata-kata semangat yang cuba ditiupkan walau tidak dapat bersua mereka seperti ‘Loq cepat sembuh!’, ‘Loq cepat, aku nak masuk studio rakaman’ dan banyak lagi kata-kata dengan harapan penulis lirik dan juga pelakon itu akan cepat sembuh tetapi doa mereka tidak kesampaian kerana Tuhan lebih menyayanginya.

Sahabat baik Allahyarham, M Nasir, satu-satunya artis yang mendapat kepercayaan daripada ahli keluarga Loloq berkata, pemergian Loloq adalah satu kehilangan besar buat dirinya.

Sebagai orang yang bertanggungjawab membawa Loloq ke dunia seni, kehilangan Loloq begitu dirasai. Malah, M Nasir tidak dapat menahan air matanya daripada berlinangan ketika dikerumuni media.

“Saya ada ramai kawan tetapi tidak ada yang istimewa sepertinya. Saya terkilan kerana tidak dapat menghabiskan masa dengannya. Kali terakhir saya bertemu dengan Loloq kira-kira tiga minggu lalu.

“Kami ada beberapa rancangan yang ingin dibuat bersama. Banyak benda yang tertangguh, jadi dia kata pada saya, dia tidak sakit lagi dan mahu meneruskan kerja kami. Tapi keesokannya saya sudah tidak bertemu dengan dia lagi.

“Dia adalah perjalanan, pemikiran dan hidup. Lagu yang dihasilkannya mempunyai roh dan dia adalah sebahagian daripada itu,” kata penyanyi itu.

Loloq menyertai syarikat rakaman Luncai Emas milik Nasir sejak tahun 1990 sebagai penulis lirik eksekutif.

Sementara itu, Amy Search melahirkan rasa terkilan kerana tidak berpeluang untuk bertemu langsung dengan Allahyarham.

“Saya berasa sangat sedih dan ralat kerana tidak dapat bertemu dengan arwah di saat akhirnya. Saya tidak mahu lama, cukuplah diberikan saya satu minit untuk saya membisikkan sesuatu ke telinganya,” kata Amy yang mengenali Loloq lebih 20 tahun yang lalu.

Loloq yang juga banyak menyumbangkan lirik lagu untuk Search disifatkan sebagai seorang yang dedikasi. Allahyarham gemar membaca dan sering tampil dengan pelbagai perkataan baru.

Selain terkilan kerana tidak dapat bertemu arwah, Amy Search juga terkilan kerana hasrat mereka untuk menunaikan umrah bersama tidak tercapai. Bagaimanapun, Amy gembira kerana arwah sempat menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah baru-baru ini setelah mendengar cerita daripadanya mengenai keindahan dan nikmat yang dikecapi tatkala menunaikan umrah.

Seorang lagi sahabat Allahyarham, Hattan juga terkilan kerana tidak dibenarkan masuk melihat arwah di ICU. Hattan yang tidak dapat menahan tangisan berkata, dia mengesyaki perubahan pelik pada arwah apabila dia pergi menunaikan umrah.

“Perubahan yang nyata, dia pergi umrah. Loloq seorang yang sangat unik, dia juga seorang penasihat. Arwah orang pertama yang tahu muzik kita akan kiamat dan dia sangat kecewa dengan industri kita.

“Saya masih ingat, dia pernah bawa saya berjalan kaki di Singapura. Paling tidak boleh lupa, arwah bagi duit pada kawan-kawan apabila dia dapat duit banyak,” kata Hattan yang tidak dapat menahan linangan air matanya

Pengarah yang banyak bekerjasama dengan Loloq, Mamat Khalid berkata, dia terkilan kerana isteri Allahyarham terlalu berahsia. Bagaimanapun, dia menghormati pendirian isteri Loloq yang memerlukan privasi.

Menurut Mamat Khalid, dia mengetahui kesihatan Loloq terganggu sejak sebulan yang lalu. Katanya, penulis lirik dan pelakon itu mengadu mengenai matanya yang terasa seperti dicucuk-cucuk serta sendinya yang tidak boleh bergerak.

“Pertama kali dia dimasukkan ke hospital bulan lalu. Kata Allahyarham, doktor tidak tahu apa punca penyakitnya walaupun sudah menjalani pemeriksaan. Tetapi dia meminta kami supaya merahsiakan mengenai penyakitnya itu dan kami menghormatinya. Bagaimanapun saya tidak sangka akan jadi begini.

“Selama ini, orang hanya tahu dia sebagai seorang penulis lirik tetapi orang tidak tahu yang dia sebenarnya boleh berlakon. Dialah antara orang yang memberi perangsang kepada saya supaya buat filem. Ketika itu hati saya berbelah bahagi tetapi dia berjaya meyakinkan dan dia menawarkan diri untuk berlakon dalam filem pertama saya Lang Buana pad 2002,” kata Mamat.

Pengarah filem, Bade Azmi pula berpeluang menyelinap masuk ke bilik arwah. Dia yang mengetahui mengenai penyakit arwah pada hari Isnin berkata, dia hanya berkesempatan meluangkan masa selama beberapa minit dan memberi salam kepada arwah.


petikan Utusan Malaysia 1 Februari 2008
Sukar mencari pengganti Loloq

PETANG kelmarin industri muzik tempatan kehilangan seorang penulis lirik dengan kembalinya Loloq ke rahmatullah kerana mengalami pendarahan otak.

Sejak lebih sedekad lalu, Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis, 50, berjaya menempatkan namanya sebagai penulis lirik nombor satu tanah air.

Kejayaan karyawan kelahiran Singapura itu dapat diukur melalui pencapaiannya sebagai ahli Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik (MACP) sejak sedekad kebelakangan ini.

Menurut Pengerusi MACP, Habsah Hassan, 58, Loloq boleh dikatakan sebagai penulis lirik tempatan yang paling berjaya dalam badan itu setakat ini.

“Setakat ini Loloq merupakan satu-satunya ahli MACP iaitu sebagai penulis lirik yang menerima bayaran royalti paling tinggi selama lima tahun berturut-turut.

“Malah, Loloq juga merupakan antara penulis lirik lagu yang paling aktif setakat ini yang mana beliau telah menulis lebih 600 lirik,” katanya ketika ditemui sewaktu melawat jenazah Allahyarham di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

Kenyataan Habsah itu turut disokong oleh Pengurus Hakcipta syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd., Jennifah Johari, 39, yang menyifatkan Loloq sebagai penulis lirik tempatan paling aktif sejak 10 tahun lalu.

Jelasnya keaktifan dan daya kreativiti Loloq menyebabkan Luncai Emas Sdn. Bhd. yang dimiliki M. Nasir itu melantik Allahyarham sebagai penulis lirik eksklusif di syarikat rakaman tersebut.

“Kami telah melantik Loloq sebagai penulis lirik eksklusif di Luncai Emas Sdn. Bhd. sejak 1990 sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Kami mudah bekerjasama dengan Loloq bukan sahaja kerana daya kreativiti yang dimilikinya tetapi juga disebabkan keserasian antara kami dengannya,” ujar Jennifah.

Progresif

Loloq bukan sahaja berjaya menempatkan namanya sebagai penulis lirik alaf ini yang progresif dalam mengetengahkan pelbagai warna mesej dalam karya-karya tulisannya.

Sebaliknya, pada 8 November 2005 menerusi akhbar Utusan Malaysia, bapa kepada tiga anak perempuan ini pernah menyatakan harapannya agar penulis lirik sepertinya sewajarnya mendapat pengiktirafan daripada industri muzik tanahair.

Ini kerana, Loloq sanggup berhijrah dari Johor ke Kuala Lumpur pada awal tahun 1980-an semata-mata kerana mahu mencipta nama dan memperkembangkan bakatnya sebagai penulis lirik lagu.

Vokalis kumpulan rock Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy, 50, tidak dapat melupakan pertemuan pertamanya dengan Loloq di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada awal tahun 1980-an.

“Ketika itu saya dan M. Nasir sedang menaiki sebuah van di Jalan Chow Kit. Itulah kali pertama saya bertemu dan berkenalan dengan Loloq.

“Kami kebetulan baru datang ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru kerana mahu mencuba nasib sebagai anak seni,” kata Amy mengimbau perkenalannya dengan penulis lirik terkenal itu.

Jelas Amy, saat itu Loloq bukan sahaja baru hendak bertapak sebagai penulis lirik tetapi Search juga ketika itu belum melahirkan sebarang album dan hanya bermain muzik di kelab-kelab malam di sekitar Kuala Lumpur.

Bakat Loloq mula terserlah apabila satu demi satu lirik ciptaannya berjaya disatukan menjadi lagu yang sempurna. Antara lirik terawal ciptaan Loloq berjudul Bisikan Nurani nyanyian Roy pada awal tahun 1990-an.

“Bagi saya, Loloq antara penulis lirik yang banyak menyumbangkan karyanya dalam album album Search. Antaranya lirik berjudul Gothik Malam Edan dan Diari Habil & Qabil,” ujarnya.

Bukan setakat artis-artis era tahun 1990-an tetapi ramai juga penyanyi baru termasuklah Misha Omar yang berkesempatan menyanyikan lirik lagu ciptaan Loloq.

Kata Misha, dia berasa terharu kerana berpeluang menyanyikan lirik ciptaan Loloq berjudul Cinta Adam Dan Hawa yang akan dimuatkan menerusi album terbarunya kelak.

Apatah lagi kata penyanyi berasal dari Kelantan ini lagu itu dicipta oleh Loloq sekembalinya beliau dari mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah pada Ogos tahun lalu.

“Arwah pernah beritahu saya bahawa dia mendapat ilham mencipta lirik itu ketika berada di Mekah. Malah, ketika merakamkan lagu itu di Studio Wake The Baby milik Ajai, arwah berada di sisi saya. Kenangan itu benar-benar meninggalkan kesan di hati saya.

“Saya bangga kerana dapat menyanyikan lirik lagu itu yang bagi saya dalam maksudnya. Itu tidak menghairankan saya kerana apa yang saya tahu arwah memang seorang yang amat mementingkan soal bahasa,” katanya.

Meningkat naik

Loloq bukan setakat dikenali sebagai penulis lirik tetapi juga penulis skrip filem dan Aduh Saliha merupakan skrip tulisannya yang pertama.

Selain itu, Allahyarham juga tidak ketinggalan mempamerkan bakatnya sebagai pelakon filem dan drama televisyen yang semakin meningkat naik kebelakangan ini.

Bakat Loloq itu diakui sendiri oleh pengarah Mamat Khalid yang tidak ketinggalan menjemput Allahyarham berlakon dalam filem-filem arahannya.

“Setakat ini, boleh dikatakan semua filem arahan saya ada menampilkan lakonan Loloq seperti filem Lang Buana, Man Laksa, Rock dan Zombie Kampung Pisang.

“Hanya filem Kala Malam Bulan Mengambang sahaja saya tidak sempat memberi peluang berlakon kerana watak tauke hotel yang sepatutnya dilakonkan Loloq telah diberikan kepada David Teo,” ujarnya.

Penyanyi Hattan yang pernah menyanyikan banyak lirik ciptaan Loloq tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir ketika diminta mengulas tentang keakrabannya dengan Allahyarham.

“Saya memang rapat dengan Loloq kerana arwah sudah pun mula memberi saya lirik lagu sejak album solo pertama saya diterbitkan pada awal tahun 1990-an.

“Antara lirik lagu Loloq yang popular pernah saya nyanyikan berjudul Berikan Nurbisa yang dipetik daripada album Hitam Bukan Impian,” katanya.

Sememangnya pemergian Loloq ke rahmatullah merupakan suatu kehilangan yang sukar dicari ganti apatah lagi industri hiburan tempatan seakan-akan kekurangan insan yang amat kreatif seperti beliau.

Komposer terkemuka Ramli M.S. menyifatkan pemergian Loloq itu sukar untuk dicari ganti dalam waktu yang terdekat ini.

“Pada pendapat saya, kita tidak boleh tanam pokok dan mengharapkan ia akan tumbuh pada esok hari. Begitulah yang berlaku pada Loloq. Bagi saya, kita perlu ambil masa yang agak lama untuk melihat kemunculan seorang lagi penulis lirik seperti Loloq,” komennya.

3 ulasan:

  1. Saya nak maklumkan yang petikan Utusan Malaysia 1 Februari 2008
    "Sukar mencari pengganti Loloq" tu ada salah fakta. Arwah sebenarnya ada dua anak lelaki dan seorang anak perempuan la...., bukannya tiga anak perempuan seperti tertulis dalam artikel itu.

    Takziah buat keluarga Allahyarham.
    Moga sifu tabah menghadapi dugaan ini.

    BalasPadam
  2. Seorang seniman harus dihargai kerana seniman satu-satunya insan yang merawati duka lara kita dengan bakat yang dianugerahkan tuhan.

    BalasPadam
  3. Allahyarham Loloq adalah seorang tokoh yang paling perfect di mata saya. Beliau merupakan penulis lirik yang paling dikagumi.

    BalasPadam