petikan Mstar 13 November 2007
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
TAHUN lalu penyanyi Asmawi Ani menjayakan "Konsert Fantasia" bersama dengan idolanya penyanyi Jamal Abdillah.
Bulan Disember ini, mereka berdua bakal menjayakan konsert secara besar-besaran buat kali kedua dengan membawakan konsep Arabic Nusantara. Konsert ini turut diserikan dengan kehadiran sifu Mawi di Akademi Fantasia 3 iaitu M.Nasir.
Mawi bakal berkongsi pentas dengan M.Nasir dan Jamal dalam "Malam 1001 Gemilang" (Foto The Star oleh Azman Ghani)
Berduet dengan Jamal mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi Mawi namun apabila diberi peluang berduet dengan sifunya, mulalah pemuda berusia 26 tahun ini rasa tidak senang duduk.
"Diberi peluang menjayakan konsert dengan M.Nasir saya jadi lebih gemuruh kerana saya menganggap dia sebagai cikgu dan juri. Tapi saya berasa semakin relaks apabila berada di atas pentas dan menyanyi bersama dengannya.
"Dengan Jamal pula saya dah biasa buat show sekali sebelum ini. Minggu lepas pun kami telah menjayakan show ketika majlis rumah terbuka bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato' Seri Shahrizat.
"Namun begitu, saya tetap berasa sedikit segan," kata Mawi ketika majlis sidang media majlis makan malam bertemakan "Malam 1001 Gemilang" di Telawi Street Bistro, Kuala Lumpur.
Selain Mawi dan Jamal, antara tetamu yang hadir adalah Pengurus Urusan Sutra D'Image Karl Asmawi, Pengarah Edrie Hashim dan Alfie Zainal.
Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 16 Disember depan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula jam 8 malam hingga 10.30 malam.
Konsert anjuran Sutra D'Mega Event & Entertainment Sdn Bhd ini dijayakan sebagai satu usaha untuk memastikan seni warisan bangsa terus dipelihara dan meningkatkan martabat seni negara.
Mawi yang masih baru dalam meniti dunia seni berbanding Jamal dan M.Nasir yang lebih dulu makan garam daripadanya merasakan konsert kali ini memberi sedikit kelainan dan suatu perkara baru yang perlu ditanggung selepas ini.
"Saya belum membuat apa-apa latihan kerana belum merancang dengan pihak band. Namun saya perlu membuat lebih banyak persediaan sebab konsert ni lebih besar dari konsert sebelum ini.
"Dalam masa seminggu sebelum konsert nanti, saya akan buat latihan dengan band," ujar Mawi yang masih menunggu lampu hijau untuk memulakan pengambaran yang masih tertangguh sejak cuti Raya lalu.
Dalam konsert selama dua jam setengah itu, Mawi akan menyampaikan empat buah lagu secara solo daripada lagu-lagu yang dimuatkan dalam albumnya.
Selebihnya, anak kelahiran Johor ini akan berduet dengan M.Nasir dan Jamal melalui lagu-lagu popular seperti Lagu Jiwa Lagu Cinta, Gadis Melayu, Terharu dan Seroja.
Persembahan mereka bertiga akan diiringi oleh pemuzik-pemuzik profesional dan orkestra yang diketuai oleh pemuzik Edrie Hashim.
Program yang menghargai artis tempatan ini turut bertujuan memberi sumbangan kepada badan-badan kebajikan melalui hasil penjualan meja.
Bermula awal tahun depan, Mawi dijangka menjayakan program anjuran saluran televisyen Astro Oasis.
"Saya akan terlibat dengan projek menjelajah ke negara Islam di Asia untuk menyelami dunia Islam di sana.
"Saya menjadi hos rancangan yang mengenengahkan muzik tempatan, budaya selain melawat ke tempat-tempat bersejarah di negara tersebut," ulas Mawi yang bakal berada di luar negara selama sebulan bagi menjayakan program yang masih dalam perbincangan itu.
Blog saudara nampaknya lebih cenderung menceritakan ttg Mawi dari cerita M.Nasir sendiri. Saya rasa blog ini sudah tersasar jauh dari tujuan asalnya untuk membincangkan mengenai kerja seni M.Nasir. Sekadar pandangan ikhlas.
BalasPadamTerima kasih atas pandangan dan keprihatinan saudara Noor. Utk pengetahuan saudara, blog "Prahara Seni" ini bertujuan mengumpul sebarang petikan akhbar, majalah dsbnya yang dirasakan berkaitan dan releven dgn M.Nasir, tidak kiralah "siapa" menjadi "tajuk berita".
BalasPadamJika kita amati kebelakangan ini, banyak petikan akhbar telah menjadikan Mawi sbg tajuk berita yang mana dalam berita itu juga menerangkan "serba sedikit" perkembangan aktiviti seni M.Nasir disulami berita perkembangan Mawi. Kebetulan pula Mawi skrg banyak terlibat dgn projek yg turut melibatkan sifu seperti filem Aduh Saliha & konsert Malam 1001 Gemilang. Saya tidak nafikan situasi inilah menjadikan kita dapati blog ini seolah-olah telah hilang arah tujuan dan cenderung menceritakan kisah Mawi dari perkembangan M.Nasir.
Platfom lain untuk perbincangan mengenai hasil kerja seni M.Nasir juga masih boleh diteruskan di forum rasmi Luncai Emas.
* Saudagar Mimpi : Tgh menunggu bila M.Nasir jadi "tajuk berita" lagi?
Rasanya menunggu M.Nasir 'menjadi tajuk berita' di dada-dada akhbar tempatan mungkin akan menyebabkan dua perkara saudara 'tertunggu' entah hingga bila. Akhirnya, mungkin blog ini akan penuh dgn cerita Mawi sahaja. Pada hemat saya ada lebih baik jika saudara sendiri 'mencari' berita mengenai M.Nasir untuk menjadikan blog ini perintis maklumat bagi warga seni ini. Pandangan ikhlas dari saya - Noor bt. Ahmad
BalasPadamUsaha 'mencari' berita mengenai M.Nasir memerlukan sokongan tenaga dan masa. Tenaga dan masa saya pula agak terhad kerana komitmen lain. Jika saudari atau sesiapa saja berminat menyumbang sebarang berita, artikel dsbnya ke arah menjadikan blog ini perintis maklumat bagi warga seni ini amatlah saya alu-alukan. Jadi tidaklah asyik artikel mengenai Mawi saja memenuhi ruang blog ini :-)
BalasPadamKirimkan ke email saya di : ribut_seni@yahoo.com.sg