Halaman

Selasa, Disember 18, 2007

Trio Mawi, M.Nasir dan Jamal 'menjadi'

petikan Mstar 18 Disember 2007
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

GANDINGAN mantap tiga penyanyi popular tanah air, Asmawi Ani atau Mawi, M.Nasir dan Jamal Abdillah dalam Malam 1001 Gemilang yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam Ahad lalu memang 'menjadi'.

Kebanyakan penonton yang menonton persembahan trio ini berpuas hati apabila melihat reaksi mereka yang terhibur dan bersorak riang lebih-lebih lagi aksi M.Nasir yang mengajak penonton menari bersamanya ketika mengalunkan lagu Raikan Cinta.

Juara Akademi Fantasia 3 Mawi tidak ketinggalan memberi gelekan 'mesra' yang membuatkan penonton berasa lucu melihat persembahannya ketika menyampaikan lagu rancak seperti Gadis Melayu bersama Jamal dan Lagu Jiwa Lagu Cinta bersama M.Nasir.

Mawi menunjukkan bakat bergelek ketika mendendangkan lagu Gadis Melayu (Foto The Star oleh Azman Ghani)

Namun, persembahan Jamal boleh dikatakan paling 'menyengat' kerana lagu-lagu yang disampaikan bukanlah lagu kegemarannya yang biasa dinyanyikan dalam mana-mana persembahan sebelum ini.

Setiap kali beliau yang mendapat gelaran 'suara' oleh M.Nasir ini membuka mulutnya, pasti semua terpukau dan meremang bulu roma saat mendengarkan lagu-lagu seperti Seroja, Kekasih Awal dan Akhir, Keluhan Perantau, Berkorban Apa Saja ciptaan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Jeritan Batinku.

Persembahan majlis yang dihoskan oleh Aidiel Abdul Ghaffar itu dimulakan dengan alunan selawat oleh Mohd Muaz yang juga graduan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) bagi memberkati majlis.

Walaupun kurang dikenali, namun suaranya boleh dikatakan menyedapkan halwa telinga melalui nyanyian lagu Kasih Sejarah Dua Hati menggunakan dwibahasa Arab dan Melayu, lagu tentang pembela anak yatim, seterusnya lagu Khalifah Merdeka diikuti dengan lagu Amrullah yang mengisarkan perjuangan orang-orang di Palestin dan lagu untuk kaum ibu berjudul Hawa.

Gandingan trio Mawi, Jamal dan M.Nasir mampu membuatkan keadaan hiruk-pikuk dengan sorakan penonton

Majlis yang bermula pada jam 8.30 malam itu tidak lengkap sekiranya tiada cabutan bertuah di mana pemenang mendapat hadiah percutian ke Langkawi.

Tiba-tiba lampu dimalapkan dan penonton bagaikan mengerti penyanyi kegemaran mereka bakal beraksi selepas ini.

Selepas Mawi dan Jamal muncul di pentas utama yang berlatarkan warna ungu gelap dan putih menepati tema majlis, sorakan bergema lantaran iringan muzik lagu Kepadamu Kekasih dimainkan orkestra yang diketuai oleh pemuzik terkenal Edrie Hashim.

Tatkala Mawi dan idolanya berpadu suara menyampaikan lagu nyanyian asal Hattan ini, Sifu M.Nasir muncul di pentas lalu menyambung bait-bait lirik lagu tersebut maka semakin gamatlah sorakan penonton seakan 'berpesta'.

Ketiga-tiga trio yang memakai sut berwarna ungu gelap itu berjaya mendendangkan lagu itu bersama yang tiada cela seiring dengan suara mereka yang hebat dan sukar dibandingkan.

M.Nasir mengajak penonton menari semasa menyampaikan lagu Raikan Cinta

Seterusnya, kedua 'otai' Jamal dan M.Nasir meninggalkan Mawi di pentas bagi menyampaikan lagu Ya Salam serta Angan dan Sedar.

Vokal Mawi memang hebat tetapi dirasa bagaikan konsisten seperti persembahan yang pernah dilakukan sebelum ini, jadi tiada luar biasa lagi apabila mendengar suaranya itu.

Walaubagaimanapun, Mawi tetap melakukan yang terbaik bagi dirinya dan peminat kesayangan memang selalu teruja dengan setiap kemunculan penyanyi bersuara 'jantan' ini tanpa mengendahkan 'cacat cela' yang dilakukan.

Selepas Mawi menyanyikan dua buah lagu dalam album Doa, Berzanji dan Qasidah serta Satu Dalam Seribu, Jamal mengambil alih tempatnya dengan nyanyian dua buah lagu iaitu Samrah Mentari dan Seroja.

Mereka ibarat melakukan persembahan secara bergilir-gilir agar penonton tidak bosan tertumpu pada seorang artis sahaja kerana selepas Jamal beraksi, Mawi kembali mengambil tempat dengan mendendangkan lagu Aduh Saliha dan Cinta Zulaikha bersama iringan tiga orang penyanyi latar.

Vokal Jamal dalam lagu Jeritan Batinku membuatkan penonton terpaku akan kehebatannya

Penonton yang lebih puas menonton di dua buah skrin besar yang terletak di penjuru kiri dan kanan pentas selepas itu dihiburkan dengan vokal Jamal yang lantang melalui lagu Kekasih Awal dan Akhir, Keluhan Perantau, Berkorban Apa Saja serta Jeritan Batinku yang lebih memberikan nafas baru dan segar daripadanya serta membuatkan penonton terpaku mendengarnya.

Jika sebelum itu lagu Jeritan Batinku agak slow dan mendayu-dayu, persembahan kemudiannya dihangatkan dengan lagu rancak Terharu dan Gadis Melayu.

Mawi yang sudah bertukar sut putih kembali ke pentas untuk berduet lagu Terharu bersama Jamal yang sebelum itu memang sudah diagak oleh seorang penonton lantas dijeritnya nama lagu tersebut.

Selepas satu jam masa berlalu, barulah majlis menjadi gemilang dan penonton semakin seronok dan tidak sabar menanti bilakah M.Nasir akan muncul kembali.

Sebelum bunyian alat muzik dialunkan, Jamal berkata beliau ingin rehat namun 'didera' dan sampai hati Mawi mengenakannya.

Penonton akhirnya dapat melihat aksi M.Nasir kembali melalui lagu Ghazal Untuk Rabiah bersama Jamal.

M.Nasir turut menari dalam Lagu Jiwa Lagu Cinta bersama Mawi

Selepas itu, ketawa daripada penonton menggamatkan suasana apabila M.Nasir membuat lawak dengan berseloroh "Dari kecil saya tengok Jamal dan tidak tahu siapa yang lebih muda" dan bercakap tentang siapakah lelaki sejati antara mereka bertiga.

Bagi peminat lagu irama keroncong, mereka berkesempatan mendengar lagu Keroncong Untuk Ana yang juga mendapat tepukan peminat yang disampaikan secara medley oleh M.Nasir.

Selain Keroncong Untuk Ana, M.Nasir turut mengajak penonton menyanyikan lagu Mustika bersama-samanya tetapi disebabkan perkataan 'Mustika' kurang kedengaran, M.Nasir berkata penonton tidak mengekpresi kegembiraan mereka.

Majlis yang dianjurkan oleh Sutra D'Mega Event & Entertainment Sdn. Bhd. itu semakin dihangatkan dengan lagu Raikan Cinta oleh M.Nasir yang mengajak penonton tidak kira tua atau muda menari.

Akhirnya, M.Nasir berjaya menarik ramai penonton bergembira sambil berdiri dan berjoget serta bertepuk tangan.

Persembahan trio pada permulaan persembahan mereka dan di pengakhiran memang menyengat dan mantap

Kehadiran M.Nasir di atas pentas memang menghiburkan dengan lawak 'antarabangsa' yang kadangkala tidak difahami motifnya dan mungkin sekadar berlawak.

Pada mulanya beliau mengatakan lagu seterusnya adalah lagu yang popular buat sementara waktu kerana dinyanyikan oleh 'budak AF' dan selepas itu lawak beliau menjadi-jadi dengan mengatakan ingin menyanyikan lagu Lelaki Ini sedangkan lagu yang sebenarnya adalah Lagu Jiwa Lagu Cinta bersama Mawi.

Selepas nyanyian pasangan duet ini berakhir, penonton bersorak dengan mengatakan Mawi semput dan Mawi membalas "Badan dah naik."

Jika di awal persembahan dimulakan dengan gandingan tiga trio maka akhirannya juga menampilkan trio tersebut di mana lagu ke 20 yang dipersembahkan adalah lagu Mentera Semerah Padi dan penonton sekali lagi diajak menyanyikan korus lagu asal nyanyian M.Nasir itu sehingga bergema.

Secara keseluruhannya lagu-lagu yang disampaikan pada hujung-hujung persembahan semakin mendapat perhatian dan sorakan penonton.

Sebelum majlis yang diketahui bertujuan untuk beramal itu berakhir tepat pada jam 11 malam, cek disampaikan kepada Yayasan Bakti Malaysia dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Abdul Hakim Borhan sebanyak RM8 ribu setiap satu.


tambahan petikan dari Utusan Malaysia 19 Disember 2007

Persembahan mantap tiga penyanyi bersuara jantan
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

MALAM 1001 Gemilang yang bertemakan irama Arab Nusantara anjuran Sutra D’Mega Event & Entertainment Sdn. Bhd., yang menggabungkan tiga penyanyi lelaki popular negara iaitu Jamal Abdillah, M.Nasir dan Mawi selamat melabuhkan tirainya malam Ahad lalu.

Ternyata impian peminat ketiga-tiga penyanyi ‘pujaan Malaya’ ini untuk melihat mereka berkongsi pentas nyata dimakbulkan apabila persembahan makan malam yang berlangsung selama dua jam berjaya memikat hati mereka yang hadir pada malam itu.

Apatah lagi, dengan penjualan meja yang bernilai RM10,000, RM5,000 dan RM3,000 serta tiket individu yang bernilai RM300 semuanya dipenuhi dengan mereka yang ternyata memuja kemantapan vokal jantan tiga penyanyi popular ini.

Selain berhibur, mereka turut melakukan kerja amal dengan pembelian meja tersebut apabila sebahagian hasilnya disalurkan ke Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKKM).

Tepat pukul 9 malam, sebaik sahaja kelibat Raja SMS (Mawi), Raja Pop (Jamal Abdillah) dan Sifu (M.Nasir) kelihatan di atas pentas, pekikan penonton dan peminat sudah tidak dapat dielakkan lagi.

Memulakan persembahan dengan lagu berunsurkan ketuhanan, Kepadamu Kekasih, ternyata lontaran vokal mereka berjaya membuatkan dewan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu senyap sunyi.

Ditambah pula dengan iringan pemuzik profesional dan orkestra serta susunan muzik oleh Edrie Hashim yang juga bertindak sebagai pengarah muzik pada malam itu, menjadikan lagu Kepadamu Kekasih begitu indah dan meresap ke jiwa setiap penonton.

Mawi meneruskan persembahan solonya dengan lagu Ya Salam dan lagu yang berjaya ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu Ke-22, Angan dan Sedar, membuatkan peminat fanatiknya terus berteriak menyeru namanya. Sementelah, dia juga mempamerkan skil tarian saat mendendangkan lagu Aduh Saliha dan lagu popularnya masa kini, Cinta Zulaikha.

Sememangnya, Mawi sudah banyak berubah dan dia dilihat semakin yakin dengan persembahannya. Persembahan vokalnya juga menunjukkan peningkatan yang ketara dan begitu juga dengan perubahan fizikalnya. Mungkin sedang enak dibuai cinta dengan kekasihnya menjadikan Mawi kelihatan berisi.

Apabila giliran Raja Pop menakluki pentas, penonton semakin teruja apatah lagi ketika Jamal menyampaikan lagu keramatnya, Kekasih Awal dan Akhir. Ternyata vokal Jamal Abdillah sememangnya tiada tandingan dan sedikit pun tidak kedengaran suaranya sumbang terutama ketika menyampaikan bahagian yang bernada tinggi.

“Sebelum saya meneruskan persembahan seterusnya, saya mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat baik yang juga bekas isteri saya, Basariah Abdul Latiff kerana sudi hadir pada malam ini. Terima kasih Dee,” demikian kata pemenang Vokal Lelaki Terbaik AIM 1994 itu sambil disambut dengan jeritan dan tepukan gemuruh penonton sebelum menyampaikan medley Keluhan Perantau, Bunga Pujaan dan Berkorban Apa Sahaja.

Memukau penonton dengan lagu, Jeritan Batinku yang merupakan lagu wajib dinyanyikannya di setiap persembahan seolah-olah bagaikan ingin memberitahu apa yang terbuku di hatinya yang mungkin dipendamkan sekian lama.

Dewan semakin gamat apabila Raja Pop dan Raja SMS berduet menerusi lagu Terharu dan Gadis Melayu yang berjaya melonjakkan nama mereka berdua sebelum ini.

Mungkin peminat M.Nasir tertanya-tanya kemanakah dia menghilang saat hanya Jamal dan Mawi sahaja yang mendominasi pentas. Tetapi akhirnya dia muncul berduet bersama Jamal Abdillah menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah yang pernah dinobatkan sebagai Juara Lagu 1997. Ternyata gandingan mereka berdua adalah terbaik dan masih sama sebagaimana 10 tahun lalu.

Pengarah filem Aduh Saliha itu tidak menghampakan peminatnya apabila menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Keroncong Untuk Ana, Mustika dan Raikan Cinta sebelum menyampaikan lagu duetnya bersama Mawi, Lagu Jiwa Lagu Cinta.

Namun, gurauan sinis M.Nasir yang mengatakan hanya beliau, Jamal Abdillah dan Mawi sahaja merupakan spesis penyanyi jantan sejati yang ada dalam industri dilihat agak keterlaluan dan seolah-olah menidakkan bakat penyanyi lelaki lain yang ada di negara ini.

Mengakhiri persembahan, ketiga-tiga penyanyi bersuara jantan ini menyampaikan lagu yang pernah menjadi Lagu Terbaik AIM 1995, Mentera Semerah Padi. Keseluruhannya, Malam 1001 Gemilang sememangnya berjaya dan menghiburkan terutama pemilihan lagu-lagunya. Semoga selepas ini ada pihak yang akan memanjangkan persembahan ini seperti di Dewan Merdeka, PWTC, Istana Budaya ataupun Stadium Merdeka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan