Halaman

Isnin, November 26, 2007

Konsert Suria FM sasaran penonton tidak tercapai

petikan Utusan Malaysia 26 November 2007
Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN

Impian Suria FM untuk menghimpunkan 5,000 penonton pada Konsert Kemuncak Rancak Roadtour sempena majlis pelancaran stesen radio itu pada malam Sabtu lalu tidak kesampaian.

Ini kerana yang kelihatan, hanyalah sekadar hampir 2,000 penonton menyaksikan konsert yang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu. Walhal barisan artis yang menjayakan konsert itu bukanlah calang-calang. Mereka termasuklah Erra Fazira, Mawi, M.Nasir, Hattan dan Amy Search.

Namun kata Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, pihaknya masih berpuas hati dengan sambutan yang diberikan.

“Alhamdulillah. Bagi kami sambutan ini agak menggalakkan memandangkan kita semua mengetahui bahawa jalan-jalan di ibu kota pada malam ini sesak. Terdapat sekatan jalan raya gara-gara perhimpunan haram yang dikatakan akan berlaku.

“Apa pun pada saya objektif pada malam ini untuk melancarkan Suria FM dan konsert ini telah tercapai,” katanya ketika ditemui pada konsert tersebut.

Konsert Kemuncak Rancak Roadtour yang merupakan acara penutup untuk sesi jelajah Lagi Rancak Roadtour SuriaFM bagi tahun 2007 bermula pada pukul 8 malam.

Khalayak yang hadir dihiburkan oleh Syed Azmir, Elyana, Farawahida, Erra Fazira, Dafi, Imran Ajmain dan Taufik Batisah diawal konsert.

Tidak keterlaluan jika dikatakan persembahan artis-artis tersebut menarik kerana masing-masing sudah pun biasa menghiburkan peminat seni tempatan.

Erra Fazira menyampaikan dua buah lagu iaitu Ya Atau Tidak dan Goyang Inul. Pastinya gelek Erra membuatkan khalayak yang hadir turut sama bangun dan menari bersamanya. Imran Ajmain yang semakin popular dengan lagu Seribu Tahun tampil mendendangkan lagu tersebut dan menyebabkan suasana konsert menjadi senyap seketika kerana khalayak seakan-akan terpegun mendengarkan suaranya.

Penampilan Taufik Batisah (Sesuatu Janji, Teman Istimewa dan Usah Lepaskan) dan Dafi (Tekad dan Bila Terasa Rindu) juga tidak kurang hebatnya. Kemunculan Farawahida dengan lagu Semua Ada Di Sini juga menghiburkan. Cuma ketika dia menyanyikan lagu kedua iaitu Kenangan Terindah, sedikit mencacatkan suasana konsert. Kerana suara Fara kurang sesuai menyanyikan lagu tersebut.

Konsert tersebut diteruskan dengan persembahan The Fabulous Cats menerusi lagu Tarapapa, Papa Jahat dan Dari Sinar Mata. Hattan (Cinta Si Rama-Rama dan Datang Dan Pergi), Waheeda (Salamat dan Melodi Ahlan), Bandi Amuk (Aduh Tsumawi, Untukmu Sayang dan Joget Tari Lengang), Dayang Nurfaizah (Hilang dan Inginku Miliki).

Menutup tirai konsert pastinya penampilan tiga jejaka hebat Malaya iaitu M.Nasir, Mawi dan Amy Search. Satu perkara yang dikenal pasti, ketika M.Nasir mengumumkan kemunculan Mawi ke pentas, khalayak yang hadir seolah-olah tiada perasaan.

Tidak tahu sama ada impak Mawi kurang pada malam tersebut atau khalayak yang hadir pada konsert Suria FM itu kurang supporting. Biasanya sebut sahaja nama Mawi pastinya jerit pekik mengiringi kemunculan jejaka kelahiran Johor itu. Tapi kali ini tidak begitu.

Tampil menyanyikan lagu barunya Cinta Zulaika dan Lagu Jiwa Lagu Cinta bersama M.Nasir, persembahan Mawi dan M.Nasir tetap macam biasa.

Manakala Amy Search tampil selaku artis penutup menghiburkan khalayak dengan tiga lagu iaitu Aku Dah Bosan, Kerja Gila dan Tiada Lagi.

Keseluruhannya konsert Suria FM tersebut berjaya berlangsung dalam keadaan yang baik dan teratur. Syabas kepada penganjur, cuma sistem bunyinya kalau boleh dipertingkatkan kualitinya, tentu lebih menarik lagi persembahan artis pada konsert itu.

Tambah deejay

Walaupun sudah beroperasi selama dua tahun, namun kekuatan radio Suria FM milik Rimakmur Sdn. Bhd., ini masih belum menyengat.

Apakah ini mungkin kerana penyampai-penyampainya kurang popular?

Mengulas perkara tersebut kata Engku Emran, “Memang mudah untuk ambil penyampai yang sudah ada nama. Kita boleh `beli’ kalau kita mahu. Tapi kita ingin membentuk deejay baru yang terbaik dan terkenal. Kita nak tonjolkan bakat-bakat baru. Kalau kita sendiri tak tampilkan wajah-wajah baru, nanti kita sendiri akan kekurangan bakat-bakat baru dalam bidang penyiaran.”

Malah kata Engku Emran, dia tetap mempercayai bakat dan kebolehan penyampai-penyampainya serta tidak akan menukar penyampai-penyampai tersebut walaupun ada yang mengkritik.

“Tapi kita akan tambah lagi deejay untuk kebaikan stesen radio ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan